YOHANES 12:20-50

YOHANES 12:20-50 BM

Beberapa orang Yunani ada antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada masa perayaan itu. Mereka datang kepada Filipus, lalu berkata, “Tuan, kami hendak berjumpa dengan Yesus.” (Filipus berasal dari Betsaida di Galilea.) Dia memberitahu Andreas, lalu kedua-duanya pergi memberitahu Yesus. Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tiba masanya Anak Manusia dimuliakan. Sungguh benar apa yang Aku katakan ini: Jika sebiji benih gandum tidak ditanam di tanah lalu mati, benih gandum itu tetap sebiji benih sahaja. Tetapi jika benih itu ditanam lalu mati, maka benih itu akan tumbuh dan menghasilkan banyak gandum. Sesiapa yang mengasihi hidupnya sendiri akan kehilangan hidup itu. Tetapi sesiapa yang tidak mengasihi hidupnya di dunia ini akan memilikinya untuk hidup sejati dan kekal. Sesiapa yang mahu mengabdikan diri kepada-Ku harus mengikut Aku, supaya dia boleh bersama-sama Aku di tempat Aku berada. Bapa-Ku akan menghormati orang yang mengabdikan diri kepada-Ku.” “Hati-Ku gelisah. Apa yang akan Aku katakan? Haruskah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini’? Tidak. Aku datang justeru untuk mengalami saat penderitaan ini. Ya Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!” Kemudian terdengar suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.” Orang ramai di situ mendengar suara itu. Mereka berkata, “Guruh!” Tetapi ada juga yang berkata, “Bukan! Malaikat berkata-kata kepada-Nya!” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Suara itu terdengar bukan untuk kepentingan-Ku, tetapi untuk kepentingan kamu. Tibalah saatnya dunia dihakimi; sekarang penguasa dunia ini akan digulingkan. Apabila Aku ditinggikan di atas bumi, Aku akan memimpin semua orang kepada-Ku.” Dengan kata-kata-Nya ini, Yesus menunjukkan cara Dia akan mati. Orang ramai berkata kepada-Nya, “Taurat kami mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu dapat berkata bahawa Anak Manusia harus ditinggikan di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?” Yesus menjawab, “Cahaya itu akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Teruskanlah perjalanan selama cahaya itu masih ada, supaya kamu tidak ditimpa kegelapan. Seorang yang berjalan dalam kegelapan, tidak tahu ke mana dia pergi. Percayalah kepada cahaya itu selama cahaya itu bersama-sama kamu, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya itu.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pergi dari sana lalu menyembunyikan diri daripada mereka. Meskipun Dia sudah melakukan semua mukjizat itu di hadapan mereka, mereka tidak percaya kepada-Nya. Oleh itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya, “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah kuasa Tuhan ditunjukkan?” Itulah sebabnya mereka tidak dapat percaya, kerana Yesaya juga berkata, “Allah berfirman, ‘Aku sudah membutakan mata mereka, dan menjadikan mereka keras kepala, supaya mata mereka tidak dapat melihat, dan fikiran mereka tidak dapat mengerti, sehingga mereka tidak kembali kepada-Ku untuk Aku sembuhkan.’ ” Yesaya berkata demikian kerana dia sudah melihat kemuliaan Yesus lalu berkata-kata tentang Dia. Walaupun demikian, banyak juga penguasa Yahudi yang percaya kepada Yesus. Tetapi kerana mereka takut dilarang masuk ke rumah ibadat oleh orang Farisi, mereka tidak berani mengakui Yesus secara terang-terangan. Mereka lebih suka dipuji oleh manusia daripada dipuji oleh Allah. Lalu Yesus berseru, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, bukan sahaja percaya kepada-Ku, tetapi juga kepada Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang melihat Aku, juga melihat Dia yang mengutus Aku. Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya tiap-tiap orang yang percaya kepada-Ku tidak tinggal dalam kegelapan. Jika seseorang mendengar ajaran-Ku tetapi tidak mentaatinya, Aku tidak akan menghukum dia. Aku datang, bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya. Sesiapa yang menolak Aku dan tidak menerima perkhabaran-Ku, sudah ada yang akan menghakiminya. Perkhabaran yang Aku sampaikan ini akan menghakiminya pada Hari Kiamat! Aku tidak berkata-kata menurut kemahuan-Ku sendiri, kerana Bapa yang mengutus Aku memerintahkan Aku mengatakan apa yang harus disampaikan. Aku tahu bahawa perintah-Nya itu memberikan hidup sejati dan kekal. Oleh itu Aku menyampaikan perkhabaran seperti yang diberitahukan oleh Bapa kepada-Ku.”