KELUARAN 29
29
Peraturan tentang Pentahbisan Harun dan Anak-anaknya sebagai Imam
(Im 8.1-36)
1“Inilah yang patut engkau lakukan untuk mentahbiskan Harun dan anak-anaknya supaya mereka dapat mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Ambillah seekor anak lembu jantan dan dua ekor domba jantan yang tidak ada kecacatan. 2Gunakan tepung yang terbaik, tetapi tidak beragi untuk membuat roti. Sebahagian roti itu dibuat dengan menggunakan minyak zaitun, sebahagian lagi tanpa minyak zaitun, dan sebahagian lagi dibuat roti nipis yang disapu dengan minyak. 3Letakkan semua roti itu di dalam bakul dan persembahkanlah semuanya kepada-Ku ketika kamu mempersembahkan lembu jantan dan dua ekor domba jantan sebagai korban.
4Bawalah Harun dan anak-anaknya ke pintu Khemah-Ku dan lakukan upacara pembasuhan diri bagi mereka. 5Kemudian kenakan pakaian imam pada Harun: baju labuh, jubah yang dipakai di bawah efod, efod, dan penutup dada dengan ikat pinggangnya. 6Pakaikan serban di atas kepalanya, dan sematkan perhiasan yang berukir ‘Ditahbiskan untuk TUHAN’ pada serban itu. 7Kemudian ambillah minyak upacara dan tuangkan ke atas kepalanya untuk mentahbiskan dia.
8Selepas itu, suruhlah anak-anak Harun datang dan pakaikan baju labuh pada mereka; 9pakaikan juga ikat pinggang pada mereka, dan kenakan ikat kepala pada mereka. Demikianlah caranya engkau mentahbiskan Harun serta anak-anaknya. Mereka dan keturunan mereka harus mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam selama-lamanya.
10Kemudian bawalah lembu jantan itu ke hadapan Khemah-Ku. Suruhlah Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu jantan itu. 11Sembelihlah lembu itu di hadirat-Ku, di hadapan pintu masuk Khemah. 12Ambil sedikit darah lembu jantan itu, lalu dengan jarimu sapukan darah itu pada unjuran-unjuran mazbah. Kemudian tuangkan sisa darah itu di bahagian bawah mazbah. 13Selepas itu, ambil semua lemak yang meliputi isi perut lembu itu, dan bahagian yang paling baik pada hati, dan dua biji buah pinggang dengan lemaknya; bakarlah semuanya di atas mazbah sebagai persembahan kepada-Ku. 14Tetapi bakarlah daging, kulit, dan usus lembu jantan itu di luar perkhemahan. Itulah persembahan korban untuk pengampunan dosa para imam.
15Ambillah seekor daripada domba jantan itu, lalu suruhlah Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba itu. 16Sembelihlah domba jantan itu, lalu ambil darahnya dan siramkan pada keempat-empat sisi mazbah. 17Potonglah domba itu menjadi beberapa potongan. Basuhlah isi perut dan pahanya, lalu letakkan semuanya di atas kepala domba jantan itu dan potongan-potongan yang lain. 18#Ef 5.2; Flp 4.18 Bakarlah seluruh domba jantan itu di atas mazbah sebagai persembahan makanan.
19Ambillah domba jantan yang seekor lagi, iaitu domba yang digunakan untuk upacara pentahbisan. Suruh Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan ke atas kepala domba jantan itu. 20Sembelihlah domba jantan itu. Kemudian ambil sedikit darahnya dan sapukan darah itu pada cuping telinga kanan Harun dan anak-anaknya, dan pada ibu jari tangan kanan, serta pada ibu jari kaki kanan mereka. Siramkan sisa darah itu pada keempat-empat sisi mazbah itu. 21Ambil sedikit darah yang di atas mazbah dan sedikit minyak upacara, lalu renjiskan semuanya pada Harun dan pakaiannya, dan juga pada anak-anaknya serta pakaian mereka. Dengan cara ini, Harun, anak-anaknya, serta pakaian mereka akan ditahbiskan untuk-Ku.
22Ambillah lemak domba jantan itu, ekornya yang berlemak, lemak yang meliputi isi perut, bahagian yang paling baik pada hati, dua biji buah pinggang dengan lemaknya, serta paha kanan domba. 23Dari bakul roti yang telah dipersembahkan kepada-Ku, ambillah satu daripada tiap-tiap jenis roti itu: satu yang dibuat dengan minyak zaitun, satu yang dibuat tanpa minyak zaitun, dan satu roti nipis. 24Letakkan semua roti ini di tangan Harun dan anak-anaknya, lalu suruh mereka mempersembahkan semuanya kepada-Ku sebagai persembahan istimewa. 25Kemudian ambillah semua roti itu daripada mereka dan bakarlah di atas mazbah, di atas korban untuk menyenangkan hati-Ku,#Korban untuk menyenangkan hati-Ku: Lihat 10.25. sebagai persembahan makanan.
26Ambillah dada domba jantan itu dan persembahkannya kepada-Ku sebagai persembahan istimewa. Dada domba jantan itu untukmu.
27Apabila seorang imam ditahbiskan, dada dan paha domba jantan yang digunakan untuk upacara pentahbisan itu harus dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan istimewa, lalu diasingkan untuk para imam. 28Inilah keputusan-Ku yang tidak dapat diubah: Apabila umat-Ku datang untuk mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN,#Korban untuk memohon berkat TUHAN; Lihat 20.24. dada dan paha binatang itu harus diberikan kepada imam-imam. Bahagian itulah persembahan daripada umat-Ku kepada Aku, TUHAN.
29Pakaian imam kepunyaan Harun harus diwariskan kepada anak-anaknya selepas dia meninggal, agar mereka dapat memakainya apabila ditahbiskan. 30Anak Harun yang menggantikan Harun sebagai imam, dan yang memasuki Khemah-Ku untuk bertugas di dalam Bilik Suci, harus memakai pakaian itu selama tujuh hari.
31Ambillah daging domba jantan yang digunakan untuk pentahbisan Harun dan anak-anaknya, lalu rebuslah daging itu di tempat yang suci. 32Harun dan anak-anaknya mesti makan daging domba itu serta sisa roti di dalam bakul, di pintu masuk Khemah hadirat-Ku. 33Mereka mesti makan apa yang digunakan dalam upacara pengampunan dosa pada masa pentahbisan mereka. Hanya imam yang boleh makan makanan itu kerana makanan itu suci. 34Jika pada keesokan paginya, masih ada daging atau roti yang tidak habis dimakan, makanan itu mesti dibakar dan tidak boleh dimakan kerana makanan itu suci.
35Lakukanlah upacara pentahbisan Harun dan anak-anaknya selama tujuh hari seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu. 36Tiap-tiap hari engkau mesti mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Korban ini akan menyucikan mazbah. Kemudian lumurilah mazbah itu dengan minyak zaitun untuk menyucikannya. 37Lakukanlah hal itu setiap hari selama tujuh hari. Maka seluruh mazbah itu akan menjadi suci, lalu apa sahaja yang kena mazbah itu harus diserahkan kepada TUHAN, dan siapa sahaja yang menyentuh mazbah itu akan mendapat celaka kerana kekuatan kesuciannya.”#Mendapat celaka kerana kekuatan kesuciannya: Pada masa itu ada kepercayaan bahawa orang biasa atau benda-benda akan celaka jika kena sesuatu yang suci.
Korban Harian
(Bil 28.1-8)
38“Setiap hari sampai selama-lamanya, kamu harus mempersembahkan dua ekor anak domba yang berumur satu tahun sebagai korban, di atas mazbah itu. 39Seekor anak domba harus dipersembahkan pada waktu pagi dan seekor lagi pada waktu petang. 40Bersama dengan anak domba yang pertama, persembahkanlah satu kilogram tepung gandum terbaik, yang dicampuri satu liter minyak zaitun tulen. Tuangkan satu liter wain sebagai persembahan. 41Kemudian persembahkanlah anak domba yang kedua pada waktu petang. Bersama dengan anak domba itu, persembahkanlah tepung gandum, minyak zaitun, dan wain yang sama banyak seperti pada waktu pagi. Itulah persembahan makanan kepada-Ku, TUHAN, dan baunya menyenangkan hati-Ku. 42Untuk selama-lamanya, korban untuk menyenangkan hati-Ku#Korban untuk menyenangkan hati-Ku: Lihat 10.25. harus dipersembahkan di hadirat-Ku di pintu Khemah-Ku. Di situlah Aku akan bertemu dengan umat-Ku dan berfirman kepadamu. 43Di situ Aku akan bertemu dengan umat Israel, dan cahaya yang berkilau-kilauan daripada hadirat-Ku akan menyucikan tempat itu. 44Aku akan menyucikan Khemah dan mazbah itu, dan Aku akan mengkhususkan Harun dan anak-anaknya untuk mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. 45Aku akan tinggal bersama dengan umat Israel, dan Aku akan menjadi Allah mereka. 46Mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka yang telah membawa mereka keluar dari Mesir, supaya Aku dapat tinggal bersama-sama mereka. Akulah TUHAN, Allah mereka.”
Terpilih Sekarang Ini:
KELUARAN 29: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.