KEJADIAN 43
43
Abang-Abang Yusuf Pergi ke Mesir bersama dengan Benyamin
1-2Kebuluran di Kanaan bertambah buruk. Setelah keluarga Yakub menghabiskan semua gandum yang dibawa dari Mesir, Yakub berkata kepada anak-anak lelakinya, “Pergilah ke sana lagi dan belilah gandum untuk kita.”
3Yehuda berkata kepadanya, “Dengan tegas gabenor Mesir memberikan amaran kepada kami bahawa kami tidak boleh menghadap dia jika kami tidak membawa adik kami. 4Jika ayah membenarkan adik kami ikut, kami mahu pergi ke sana dan membeli makanan untuk ayah. 5Tetapi jika ayah tidak membenarkan Benyamin ikut, kami tidak mahu pergi, kerana gabenor itu sudah berkata bahawa kami tidak boleh menghadap dia jika adik kami tidak ikut.”
6Yakub berkata, “Mengapa kamu menyusahkan aku dengan memberitahu orang itu bahawa kamu masih mempunyai adik lelaki lain?”
7Mereka menjawab, “Orang itu tidak berhenti-henti bertanya tentang kami dan keluarga kita. Katanya, ‘Masih hidupkah bapa kamu? Adakah kamu mempunyai adik lelaki lain?’ Kami terpaksa menjawab segala pertanyaannya. Bagaimana kami tahu bahawa dia akan menyuruh kami membawa adik kami?”
8Oleh itu Yehuda berkata kepada bapanya, “Benarkanlah anak itu ikut dengan saya. Kami akan berangkat dengan segera supaya tiada seorang pun antara kita mati kebuluran. 9Sayalah penjaminnya. Ayah boleh mempertanggungjawabkan Benyamin kepada saya. Jika saya tidak membawa dia kembali dengan selamat, saya akan menanggung kesalahan itu selama-lamanya. 10Seandainya kita tidak menunggu begitu lama, pasti kami telah dua kali pulang-balik.”
11Kemudian bapa mereka berkata, “Jika memang harus begitu, bawalah hasil yang terbaik dari negeri ini. Masukkanlah semuanya ke dalam karung kamu dan hadiahkanlah kepada gabenor itu. Bawalah damar, madu, rempah ratus, kacang pistasio, dan buah badam. 12Bawalah juga wang dua kali ganda, kerana wang yang ditemukan di dalam karung kamu itu mesti dikembalikan. Mungkin itu suatu kesilapan. 13Bawalah juga adik kamu dan kembalilah dengan segera. 14Semoga Allah Yang Maha Kuasa membuat gabenor itu kasihan kepada kamu, sehingga dia mahu mengembalikan Benyamin dan Simeon. Bagi aku, jika memang aku harus kehilangan anak-anakku, apa boleh buat.”
15Kemudian saudara-saudara Yusuf membawa semua hadiah itu dan wang dua kali ganda, lalu berangkat ke Mesir bersama dengan Benyamin. Setelah sampai di sana, mereka menghadap Yusuf. 16Apabila Yusuf nampak Benyamin dan abang-abangnya, dia berkata kepada hamba yang mengurus rumah tangganya, “Bawalah semua orang itu ke rumahku. Mereka akan makan bersama dengan aku tengah hari ini. Sembelihlah seekor ternak lalu siapkanlah itu.” 17Hamba itu melaksanakan perintahnya dan membawa saudara-saudara Yusuf ke dalam rumah Yusuf.
18Ketika mereka dibawa ke dalam rumah Yusuf, mereka takut dan berfikir, “Kita dibawa ke sini kerana wang yang di dalam karung kita pada masa kita datang ke sini dahulu. Mereka akan menangkap kita dengan tiba-tiba, lalu mengambil keldai kita dan menjadikan kita abdi.” 19Oleh itu, di pintu rumah Yusuf, mereka berkata kepada pengurus rumah tangga itu, 20“Tuan, kami pernah datang ke sini untuk membeli makanan. 21-22Dalam perjalanan pulang, ketika kami hendak bermalam, kami membuka karung kami lalu nampak semua wang pembayaran gandum kami di atas gandum. Kami tidak tahu siapa yang memasukkan wang itu. Sekarang kami membawanya kembali kepada tuan. Selain itu kami ada membawa wang lebih untuk membeli makanan lagi.”
23Dia menjawab, “Jangan takut. Jangan khuatir. Allah kamu, yang disembah bapa kamu, sudah memasukkan wang itu ke dalam karung kamu. Aku sudah menerima pembayaran kamu untuk gandum itu.” Kemudian dia membawa Simeon kepada mereka.
24Lalu dia menghantar mereka ke dalam rumah. Dia memberikan air kepada mereka untuk membasuh kaki, dan juga makanan untuk keldai mereka. 25Selepas itu mereka menyediakan hadiah untuk diberikan kepada Yusuf apabila dia datang pada waktu tengah hari, kerana mereka sudah diberitahu bahawa mereka akan makan bersama dengan Yusuf. 26Apabila Yusuf sampai di rumah, mereka memberikan hadiah-hadiah itu kepada Yusuf sambil bersujud. 27Yusuf bertanya tentang keadaan mereka, lalu berkata, “Apa khabar bapa kamu yang sudah tua itu, yang pernah kamu ceritakan kepadaku? Adakah dia masih hidup dan sihat?”
28Mereka menjawab, “Bapa kami, hamba tuan, masih hidup dan sihat.” Mereka pun bersujud di hadapannya.
29Apabila Yusuf melihat Benyamin, adiknya, dia berkata, “Inikah adik kamu yang bongsu itu, yang kamu beritahukan aku? Semoga Allah memberkati engkau, anakku.” 30Yusuf berasa terharu kerana rindu dan sayang akan adiknya. Dia hampir tidak dapat menahan diri, kerana itu dia pergi dari situ dengan tiba-tiba, lalu masuk ke biliknya dan menangis. 31Kemudian dia membasuh mukanya, lalu keluar lagi, dan dengan menahan perasaannya dia menyuruh orang menghidangkan makanan. 32Yusuf makan di sebuah meja tersendiri, dan saudara-saudaranya makan di meja yang lain. Orang Mesir yang ada di situ makan di meja yang lain lagi, kerana mereka berasa hina apabila makan bersama dengan orang Ibrani. 33Saudara-saudara Yusuf diberikan tempat duduk di meja yang berhadapan dengan Yusuf, menurut urutan umur masing-masing, mulai daripada yang sulung sampai kepada yang bongsu. Ketika mereka nampak cara mereka diberikan tempat duduk, mereka saling memandang dengan hairan. 34Mereka diberi makanan dari meja Yusuf, tetapi Benyamin mendapat makanan lima kali lebih banyak daripada abang-abangnya. Oleh itu mereka makan dan minum bersama-sama Yusuf, serta bersuka ria.
Terpilih Sekarang Ini:
KEJADIAN 43: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.