AYUB Kata Pengantar

Kata Pengantar
Kitab Ayub mengisahkan seorang yang baik budi, yang mengalami malapetaka dahsyat; dia kehilangan semua anaknya serta segala harta bendanya dan menghidap penyakit kulit yang menjijikkan. Dalam tiga siri dialog yang berbentuk puisi, penulis menggambarkan cara Ayub dan sahabat-sahabatnya menanggapi malapetaka itu. Cara Allah memperlakukan manusia menjadi pokok utama dalam dialog itu. Akhirnya, Allah sendiri menyatakan diri-Nya kepada Ayub.
Sahabat-sahabat Ayub menjelaskan penderitaan Ayub dari segi pandangan agama yang tradisional. Pada sangkaan mereka, Allah selalu memberikan pahala kepada orang baik dan menghukum orang jahat. Oleh itu mereka berfikir bahawa penderitaan Ayub tentulah akibat dosanya sendiri. Tetapi bagi Ayub, pendapat itu terlalu cetek; tidak sewajarnya dia dijatuhi hukuman yang kejam itu kerana dia seorang yang sangat baik dan jujur. Dia tidak faham sebabnya Allah mengizinkan musibah yang sedahsyat itu menimpa orang seperti dirinya, dan dengan berani dia mencabar Allah. Ayub tidak kehilangan kepercayaannya kepada Allah, tetapi dia sungguh-sungguh ingin dibela oleh Allah dan dihormati semula sebagai orang baik.
Allah tidak memberikan jawapan bagi soalan Ayub, tetapi Allah membalas kepercayaan Ayub dengan memberikan banyak contoh tentang kuasa dan kebijaksanaan-Nya melalui puisi. Kemudian dengan rendah hati, Ayub mengakui kebijaksanaan dan keagungan Allah, lalu menyesali kata-katanya yang melulu dan yang penuh kemarahan.
Bahagian terakhir kitab ini, yang ditulis dalam bentuk prosa, mengisahkan caranya Ayub dipulihkan semula dengan mendapat kekayaan yang jauh lebih banyak daripada kekayaan sebelum itu. Allah memarahi sahabat-sahabat Ayub kerana mereka tidak dapat memahami erti kesengsaraan Ayub. Hanya Ayub yang sungguh-sungguh menyedari bahawa Allah lebih besar daripada apa yang diajarkan agama tradisional tentang Dia.
Kandungan
Pendahuluan 1.1—2.13
Ayub dan Sahabat-sahabatnya 3.1—31.40
a. Keluhan Ayub 3.1-26
b. Dialog Pertama 4.1—14.22
c. Dialog Kedua 15.1—21.34
d. Dialog Ketiga 22.1—27.23
e. Menyanjung Kebijaksanaan 28.1-28
f. Pernyataan Ayub yang Terakhir 29.1—31.40
Ucapan Elihu 32.1—37.24
Tuhan Menjawab Ayub 38.1—42.6
Penutup 42.7-17

Terpilih Sekarang Ini:

AYUB Kata Pengantar: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk