Apa yang Aku katakan itu bukanlah tentang kamu semua. Aku mengenal siapa-siapa yang sudah Aku pilih. Tetapi apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku, ‘Orang yang makan dengan Aku akan melawan Aku.’ Aku memberitahu kamu perkara ini sekarang, sebelum semuanya berlaku. Apabila perkara itu berlaku kelak, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang menyambut orang yang Aku utus, menyambut Aku; sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku.”
Setelah Yesus berkata demikian, hati-Nya gelisah. Lalu Dia berkata dengan terus terang, “Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.”
Pengikut-pengikut Yesus saling memandang, kerana mereka tidak mengetahui orang yang dimaksudkan oleh-Nya. Pengikut yang dikasihi oleh Yesus duduk di sebelah Yesus. Oleh itu Simon Petrus memberikan isyarat kepadanya, “Tanyalah Guru, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.”
Pengikut itu mendekati Yesus lalu bertanya, “Siapakah dia, ya Tuhan?”
Yesus menjawab, “Orang yang Aku berikan roti yang Aku celup ke dalam mangkuk, dialah orang itu.” Oleh itu Yesus mengambil sedikit roti, mencelupnya ke dalam mangkuk, lalu memberikan roti itu kepada Yudas anak Simon Iskariot. Sebaik sahaja Yudas menerima roti itu, Iblis masuk ke dalam hatinya. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Segeralah lakukan apa yang mahu kamu lakukan!” Tidak seorang pun yang makan di situ memahami kata-kata Yesus kepada Yudas. Kerana Yudas memegang beg wang mereka, beberapa orang pengikut menyangka Yesus menyuruh dia membeli bekalan yang diperlukan bagi perayaan itu, atau memberikan sedekah kepada orang miskin.
Yudas menerima roti itu, lalu segera keluar. Hari sudah malam.
Setelah Yudas meninggalkan tempat itu, Yesus berkata, “Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah pun dimuliakan melalui Dia. Jika Allah dimuliakan melalui Anak Manusia, Dia pun dimuliakan oleh Allah sendiri, dan Allah akan segera memuliakan Dia. Anak-anak-Ku, Aku tidak akan tinggal lama lagi dengan kamu. Kamu akan mencari Aku, tetapi seperti yang sudah Aku katakan kepada para penguasa Yahudi, Aku katakan juga kepada kamu, ‘Kamu tidak dapat pergi ke tempat Aku pergi.’ Sekarang Aku memberikan perintah baru kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi. Sebagaimana Aku sudah mengasihi kamu, hendaklah kamu saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.”
Simon Petrus bertanya kepada Yesus, “Ke manakah Tuhan mahu pergi?”
Yesus menjawab, “Ke tempat Aku pergi, engkau tidak dapat ikut sekarang, tetapi engkau akan mengikut Aku kelak.”
Petrus bertanya lagi, “Tuhan, mengapa aku tidak dapat mengikut Tuhan sekarang? Aku sanggup mati untuk Tuhan!”
Yesus menjawab, “Betulkah engkau sanggup mati untuk-Ku? Ketahuilah, sebelum ayam berkokok, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku!”