YESAYA 58
58
Puasa yang Sejati
1TUHAN berfirman, “Berteriaklah dengan sekuat-kuatnya! Beritahulah umat-Ku, orang Israel tentang dosa mereka! 2Mereka menyembah Aku setiap hari dan mengaku bahawa mereka berhasrat mengenal Aku serta mematuhi hukum-Ku. Mereka berkata bahawa mereka mahu Aku memberi mereka hukum yang adil, dan bahawa mereka suka menyembah Aku.”
3Umat itu bertanya, “Apa gunanya kita berpuasa jika TUHAN tidak melihatnya? Mengapakah kita harus menahan diri daripada makanan jika Dia tidak memperhatikannya?”
TUHAN berfirman kepada mereka, “Ketika kamu berpuasa, kamu mementingkan hal sendiri dan menindas pekerja-pekerja kamu. 4Puasa kamu menyebabkan kamu ganas; kamu bergaduh dan bertengkar. Jangan sangka puasa seperti itu akan menggerakkan hati-Ku untuk mendengarkan doa-doa kamu. 5Apabila berpuasa, kamu menyeksa diri. Kamu menundukkan kepala seperti daun rumput yang runduk. Kamu berbaring di atas kain guni dan abu. Itukah yang kamu sebut puasa? Adakah kamu menyangka bahawa Aku berkenan dengan perbuatan kamu itu?
6Inilah puasa yang Aku kehendaki: tanggalkan belenggu penindasan dan beban ketidakadilan, serta bebaskan orang yang tertindas. 7 Bahagilah makanan kamu dengan orang yang lapar, dan sambutlah orang miskin yang tiada tempat berteduh, ke dalam rumah kamu. Berikanlah pakaian kepada mereka yang tidak mempunyai pakaian, dan jangan tolak sanak saudara kamu sendiri yang memerlukan pertolongan.
8Maka cahaya kamu akan bersinar seperti fajar merekah, dan luka-luka kamu akan segera sembuh. Aku akan sentiasa menyertai kamu untuk menyelamatkan kamu. Hadirat-Ku akan melindungi kamu di setiap sudut. 9Apabila kamu berdoa, Aku akan mengabulkan doa kamu dan apabila kamu memanggil Aku, Aku akan menjawab.
Jika kamu menghentikan penindasan dan penghinaan terhadap orang lain, serta segala kata-kata fitnah; 10jika kamu memberikan makanan kepada orang yang lapar, dan memenuhi keperluan orang yang tertindas, maka kegelapan di sekitar kamu akan menjadi seterang siang. 11Aku akan sentiasa memimpin kamu serta mengenyangkan kamu di tanah kering. Aku akan menjadikan kamu kuat dan sihat. Kamu akan menjadi seperti taman yang mendapat cukup air, dan seperti mata air yang tidak pernah kering. 12Kamu akan membina semula apa yang sudah lama runtuh; kamu akan membinanya semula di atas asas yang lama. Kamu akan dikenal sebagai umat yang membina semula tembok-tembok kota dan rumah-rumah yang runtuh.”
Ganjaran bagi Orang yang Merayakan Hari Sabat
13TUHAN berfirman, “Jika kamu merayakan hari Sabat sebagai hari yang suci, dan tidak mementingkan hal sendiri pada hari itu; jika kamu menghargai hari-Ku yang suci dan menghormatinya dengan tidak berpergian pada hari itu, tidak bekerja, dan tidak bercakap kosong, 14maka kamu akan berbahagia kerana mengabdi kepada-Ku. Aku akan menyebabkan kamu dihormati di seluruh dunia, dan kamu akan menikmati hasil negeri yang Aku berikan kepada nenek moyang kamu, Yakub. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
Terpilih Sekarang Ini:
YESAYA 58: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.