HOSEA 5
5
1Hai kamu imam-imam, dengarlah! Hai umat Israel, perhatikanlah baik-baik! Hai kamu anggota kerabat diraja, dengarlah! Kamulah yang seharusnya menghakimi dengan adil, tetapi kamu sendiri akan diadili! Kamu telah menjadi seperti perangkap di Mizpa, seperti jaring yang di pasang di Gunung Tabor, 2dan seperti lubang yang dalam di Sitim. Oleh itu Aku akan menghukum kamu semua. 3Aku tahu tentang dirimu, hai Israel. Kamu tidak dapat bersembunyi daripada-Ku. Kamu tidak setia kepada-Ku, dan orangmu tidak layak menyembah Aku.”
Hosea Memberikan Amaran tentang Penyembahan Berhala
4Kejahatan yang dilakukan oleh umat Israel menghalangi mereka kembali kepada Allah. Mereka sudah dicengkam oleh penyembahan berhala, sehingga mereka tidak lagi mengakui TUHAN. 5Kesombongan umat Israel sangat ketara dan menjadi bukti kesalahan mereka. Dosa mereka menyebabkan mereka tersandung lalu jatuh, dan suku Yehuda pun jatuh bersama-sama mereka. 6Mereka mencari TUHAN dengan membawa domba dan lembu sebagai korban, tetapi perbuatan itu tidak berguna. Mereka tidak akan menemukan TUHAN, sebab Dia telah meninggalkan mereka. 7Mereka tidak setia kepada TUHAN; anak-anak mereka bukan anak-anak-Nya. Oleh itu, tidak lama lagi mereka dan tanah mereka akan dibinasakan.
Peperangan antara Yehuda dan Israel
8Tiuplah trompet di Gibea! Bunyikanlah tanda panggilan untuk berperang di Rama! Teriakkanlah pekik peperangan di Betel! Majulah berperang hai kaum Benyamin! 9Israel akan binasa pada hari hukuman kelak. Dengarlah, hai orang Israel, perkara ini pasti akan berlaku!
10TUHAN berfirman, “Aku murka kerana pemimpin-pemimpin Yehuda telah menyerang Israel dan merampas tanahnya. Oleh itu, Aku akan menimpakan hukuman kepada mereka seperti air bah. 11Sekarang Israel ditindas. Dia kehilangan tanah miliknya kerana dia degil dan minta tolong daripada orang yang tidak dapat menolongnya. 12Oleh itu Aku akan menghancurkan Israel, dan membinasakan suku Yehuda.
13Apabila Israel dan Yehuda menyedari keadaan mereka yang buruk, Israel akan pergi ke negeri Asyur untuk minta tolong daripada raja yang agung, tetapi raja itu tidak dapat menolong atau memperbaiki keadaan mereka. 14Seperti seekor singa, Aku akan menyerang suku Israel dan suku Yehuda. Aku sendiri akan mencabik-cabik mereka lalu meninggalkan mereka. Aku akan menyeret mereka, dan tidak seorang pun dapat menyelamatkan mereka.
15Aku akan meninggalkan umat-Ku sehingga mereka cukup menderita kerana dosa mereka, lalu mereka datang mencari Aku. Mungkin dalam penderitaan, mereka akan berusaha untuk mencari Aku.”
Terpilih Sekarang Ini:
HOSEA 5: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.