KELUARAN 30
30
Mazbah Tempat Membakar Kemenyan
(Kel 37.25-28)
1“Buatlah sebuah mazbah daripada kayu akasia, sebagai tempat membakar kemenyan. 2Mazbah itu harus berbentuk empat persegi, 45 sentimeter panjang dan 45 sentimeter lebar, dan 90 sentimeter tinggi. Unjuran di keempat-empat sudutnya mesti seiras dengan mazbah itu. 3Salutilah bahagian atasnya, keempat-empat sisinya serta unjuran-unjurannya dengan emas tulen, dan buatlah bingkai emas di sekelilingnya. 4Buatlah dua gelang daripada emas, dan pasanglah gelang itu di bawah bingkai pada kedua-dua sisinya, untuk menyangga kayu pengusung mazbah. 5Kayu-kayu pengusung itu harus dibuat daripada kayu akasia dan disaluti emas. 6Letakkan mazbah ini di luar tirai yang tergantung di hadapan Tabut Perjanjian, di tempat Aku akan bertemu dengan engkau. 7Setiap pagi, apabila Harun menyiapkan pelita, dia mesti membakar kemenyan yang berbau harum di atas mazbah itu. 8Dia mesti melakukan hal yang sama apabila dia memasang pelita itu pada waktu petang. Persembahan kemenyan ini mesti dilakukan terus-menerus sepanjang masa. 9Di atas mazbah ini, jangan persembahkan sebarang kemenyan yang dilarang, atau korban berupa binatang, atau korban berupa bijirin; jangan curahkan sebarang korban berupa wain di atasnya. 10Setahun sekali Harun mesti melakukan upacara penyucian mazbah dengan menyapukan darah binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, pada keempat-empat unjuran mazbah itu. Hal ini mesti dilakukan tiap-tiap tahun selama-lamanya. Mazbah ini mesti suci seluruhnya dan ditahbiskan kepada-Ku, TUHAN.”
Cukai untuk Khemah TUHAN
11TUHAN berfirman kepada Musa, 12“Apabila engkau membanci umat Israel, setiap orang lelaki mesti membayar wang tebusan untuk dirinya kepada-Ku, supaya dia tidak ditimpa bencana ketika pembancian itu dijalankan. 13#Kel 38.25-26; Mat 17.24 Setiap orang yang dihitung dalam pembancian itu mesti membayar jumlah wang yang ditentukan, menurut harga yang ditetapkan di Khemah-Ku. Setiap orang mesti membayar jumlah itu sebagai persembahan kepada-Ku. 14Setiap orang yang dihitung dalam pembancian itu, iaitu setiap orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas mesti membayar jumlah itu. 15Orang kaya tidak boleh membayar lebih dan orang miskin tidak boleh membayar kurang, apabila mereka membayar wang tebusan untuk diri mereka. 16Kumpulkan wang itu daripada umat Israel dan gunakannya untuk kepentingan ibadat di dalam Khemah-Ku. Semua itu adalah wang tebusan bagi diri mereka, dan Aku akan sentiasa ingat untuk melindungi mereka.”
Besen Gangsa
17TUHAN berfirman kepada Musa, 18#Kel 38.8 “Buatlah sebuah besen daripada gangsa dengan alasnya daripada gangsa juga. Letakkan besen itu di antara Khemah dan mazbah, dan isilah besen itu dengan air. 19Harun dan anak-anaknya mesti menggunakan air itu untuk membasuh tangan dan kaki, 20sebelum masuk ke dalam Khemah atau mendekati mazbah untuk mempersembahkan persembahan makanan. Dengan demikian mereka tidak akan dibunuh. 21Mereka mesti membasuh tangan dan kaki supaya mereka tidak mati. Peraturan ini mesti ditaati mereka dan keturunan mereka selama-lamanya.”
Minyak Upacara
22TUHAN berfirman kepada Musa, 23“Ambillah rempah-rempah yang terbaik: enam kilogram mur cecair, tiga kilogram kulit kayu manis yang harum, tiga kilogram tebu yang harum, 24enam kilogram kayu teja (semuanya ditimbang mengikut timbangan yang digunakan di dalam Khemah-Ku), dan empat liter minyak zaitun, 25lalu buatlah minyak upacara yang dicampur seperti minyak wangi. 26Gunakanlah minyak upacara itu untuk melumuri Khemah-Ku, Tabut Perjanjian, 27meja dan segala peralatannya, kaki pelita dan peralatannya, mazbah tempat membakar kemenyan, 28#Kel 37.29 mazbah tempat membakar korban serta segala peralatannya, dan besen serta alasnya. 29Engkau harus mentahbiskan segala barang itu dengan cara demikian, maka semuanya akan menjadi benar-benar suci. Apa sahaja yang kena alat-alat itu harus diserahkan kepada TUHAN, dan siapa sahaja yang menyentuh semua itu akan mendapat celaka kerana kekuatan kesuciannya.#Mendapat celaka kerana kekuatan kesuciannya; Lihat 29.37. 30Tuanglah minyak upacara pada Harun dan anak-anaknya supaya mereka ditahbiskan menjadi imam untuk mengabdikan diri kepada-Ku. 31Beritahulah umat Israel bahawa minyak upacara yang suci itu khas untuk Aku selama-lamanya. 32Minyak upacara itu tidak boleh dituang pada orang biasa, dan campuran yang sama tidak boleh digunakan untuk membuat minyak lain. Minyak upacara itu suci dan mesti dianggap suci. 33Sesiapa yang membuat minyak seperti minyak upacara, atau yang menggunakan minyak itu bagi orang yang bukan imam, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku.”
Kemenyan
34TUHAN berfirman kepada Musa, “Ambillah beberapa jenis rempah harum yang sama banyaknya: getah damar, kulit lokan, getah raksamala, dan juga kemenyan tulen. 35Dengan bahan-bahan itu buatlah kemenyan seperti membuat minyak wangi. Tambahlah garam untuk menjadikannya tulen dan suci. 36Tumbukkan sebahagian daripada bahan-bahan itu menjadi serbuk. Bawalah serbuk itu ke dalam Khemah-Ku, lalu hamburkan serbuk itu di hadapan Tabut Perjanjian. Kemenyan itu harus dianggap sebagai benda yang sangat suci. 37Jangan gunakan campuran itu untuk membuat sebarang kemenyan bagi dirimu sendiri. Kemenyan itu harus dianggap suci dan dikhaskan untuk Aku. 38Sesiapa yang menggunakan campuran itu untuk membuat minyak wangi, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku.”
Terpilih Sekarang Ini:
KELUARAN 30: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.