1 RAJA-RAJA 3

3
Raja Salomo Berdoa Minta Kebijaksanaan
(2 Taw 1.3-12)
1Raja Salomo menjadikan raja Mesir sekutunya dengan mengahwini puteri raja Mesir. Raja Salomo membawa puteri itu tinggal di Kota Daud sehingga pembinaan istana Raja Salomo, Rumah TUHAN, dan tembok di sekeliling kota Yerusalem selesai. 2Pada masa itu Rumah TUHAN belum dibina. Oleh itu rakyat mempersembahkan korban di mazbah-mazbah di berbagai-bagai tempat. 3Raja Salomo mengasihi TUHAN dan menurut nasihat Raja Daud, ayahandanya, tetapi Raja Salomo pun menyembelih binatang dan mempersembahkannya sebagai korban di mazbah-mazbah di berbagai-bagai tempat.
4Pada suatu masa Raja Salomo pergi ke Gibeon untuk mempersembahkan korban, kerana di situlah mazbah yang termasyhur. Baginda telah mempersembahkan beratus-ratus korban di mazbah itu dahulu. 5Tetapi pada malam itu TUHAN menampakkan diri kepada Raja Salomo dalam mimpi dan bertanya kepadanya, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?”
6Raja Salomo menjawab, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar terhadap hamba-Mu Raja Daud, bapaku. Dia baik, setia, dan tulus terhadap-Mu. Engkau sentiasa menunjukkan kasih-Mu yang besar dan abadi terhadapnya dengan memberi dia seorang putera, yang kini memerintah untuk menggantikan dia. 7Ya TUHAN Allah, Engkau telah membenarkan aku menjadi raja menggantikan bapaku, walaupun aku masih sangat muda dan tidak tahu memerintah. 8Aku berada di kalangan bangsa yang telah Engkau pilih menjadi umat-Mu sendiri - suatu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung. 9Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan yang aku perlukan untuk memerintah umat-Mu dengan adil, dan supaya aku tahu membezakan yang baik daripada yang jahat. Jika tidak, mana mungkin aku sanggup memerintah umat-Mu yang besar ini?”
10TUHAN berkenan pada permintaan Raja Salomo itu. 11Lalu Dia berfirman kepada Raja Salomo, “Oleh sebab engkau telah minta kebijaksanaan dan bukan umur panjang, atau kekayaan, ataupun kematian musuhmu, 12Aku akan mengabulkan permintaanmu. Aku akan mengurniai engkau kebijaksanaan dan pengertian yang belum pernah dipunyai atau akan dipunyai sesiapa pun. 13Bahkan Aku akan mengurniakan juga perkara yang tidak engkau minta: seumur hidupmu engkau akan menjadi lebih kaya dan lebih dihormati orang daripada raja mana pun. 14Jika engkau taat kepada-Ku dan patuh kepada hukum-Ku seperti bapamu Daud dahulu, Aku akan mengurniai engkau umur panjang.”
15Apabila Raja Salomo terjaga, baginda sedar bahawa Allah telah berfirman kepada baginda dalam mimpi. Kemudian Raja Salomo pergi ke Yerusalem dan berdiri di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN#Korban untuk menyenangkan hati TUHAN; Harfiah: Korban bakar. Lihat Kamus. dan korban untuk memohon berkat TUHAN.#Korban untuk memohon berkat TUHAN; Harfiah: Korban perdamaian. Lihat Kamus. Selepas itu Raja Salomo mengadakan jamuan bagi semua pegawai baginda.
Raja Salomo Menghakimi Perkara yang Sukar
16Pada suatu hari, dua orang pelacur perempuan menghadap Raja Salomo. 17Seorang daripada mereka berkata kepada raja, “Tuanku, perempuan ini tinggal serumah dengan hamba. Dia berada di rumah ketika hamba melahirkan seorang anak lelaki. 18Dua hari kemudian, dia pula melahirkan seorang anak lelaki. Kami berdua sahaja tinggal di rumah; tiada orang lain yang bersama-sama kami. 19Pada suatu malam, sedang perempuan ini tidur, dengan tidak sengaja dia menindih anaknya sehingga anak itu mati. 20Pada tengah malam, sedang hamba tidur, dia bangun dan mengambil anak hamba dari sisi hamba, lalu membawa anak hamba ke tempat tidurnya. Selepas itu dia meletakkan mayat anaknya di tempat tidur hamba. 21Esok paginya, ketika hamba bangun dan hendak menyusui anak hamba, hamba mendapati bahawa anak itu sudah mati. Apabila hamba melihat anak itu dengan lebih teliti, hamba mendapati bahawa anak itu bukan anak hamba.”
22Tetapi perempuan yang seorang lagi berkata, “Tidak! Anak yang hidup ini memang anakku. Anak yang sudah mati itu anakmu!”
Perempuan yang pertama tadi berkata, “Tidak! Yang mati itu anakmu, dan yang hidup itu anakku!”
Demikianlah mereka bertengkar di hadapan raja.
23Kemudian Raja Salomo bertitah, “Kamu masing-masing menuntut bahawa anak yang hidup ini anakmu, dan bahawa anak yang mati itu bukan anakmu.” 24Raja menyuruh orang membawa sebilah pedang, 25dan bertitah, “Potonglah anak yang hidup ini menjadi dua, dan berikanlah satu potong kepada masing-masing perempuan ini.”
26Mendengar perintah itu, ibu sebenar kepada anak itu berkata, “Ampun tuanku, tolong jangan bunuh anak itu! Berikanlah anak itu kepada perempuan ini!” Ibu itu berkata begitu kerana dia sangat mengasihi anaknya.
Tetapi perempuan yang satu lagi berkata, “Tak payahlah tuanku berikan anak itu kepada sesiapa pun; potonglah anak ini.”
27Kemudian Raja Salomo bertitah, “Jangan bunuh anak itu! Berikanlah anak itu kepada perempuan yang pertama. Dialah ibunya.”
28Apabila umat Israel mendengar keputusan yang diberikan oleh Raja Salomo, mereka sangat menghormati baginda kerana mereka tahu bahawa Allah telah memberikan kebijaksanaan kepadanya untuk menjalankan keadilan.

Terpilih Sekarang Ini:

1 RAJA-RAJA 3: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk