PENGKHUTBAH 7

7
Fikiran tentang Hidup Manusia
1 Nama baik lebih harum daripada minyak wangi yang mahal, dan hari kematian lebih baik daripada hari kelahiran.
2Lebih baik melawat keluarga yang berkabung daripada keluarga yang berpesta, kerana orang hidup perlu diingatkan bahawa kematian sentiasa menunggu kita semua.
3Kesedihan lebih baik daripada ketawa; biar wajah murung asal hati lega.
4Orang bodoh sentiasa memikirkan kesenangan; orang arif memikirkan kematian.
5Lebih baik ditegur oleh orang bijak daripada dipuji oleh orang bodoh.
6Ketawa orang bodoh tidak bererti, seperti bunyi duri dibakar api.
7Apabila orang bijak menipu, mereka bodoh. Jika orang menerima rasuah, mereka merosakkan akhlak.
8Kesudahan sesuatu perkara lebih baik daripada permulaannya. Kesabaran lebih baik daripada kesombongan.
9 Jangan lekas marah; hanya orang bodoh menyimpan dendam.
10Jangan sekali-kali bertanya, “Mengapakah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang?” Pertanyaan itu bodoh!
11Tiap-tiap orang yang hidup haruslah mempunyai hikmat; hal itu sama baiknya dengan menerima warisan, 12dan memberikan jaminan seperti wang tunai. Berbahagialah orang yang mengetahui bahawa hikmat melindungi hidup orang yang memilikinya.
13Renungkanlah hal yang telah dilakukan oleh Allah. Bolehkah sesiapa meluruskan apa yang telah dibengkokkan oleh Allah? 14Apabila kamu senang, bersukacitalah; dan apabila kamu susah, ingatlah bahawa kesenangan dan kesusahan, kedua-duanya datang daripada Allah. Manusia tidak tahu apa yang akan berlaku selanjutnya.
15Sungguhpun hidupku sia-sia, aku telah nampak segala-galanya. Ada kalanya orang yang baik mati walaupun mereka baik. Ada kalanya orang yang jahat panjang umur walaupun mereka jahat. 16Oleh itu janganlah terlalu baik atau terlalu bijak; mengapa membinasakan diri sendiri? 17Tetapi janganlah terlalu jahat atau terlalu bodoh; mengapa mati sebelum waktunya? 18Hindarilah kedua-dua hal yang keterlaluan itu. Jika kita menghormati Allah, tentu kita akan berjaya.
19Hikmat menjadikan pemiliknya lebih perkasa daripada sepuluh orang penguasa di sebuah kota.
20Di bumi tiada seorang pun yang selalu berbuat baik dan tidak pernah melakukan kesalahan.
21Jangan pedulikan segala kata orang. Mungkin kamu mendengar hambamu mengutuk kamu, 22dan kamu tahu bahawa kamu sendiri pun kerap kali mengutuk orang lain.
23Aku menggunakan hikmat untuk menguji segala hal itu. Aku bertekad untuk memperoleh hikmat, tetapi tidak dapat mencapainya. 24Bagaimanakah seseorang dapat mengetahui makna hidup? Hal itu terlalu dalam dan terlalu susah untuk difahami. 25Aku tekun belajar dan mencari pengetahuan supaya mendapat hikmat dan jawapan bagi pertanyaanku. Aku mencuba memahami bahawa kebodohan itu kejahatan dan kebebalan itu kegilaan.
26Aku mendapati hal ini lebih pahit daripada maut: Seorang wanita yang menggunakan cinta sebagai jala atau perangkap untuk menangkap mangsa; pelukannya seperti belenggu yang mengikat dengan erat. Orang yang melakukan kehendak Allah dapat melepaskan diri, tetapi orang berdosa akan ditangkapnya. 27Lihat, kata Si Pemikir: Aku mengetahui hal itu sedikit demi sedikit sedang aku mencari jawapannya. 28Aku telah mencari jawapan lain juga, tetapi tidak berhasil. Antara seribu orang, aku menemui seorang lelaki yang dapat aku hormati, tetapi antara mereka tiada seorang wanita yang dapat aku hormati. 29Hanya inilah yang telah kupelajari: Allah telah menjadikan kita jujur, tetapi kita sendiri yang berputar belit.

Terpilih Sekarang Ini:

PENGKHUTBAH 7: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk