1 RAJA-RAJA 21

21
Ladang Anggur Nabot
1Dekat istana Raja Ahab di Yizreel ada sebidang ladang anggur kepunyaan seorang yang bernama Nabot. 2Pada suatu hari Raja Ahab bertitah kepada Nabot, “Berilah beta ladang anggurmu, kerana ladang itu dekat istana beta. Beta hendak menggunakannya sebagai kebun sayur. Beta akan menggantinya dengan ladang anggur yang lebih baik. Atau jika kamu suka, beta akan membayarnya dengan harga yang berpatutan.”
3Tetapi Nabot menjawab, “Ladang anggur ini pusaka nenek moyang hamba. Demi TUHAN, hamba tidak boleh memberikannya kepada tuanku!”
4Raja Ahab pulang dengan hati yang kesal dan murka kerana perkataan Nabot itu. Raja Ahab berbaring di tempat tidur, menghadap tembok dan tidak mahu makan. 5Isterinya Izebel menghampirinya dan bertanya, “Mengapa tuanku begitu kesal dan tidak mahu makan?”
6Raja Ahab menjawab, “Beta tidak suka dengan Nabot. Beta hendak membeli ladang anggurnya dan beta sudah menawarkan wang kepadanya, atau mengganti ladang itu dengan ladang anggur yang lain, tetapi Nabot tidak mahu memberikannya kepada beta!”
7Izebel berkata, “Bukankah tuanku raja? Bangunlah, bersukacitalah dan makanlah. Hamba akan mendapatkan ladang anggur Nabot bagi tuanku!”
8Kemudian Izebel menulis beberapa pucuk surat, menandatanganinya atas nama Raja Ahab dan memeteraikannya dengan meterai raja, lalu mengirimnya kepada beberapa orang pegawai dan pemimpin kota Yizreel. 9Inilah kandungan surat itu: “Isytiharkanlah puasa, kumpulkanlah rakyat dan berikanlah satu tempat duduk yang terhormat kepada Nabot. 10Kemudian suruhlah dua orang jahat duduk menghadap Nabot dan menuduh dia bahawa dia telah mengutuk Allah dan raja. Setelah itu bawalah dia ke luar kota dan rejamlah dia sampai mati.”
11Para pegawai dan pemimpin rakyat Yizreel melaksanakan perintah Izebel. 12Mereka mengisytiharkan puasa, lalu mengumpulkan rakyat dan memberi Nabot satu tempat duduk yang terhormat. 13Dua orang jahat itu datang dan duduk di hadapan Nabot. Mereka menuduh Nabot di hadapan orang ramai bahawa dia telah mengutuk Allah dan raja. Oleh itu Nabot dibawa ke luar kota lalu direjam sampai mati. 14Berita bahawa Nabot telah direjam sampai mati disampaikan kepada Izebel.
15Sebaik sahaja Izebel menerima berita itu, dia berkata kepada Raja Ahab, “Nabot sudah mati. Sekarang pergilah dan ambillah ladang anggur yang tidak mahu dijualnya kepada tuanku.” 16Ketika itu juga Raja Ahab pergi untuk memiliki ladang anggur itu.
17Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, nabi dari Tisbe itu, 18“Pergilah kepada Raja Ahab di Samaria. Engkau akan menemuinya di ladang anggur Nabot. Dia berada di sana untuk mengambil alih ladang itu. 19#1 Raj 22.38 Katakanlah kepadanya bahawa Aku, TUHAN berfirman kepadanya, ‘Setelah engkau membunuh pemiliknya, adakah engkau hendak mengambil alih hartanya pula?’ Beritahulah dia bahawa demikianlah firman-Ku, ‘Di tempat anjing-anjing menjilat darah Nabot, di situ juga darahmu akan dijilat anjing!’ ”
20Apabila Raja Ahab bertemu dengan Elia, baginda bertitah, “Hai musuh, akhirnya engkau berjaya mendapat beta!”
“Benar,” jawab Elia. “Perbuatan tuanku jahat semata-mata di sisi TUHAN. 21Oleh itu TUHAN berfirman kepada tuanku, ‘Aku akan mendatangkan bencana kepadamu. Aku akan menyingkirkan engkau dan semua orang lelaki dalam keluargamu, baik yang muda mahupun yang tua. 22Keluargamu akan menjadi seperti keluarga Raja Yerobeam anak Nebat, dan seperti keluarga Raja Baesa anak Ahia, kerana engkau telah membangkitkan kemurkaan-Ku serta menyebabkan orang Israel berdosa.’ 23#2 Raj 9.36 Tentang Izebel, TUHAN berfirman bahawa anjing akan makan mayatnya di kota Yizreel. 24Sesiapa sahaja anggota keluarga tuanku yang mati di dalam kota akan dimakan anjing, dan sesiapa yang mati di padang akan dimakan burung.”
( 25Tiada sesiapa pun yang pernah berbuat jahat di sisi TUHAN lebih daripada Raja Ahab - dan semua kejahatan itu dilakukannya kerana hasutan isterinya Izebel. 26Raja Ahab telah melakukan dosa yang sangat keji, kerana baginda menyembah berhala seperti yang dilakukan orang Amori, yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat Israel menduduki tanah ini dahulu.)
27Setelah Elia selesai bercakap, Raja Ahab mengoyakkan pakaiannya. Baginda menanggalkan pakaian lalu memakai kain guni sebagai tanda penyesalan. Raja Ahab berpuasa, dan baginda beradu dengan berpakaian kain guni. Raja Ahab berjalan ke sana sini dengan muka yang muram dan berdukacita.
28TUHAN berfirman kepada Nabi Elia, 29“Adakah engkau melihat bahawa Raja Ahab telah merendahkan diri di hadapan-Ku? Oleh sebab dia telah berbuat demikian, Aku tidak akan mendatangkan bencana itu kepadanya pada masa hidupnya. Aku akan mendatangkan bencana itu kepada keluarganya pada masa hidup anaknya.”

Terpilih Sekarang Ini:

1 RAJA-RAJA 21: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk