2 RAJA-RAJA 3

3
Perang antara Israel dan Moab
1Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosafat di Yehuda, Raja Yoram putera Raja Ahab menjadi raja Israel. Raja Yoram memerintah di Samaria selama dua belas tahun. 2Raja Yoram berdosa terhadap TUHAN, tetapi baginda tidak sejahat Raja Ahab, ayahandanya atau Izebel, bondanya. Raja Yoram merobohkan patung berhala yang dibina oleh ayahandanya untuk menyembah Baal. 3Namun, seperti Raja Yerobeam anak Nebat dahulu, Raja Yoram juga menyebabkan Israel berdosa dan baginda tidak mahu bertaubat.
4Raja Mesa dari Moab, mempunyai penternakan domba. Tiap-tiap tahun baginda memberi raja Israel ufti sebanyak 100,000 ekor anak domba, dan bulu domba daripada 100,000 ekor domba. 5Tetapi apabila Raja Ahab dari Israel mangkat, Raja Mesa memberontak terhadap Israel. 6Oleh itu Raja Yoram segera meninggalkan Samaria lalu mengumpulkan segenap tenteranya. 7Baginda mengirim berita berikut kepada Raja Yosafat di Yehuda, “Raja Moab telah memberontak terhadap beta. Mahukah tuanku berperang bersama dengan beta untuk melawan raja Moab?”
“Baiklah,” jawab Raja Yosafat. “Beta bersedia menolong tuanku. Demikian juga anak buah dan pasukan berkuda beta. 8Jalan manakah harus kita ikut untuk menyerang mereka?”
Raja Yoram bertitah, “Baiklah kita mengambil jalan jauh, yang melalui padang gurun Edom.”
9Demikianlah Raja Yoram bersama-sama raja Yehuda dan raja Edom keluar berperang. Setelah tujuh hari perjalanan, mereka kehabisan air minum, sehingga tentera mereka dan binatang pengangkut barang-barang mereka kehausan. 10“Malanglah kita,” seru Raja Yoram, “kerana TUHAN telah merancang untuk menyerahkan kita bertiga kepada raja Moab!”
11Raja Yosafat bertanya, “Adakah seorang nabi di sini, supaya kita dapat minta petunjuk daripada TUHAN?”
Seorang pegawai tentera Raja Yoram menjawab, “Elisa anak Safat berada di sini. Dia bekas pembantu Elia.”
12Raja Yosafat berkata, “Betul! TUHAN memang berfirman melalui dia.” Lalu tiga orang raja itu pergi kepada Elisa.
13Elisa berkata kepada raja Israel, “Mengapa hamba harus menolong tuanku? Pergilah bertanya kepada nabi-nabi ayahanda dan bonda tuanku dahulu!”
“Tidak,” jawab Raja Yoram. “Kerana TUHAN telah merancang untuk menyerahkan kami bertiga kepada raja Moab.”
14Elisa berkata, “Hamba bersumpah demi TUHAN yang hidup, bahawa jika bukan kerana hamba menghormati Raja Yosafat dari Yehuda, hamba tidak akan menolong tuanku. 15Sekarang panggillah seorang pemain kecapi.”
Sementara pemain kecapi itu memainkan kecapinya, kuasa TUHAN meliputi Elisa, 16lalu dia berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Galilah beberapa parit di dasar anak sungai yang kering ini. 17Walaupun tidak ada hujan atau angin, dasar sungai kecil ini akan penuh dengan air. Lalu engkau serta ternakan dan binatang pengangkut barang-barangmu akan mendapat cukup air minum.’ ” 18Elisa meneruskan lagi, “Perkara ini mudah bagi TUHAN. Dia juga akan memberi tuanku kemenangan terhadap orang Moab. 19Tuanku akan mengalahkan semua kota mereka yang berkubu dan yang indah. Tuanku akan menebang semua pokok buah-buahan mereka, menutup semua mata air dan semua ladang mereka yang subur akan dilempari batu sampai rosak sama sekali.”
20Esok paginya, pada masa korban pagi biasa dipersembahkan, air mengalir dari arah Edom lalu memenuhi dasar sungai yang kering itu.
21Apabila orang Moab mendengar bahawa tiga orang raja itu telah tiba untuk menyerang mereka, semua kaum lelaki yang sanggup berperang, daripada yang paling tua sampai kepada yang paling muda, dipanggil dan ditempatkan di sempadan negeri. 22Apabila mereka bangun esok paginya, matahari menyinari permukaan air sehingga kelihatan merah seperti darah. 23“Lihatlah, darah!” seru mereka. “Ketiga-tiga pasukan tentera musuh kita tentu telah berlawan dan membunuh satu sama lain! Marilah kita pergi menjarah perkhemahan mereka!”
24Tetapi apabila orang Moab sampai di tempat perkhemahan, tentera Israel menyerang dan mengalahkan mereka. Orang Israel terus mengejar sambil membunuh orang Moab 25serta memusnahkan kota-kota mereka. Apabila mereka melalui ladang yang subur, tiap-tiap orang Israel melontarkan batu ke situ, sehingga semua ladang itu diliputi batu. Mereka juga menutup semua mata air di situ dan menebang semua pokok buah-buahan. Akhirnya hanya ibu kota Kir-Hareset yang tertinggal. Kota itu juga dikepung dan dilontari batu dengan humban.
26Apabila raja Moab sedar bahawa baginda telah kalah, baginda membawa 700 orang askar yang berpedang bersama dengan baginda, lalu cuba menembusi pertahanan raja Edom,#Naskhah Ibrani: Edom. Sebuah terjemahan kuno: Siria. tetapi gagal. 27Oleh itu raja Moab membawa putera mahkota ke atas tembok kota lalu mempersembahkannya sebagai korban kepada dewa negeri Moab. Orang Israel ketakutan#ketakutan: Orang Israel berasa takut kerana korban itu dapat menimbulkan kemurkaan TUHAN, atau kemarahan Kemos, dewa bangsa Moab. sehingga mereka undur dari kota itu, lalu pulang ke negeri mereka sendiri.

Terpilih Sekarang Ini:

2 RAJA-RAJA 3: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk