ULANGAN 11
11
Kebesaran TUHAN
1“Kasihilah TUHAN, Allah kamu dan patuhi segala hukum-Nya sentiasa. 2Pada hari ini ingatlah akan apa yang sudah kamu ketahui tentang TUHAN melalui pengalaman kamu. Kamulah dan bukan anak-anak kamu yang mempunyai pengalaman itu. Kamu sudah melihat kebesaran TUHAN, kekuatan-Nya, kekuasaan-Nya, 3 dan mukjizat-Nya. Kamu sudah melihat apa yang dilakukan-Nya kepada raja Mesir dan seluruh negerinya. 4 Kamu sudah melihat bagaimana TUHAN membinasakan seluruh tentera Mesir bersama-sama kuda dan kereta kuda mereka, dengan menenggelamkan semuanya di dalam Laut Gelagah, ketika mereka mengejar kamu. 5Kamu tahu apa yang dilakukan TUHAN untuk kamu di padang gurun sebelum kamu sampai di tempat ini. 6 Kamu ingat apa yang dilakukan-Nya kepada Datan dan Abiram, anak-anak Eliab daripada suku Ruben. Di depan mata semua orang, bumi menelan mereka bersama-sama keluarga, khemah, serta semua hamba dan binatang mereka. 7Sesungguhnya, kamulah yang sudah melihat segala perkara besar itu yang dilakukan oleh TUHAN.”
Berkat dan Kutuk
8“Patuhilah segala hukum yang aku sampaikan kepada kamu hari ini. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan menyeberangi sungai dan menduduki tanah yang akan kamu tuju. 9Kamu akan hidup lama di tanah yang kaya dan subur, yang sudah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu dan keturunan mereka. 10Tanah yang akan kamu duduki itu bukan seperti negeri Mesir, tempat kamu tinggal dahulu. Apabila kamu menanam benih di Mesir, kamu harus bekerja keras untuk mengairi ladang; 11tetapi tanah yang akan kamu duduki itu kawasan pergunungan dan lembah, yang diairi oleh hujan. 12TUHAN, Allah kamu memelihara tanah itu dan menjaganya sepanjang tahun.
13Oleh itu taatilah hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini. Kasihilah TUHAN, Allah kamu dan mengabdilah kepada-Nya dengan segenap jiwa raga. 14Jika kamu berbuat demikian, Dia akan menurunkan hujan ke atas tanah kamu, apabila hujan diperlukan pada musim luruh dan pada musim bunga. Dengan demikian kamu akan mempunyai gandum, wain, minyak zaitun, 15dan rumput untuk ternakan kamu. Kamu akan mendapat segala makanan yang kamu kehendaki. 16Jangan biarkan diri kamu disesatkan sehingga berpaling daripada TUHAN, lalu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. 17 Jika kamu melanggar hukum itu, TUHAN akan murka terhadap kamu. Dia akan menahan hujan, lalu tanah kamu akan menjadi kering-kersang sehingga tanaman tidak dapat tumbuh. Kemudian kamu akan segera mati di sana, walaupun tanah yang diberikan-Nya kepada kamu itu, tanah yang baik.
18Ingatlah dan hargailah hukum-hukum itu. Ikatkanlah hukum itu pada lengan dan juga pada dahi kamu sebagai peringatan. 19Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja. 20 Tuliskanlah hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu gerbang kamu. 21Jika kamu berbuat demikian, kamu dan anak-anak kamu akan hidup lama di tanah yang dijanjikan TUHAN, Allah kamu kepada nenek moyang kamu. Kamu akan tinggal di sana selama ada langit di atas bumi.
22Patuhilah dengan setia semua hukum yang sudah aku berikan kepada kamu: Kasihilah TUHAN, Allah kamu, laksanakanlah segala yang diperintahkan-Nya, dan setialah kepada-Nya. 23Kemudian Dia akan mengusir semua bangsa itu apabila kamu bergerak maju, dan kamu akan menduduki tanah milik bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu. 24Segala tanah yang kamu pijak akan menjadi milik kamu. Wilayah kamu akan terbentang luas, bermula dari padang gurun di selatan sampai ke Pergunungan Lebanon di utara, dan dari Sungai Efrat di timur sampai ke Laut Tengah di barat. 25 Ke mana sahaja kamu pergi di tanah itu, TUHAN, Allah kamu akan menyebabkan orang takut kepada kamu seperti yang dijanjikan-Nya; tiada seorang pun akan dapat menghalangi kamu.
26Pada hari ini aku memberi kamu pilihan antara berkat dan kutuk - 27berkat, jika kamu taat kepada perintah TUHAN, Allah kamu yang aku berikan kepada kamu pada hari ini; 28atau kutuk, jika kamu tidak taat kepada perintah itu, dan berpaling untuk menyembah tuhan-tuhan lain yang tidak pernah kamu puja. 29 Apabila TUHAN membawa kamu ke tanah yang akan kamu duduki itu, kamu harus mengisytiharkan berkat dari atas Gunung Gerizim dan kutuk dari atas Gunung Ebal. ( 30Kedua-dua gunung itu terletak di sebelah barat Sungai Yordan di wilayah orang Kanaan yang tinggal di Lembah Yordan. Gunung-gunung itu menghadap ke barat, tidak jauh dari pokok-pokok keramat di More, dekat kota Gilgal.) 31Tidak lama lagi kamu akan menyeberangi Sungai Yordan dan menduduki tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Apabila kamu sudah menduduki tanah itu dan menetap di sana, 32pastikanlah bahawa kamu patuh kepada segala hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini.”
Terpilih Sekarang Ini:
ULANGAN 11: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.