KEJADIAN 41:1-16

KEJADIAN 41:1-16 BM

Dua tahun kemudian, raja Mesir bermimpi bahawa baginda sedang berdiri di tebing Sungai Nil. Tiba-tiba tujuh ekor lembu yang gemuk dan yang kulitnya licin berkilat, keluar dari sungai, lalu mula makan rumput di tebing sungai itu. Selepas itu tujuh ekor lembu yang lain muncul pula; lembu itu kurus kering. Lembu-lembu yang kurus itu berdiri di samping lembu-lembu yang gemuk, di tebing sungai. Kemudian lembu-lembu yang kurus makan lembu-lembu yang gemuk. Selepas itu raja terjaga daripada tidurnya. Raja tertidur dan bermimpi lagi. Dalam mimpinya raja nampak tujuh bulir gandum yang berisi dan masak pada satu tangkai. Kemudian ada lagi tujuh bulir gandum lain, yang kempis dan layu kerana ditiup angin gurun. Bulir gandum yang kempis itu menelan ketujuh-tujuh bulir yang berisi. Selepas itu raja terjaga dan sedar bahawa baginda sudah bermimpi. Pagi esoknya raja berasa gelisah. Oleh itu raja memanggil semua ahli sihir dan orang berilmu di Mesir. Kemudian raja menceritakan mimpinya kepada mereka, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkan mimpi itu. Kemudian pengurus minuman berkata kepada raja, “Pada hari ini hamba mesti mengaku kesalahan hamba. Dahulu tuanku murka kepada hamba dan pengurus roti, lalu hamba berdua dimasukkan ke dalam penjara di rumah ketua pengawal istana. Pada suatu malam hamba berdua bermimpi, dan mimpi itu tidak sama ertinya. Seorang pemuda Ibrani berada di sana bersama dengan hamba. Dia pelayan ketua pengawal istana. Hamba menceritakan mimpi hamba kepadanya, lalu dia mentafsirkan mimpi itu. Ternyata segalanya berlaku tepat seperti yang dikatakannya. Tuanku mengembalikan hamba kepada pekerjaan hamba, tetapi menjatuhkan hukuman mati kepada pengurus roti itu.” Oleh itu raja menyuruh orang memanggil Yusuf datang menghadap, lalu Yusuf segera dikeluarkan dari penjara. Setelah Yusuf bercukur dan berganti pakaian, dia dibawa menghadap raja. Raja bertitah kepadanya, “Beta sudah bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat menjelaskan erti mimpi itu. Beta sudah diberitahu bahawa kamu dapat mentafsirkan mimpi.” Yusuf menjawab, “Tuanku, bukan hamba melainkan Allah yang dapat memberikan tafsiran yang baik bagi tuanku.”