KEJADIAN 41:1-16

KEJADIAN 41:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Dua tahun kemudian, raja Mesir bermimpi bahawa baginda sedang berdiri di tebing Sungai Nil. Tiba-tiba tujuh ekor lembu yang gemuk dan yang kulitnya licin berkilat, keluar dari sungai, lalu mula makan rumput di tebing sungai itu. Selepas itu tujuh ekor lembu yang lain muncul pula; lembu itu kurus kering. Lembu-lembu yang kurus itu berdiri di samping lembu-lembu yang gemuk, di tebing sungai. Kemudian lembu-lembu yang kurus makan lembu-lembu yang gemuk. Selepas itu raja terjaga daripada tidurnya. Raja tertidur dan bermimpi lagi. Dalam mimpinya raja nampak tujuh bulir gandum yang berisi dan masak pada satu tangkai. Kemudian ada lagi tujuh bulir gandum lain, yang kempis dan layu kerana ditiup angin gurun. Bulir gandum yang kempis itu menelan ketujuh-tujuh bulir yang berisi. Selepas itu raja terjaga dan sedar bahawa baginda sudah bermimpi. Pagi esoknya raja berasa gelisah. Oleh itu raja memanggil semua ahli sihir dan orang berilmu di Mesir. Kemudian raja menceritakan mimpinya kepada mereka, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkan mimpi itu. Kemudian pengurus minuman berkata kepada raja, “Pada hari ini hamba mesti mengaku kesalahan hamba. Dahulu tuanku murka kepada hamba dan pengurus roti, lalu hamba berdua dimasukkan ke dalam penjara di rumah ketua pengawal istana. Pada suatu malam hamba berdua bermimpi, dan mimpi itu tidak sama ertinya. Seorang pemuda Ibrani berada di sana bersama dengan hamba. Dia pelayan ketua pengawal istana. Hamba menceritakan mimpi hamba kepadanya, lalu dia mentafsirkan mimpi itu. Ternyata segalanya berlaku tepat seperti yang dikatakannya. Tuanku mengembalikan hamba kepada pekerjaan hamba, tetapi menjatuhkan hukuman mati kepada pengurus roti itu.” Oleh itu raja menyuruh orang memanggil Yusuf datang menghadap, lalu Yusuf segera dikeluarkan dari penjara. Setelah Yusuf bercukur dan berganti pakaian, dia dibawa menghadap raja. Raja bertitah kepadanya, “Beta sudah bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat menjelaskan erti mimpi itu. Beta sudah diberitahu bahawa kamu dapat mentafsirkan mimpi.” Yusuf menjawab, “Tuanku, bukan hamba melainkan Allah yang dapat memberikan tafsiran yang baik bagi tuanku.”

KEJADIAN 41:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Genap dua tahun selepas itu, bermimpilah Firaun. Kelihatan ketika dia berdiri di tepi Sungai Nil tiba-tiba muncul tujuh ekor lembu yang elok bentuknya dan gemuk badannya dari Sungai Nil, lalu lembu-lembu itu meragut rumput di antara tumbuhan mensiang. Sesudah itu muncul pula tujuh ekor lembu lain yang buruk bentuknya dan kurus badannya dari Sungai Nil, lalu lembu-lembu itu berdiri di sisi lembu-lembu yang terdahulu di tepi Sungai Nil itu. Kemudian lembu-lembu yang buruk bentuknya dan kurus itu memakan ketujuh-tujuh ekor lembu yang baik bentuknya dan gemuk tadi. Lalu terjagalah Firaun. Firaun tertidur lagi dan bermimpi untuk kali keduanya. Kelihatan tujuh bulir gandum yang gemuk dan baik tumbuh pada satu batang. Tidak lama kemudian tumbuh pula tujuh bulir gandum yang kurus dan layu oleh bahang angin timur. Lalu ketujuh-tujuh bulir yang kurus itu menelan ketujuh-tujuh bulir yang gemuk dan berisi. Firaun pun terjaga lagi dan menyedari bahawa dia sebenarnya bermimpi! Maka pada pagi harinya resahlah hatinya. Dia mengerah orang untuk memanggil semua ahli ilmu ghaib Mesir serta semua orang berilmu, lalu menceritakan mimpinya kepada mereka. Namun begitu tiada seorang pun dapat mentafsirkannya untuk Firaun. Maka berkatalah ketua jururasa santapan kepada Firaun, “Hari ini hamba teringat kesalahan hamba. Dahulu Firaun pernah murka kepada pegawai-pegawainya, kemudian hamba berserta kepala pembuat roti dimasukkan ke dalam tahanan di rumah ketua pengawal diraja. Pada malam yang sama, kami, iaitu hamba dan rakan hamba itu, bermimpi. Mimpi kami masing-masing memiliki tafsirannya tersendiri. Bersama-sama kami di sana ada seorang pemuda Ibrani, hamba ketua pengawal diraja. Kemudian kami menceritakan mimpi kami kepadanya, lalu dia mentafsirkan mimpi kami masing-masing. Ternyata, tepat seperti yang ditafsirkannya kepada kami, demikianlah yang terjadi. Hamba dikembalikan kepada kedudukan hamba, dan rakan hamba itu digantung.” Maka Firaun memerintahkan orang untuk memanggil Yusuf, dan dengan segera dia dikeluarkan dari kurungan. Setelah bercukur dan berganti pakaian, masuklah dia menghadap Firaun. Kata Firaun kepada Yusuf, “Aku bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkannya. Lalu kudengar khabar tentang kamu yang mengatakan bahawa ketika kamu mendengar suatu mimpi, kamu dapat langsung mentafsirkannya.” Jawab Yusuf kepada Firaun, “Bukan hamba, melainkan Allah sajalah yang akan memberikan jawapan demi kesejahteraan Firaun.”