YOHANES 6

6
Yesus Memberikan Makanan kepada Lima Ribu Orang
(Mat 14.13-21; Mrk 6.30-44; Luk 9.10-17)
1Selepas itu Yesus pergi ke seberang Tasik Galilea, yang juga disebut Tasik Tiberias. 2Banyak orang mengikuti-Nya, kerana mereka telah melihat mukjizat yang dilakukan-Nya ketika Dia menyembuhkan orang sakit. 3Kemudian Yesus naik ke atas bukit lalu duduk di situ dengan pengikut-pengikut-Nya. 4Pada waktu itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. 5Yesus melihat di sekeliling-Nya dan Dia nampak orang berduyun-duyun datang kepada-Nya. Oleh itu Yesus berkata kepada Filipus, “Di manakah kita boleh membeli makanan yang cukup untuk semua orang ini?” ( 6Yesus mengetahui apa yang akan dilakukan-Nya, tetapi Dia berkata demikian kerana Dia hendak menguji Filipus.)
7Filipus menjawab, “Roti seharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup untuk semua orang ini, meskipun setiap orang mendapat sedikit sahaja.”
8Pengikut-Nya yang lain, iaitu Andreas, saudara Simon Petrus berkata, 9“Seorang anak lelaki di sini mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi apa gunanya untuk orang sebanyak ini?”
10Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk.” (Di situ terdapat banyak rumput.) Orang ramai pun duduk; semuanya berjumlah kira-kira lima ribu orang lelaki. 11Yesus mengambil roti itu, lalu Dia mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada orang ramai yang duduk di situ. Selepas itu Dia membahagi-bahagikan ikan itu, lalu semua orang makan sepuas-puasnya. 12Setelah semua orang makan sampai kenyang, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kumpulkanlah lebihan makanan, jangan sampai ada yang terbuang.” 13Mereka mengumpulkan dua belas buah bakul lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai.
14Apabila orang ramai melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus, mereka berkata, “Sesungguhnya Dia Nabi yang diharapkan datang ke dunia!” 15Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksa Dia menjadi raja. Oleh itu Yesus pergi seorang diri ke daerah berbukit.
Yesus Berjalan di atas Air
(Mat 14.22-33; Mrk 6.45-52)
16Apabila hari sudah senja, pengikut-pengikut Yesus turun ke tasik, 17lalu menyeberangi tasik itu dengan perahu ke Kapernaum. Hari sudah gelap tetapi Yesus masih belum datang kepada mereka. 18Sementara itu angin kencang bertiup dan air tasik mula bergelora. 19Pengikut-pengikut-Nya sudah berkayuh kira-kira lima atau enam kilometer, ketika mereka nampak Yesus menghampiri perahu dengan berjalan di atas air. Mereka sangat takut. 20Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah takut, Aku Yesus!” 21Lalu dengan senang hati mereka menyambut Dia naik ke perahu dan pada ketika itu juga sampailah perahu itu di tempat yang ditujui.
Orang Ramai Mencari Yesus
22Keesokan harinya orang ramai yang bermalam di seberang tasik, sedar bahawa hanya ada sebuah perahu di sana. Mereka tahu bahawa para pengikut Yesus telah bertolak dengan perahu itu tanpa Dia. 23Kemudian beberapa buah perahu yang datang dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti setelah Tuhan mengucap syukur. 24Tetapi apabila mereka tidak nampak Yesus mahupun pengikut-pengikut-Nya di situ, mereka pun menaiki perahu-perahu itu lalu pergi ke Kapernaum untuk mencari Yesus.
Yesus, Roti yang Memberikan Hidup
25Apabila mereka berjumpa dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Guru, bilakah guru sampai di sini?”
26Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Kamu mencari Aku bukan kerana kamu memahami maksud mukjizat yang Aku lakukan, tetapi kerana kamu sudah makan sehingga kenyang. 27Janganlah berusaha untuk mendapat makanan yang boleh menjadi basi, tetapi berusahalah untuk mendapat makanan yang boleh memberikan hidup sejati dan kekal. Itulah makanan yang akan diberikan oleh Anak Manusia kepada kamu, kerana Dia sudah dilantik oleh Allah Bapa.”
28Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang harus kami lakukan untuk melakukan kehendak Allah?”
29Yesus berkata, “Inilah perkara yang dikehendaki oleh Allah: Percayalah kepada Dia yang diutus oleh Allah.”
30Mereka bertanya kepada-Nya, “Mukjizat apakah yang dapat guru lakukan supaya kami boleh melihat dan percaya kepada guru? Apakah yang akan guru lakukan? 31 Nenek moyang kami makan manna di padang gurun, seperti yang tertulis di dalam Alkitab: ‘Dia memberikan roti dari syurga sebagai makanan mereka.’ ”
32Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Apa yang diberikan oleh Musa kepada kamu bukan roti dari syurga; Bapa-Ku itulah yang memberi kamu roti sebenar dari syurga. 33Roti yang diberikan oleh Allah adalah Dia yang turun dari syurga dan yang memberikan hidup sejati kepada orang di dunia.”
34“Guru,” kata mereka, “berilah kami roti itu selalu.”
35“Akulah roti yang memberikan hidup,” kata Yesus kepada mereka. “Orang yang datang kepada-Ku tidak akan lapar dan orang yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga selama-lamanya.
36Aku telah memberitahu kamu bahawa kamu sudah melihat Aku, namun kamu tidak percaya kepada-Ku. 37Semua orang yang diserahkan oleh Bapa kepada-Ku akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku, 38kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendak-Ku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku. 39Inilah kehendak Dia yang mengutus Aku: Daripada semua orang yang diserahkan kepada-Ku, tidak seorang pun hilang, tetapi Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat. 40Memang inilah kehendak Bapa-Ku: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat.”
41Orang Yahudi di situ mula bersungut-sungut terhadap Yesus, kerana Dia berkata, “Aku roti yang turun dari syurga.” 42Mereka berkata, “Bukankah dia ini Yesus, anak Yusuf? Kami mengenal ibu bapanya. Bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia turun dari syurga?”
43Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah bersungut-sungut sesama sendiri. 44Tidak seorang pun dapat datang kepada-Ku, kecuali Bapa yang mengutus Aku, memimpin dia datang kepada-Ku lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. 45 Di dalam Kitab Nabi-Nabi tertulis, ‘Semua orang akan diajar oleh Allah.’ Oleh itu sesiapa yang mendengar Bapa dan belajar daripada-Nya, datang kepada-Ku. 46Hal ini tidak bererti bahawa orang sudah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah sudah melihat Bapa.
47Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang percaya kepada-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal. 48Akulah roti yang memberikan hidup. 49Nenek moyang kamu makan manna di padang gurun, dan mereka mati juga. 50Tetapi tidak demikian halnya dengan roti yang turun dari syurga; orang yang makan roti itu tidak akan mati. 51Akulah roti yang memberikan hidup, roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. Roti yang akan Aku berikan itu tubuh-Ku. Aku memberikannya supaya orang di dunia ini boleh hidup.”
52Mendengar kata-kata ini, orang Yahudi mula bertengkar sesama sendiri. “Bagaimanakah orang ini boleh memberikan tubuhnya kepada kita untuk dimakan?” kata mereka.
53Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak akan benar-benar hidup. 54Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal, lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. 55Tubuh-Ku ini makanan sebenar dan darah-Ku ini minuman sebenar. 56Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, hidup bersatu dengan Aku dan Aku dengan dia. 57Bapa yang hidup mengutus Aku; dan Aku hidup, kerana Dia hidup. Begitu juga orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku. 58Inilah roti yang turun dari syurga; roti ini bukan seperti roti yang dimakan nenek moyang kamu, kerana setelah memakannya mereka mati juga. Tetapi orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya.”
59Semuanya ini dikatakan oleh Yesus semasa Dia mengajar di rumah ibadat di Kapernaum.
Kata-Kata yang Memberikan Hidup Sejati dan Kekal
60Banyak pengikut-Nya mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, “Ajaran ini terlalu sukar. Siapakah dapat menerimanya?”
61Tanpa diberitahu, Yesus tahu bahawa pengikut-pengikut-Nya bersungut-sungut tentang hal itu. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, “Adakah hal itu menyebabkan kamu tidak mahu percaya lagi? 62Bagaimanakah jika kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya? 63Yang menyebabkan manusia hidup ialah Roh Allah. Dengan kekuatan sendiri, manusia tidak dapat melakukannya. Kata-kata yang Aku katakan kepada kamu datangnya daripada Roh Allah yang memberikan hidup. 64Namun ada beberapa orang antara kamu yang tidak percaya.” (Yesus tahu dari mulanya siapa-siapa yang tidak mahu percaya, dan orang yang akan mengkhianati Dia.) 65Dia berkata lagi, “Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu bahawa tidak seorang pun boleh datang kepada-Ku, kecuali Bapa memperkenankannya.”
66Sejak itu banyak pengikut Yesus meninggalkan Dia dan tidak mahu mengikut Dia lagi. 67Oleh itu Yesus bertanya kepada dua belas orang pengikut-Nya, “Adakah kamu pun akan meninggalkan Aku?”
68Simon Petrus berkata kepada-Nya, “Ya Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi? Kata-kata Tuhan memberikan hidup sejati dan kekal. 69 Sekarang kami percaya dan yakin bahawa Tuhan utusan suci daripada Allah.”
70Yesus menjawab, “Bukankah Aku memilih kamu dua belas orang ini, namun seorang daripada kamu ini syaitan?” 71Yesus berkata-kata tentang Yudas anak Simon Iskariot. Walaupun Yudas seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, dia akan mengkhianati Yesus.

Terpilih Sekarang Ini:

YOHANES 6: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk