IMAMAT 4
4
Korban bagi Dosa yang Tidak Disengaja
1TUHAN memerintah Musa 2supaya memberitahu orang Israel bahawa jika seseorang berdosa dan melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja, orang itu harus mematuhi peraturan berikut.
3Jika Imam Agung yang berdosa, sehingga menyebabkan semua orang Israel bersalah, dia harus mempersembahkan seekor lembu jantan muda yang tidak ada kecacatan kepada TUHAN, supaya dosanya diampunkan. 4Imam Agung harus membawa lembu jantan itu ke pintu Khemah TUHAN, meletakkan tangannya di atas kepala lembu itu, lalu menyembelihnya di hadapan Khemah. 5Kemudian Imam Agung itu harus mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan itu dan membawanya ke dalam Khemah. 6Dia harus mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu memercikkan darah itu tujuh kali di hadapan tirai yang memisahkan Bilik Suci. 7Kemudian dia harus menyapukan sedikit daripada darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah tempat kemenyan di dalam Khemah TUHAN. Dia harus menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah tempat membakar korban, yang terletak di hadapan pintu Khemah TUHAN. 8Imam Agung harus mengambil semua lemak lembu jantan itu, lemak yang membungkus isi perut, 9buah pinggang dan lemaknya, dan bahagian yang terbaik daripada hati lembu itu. 10Imam harus membakar lemak itu di atas mazbah bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sebagaimana yang dilakukannya pada lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. 11Tetapi dia harus mengambil kulit lembu itu, semua daging, kepala, paha, isi perut termasuk usus lembu itu, 12lalu membawa semuanya ke luar perkhemahan. Di situ semuanya harus dibakar di atas kayu api di tempat membuang abu, iaitu tempat yang dikhaskan untuk hal itu.
13Jika segenap umat Israel berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja, 14maka sebaik sahaja dosa itu diketahui, segenap umat harus mempersembahkan seekor lembu jantan muda bagi korban untuk mengampunkan dosa. Mereka harus membawa lembu itu ke hadapan Khemah TUHAN. 15Para pemimpin umat harus meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu itu, lalu menyembelihnya di situ. 16Kemudian Imam Agung harus membawa sebahagian daripada darah lembu itu ke dalam Khemah TUHAN. 17Di situ dia harus mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu memercikkan darah itu tujuh kali di hadapan tirai yang memisahkan Bilik Suci. 18Dia harus menyapukan sedikit daripada darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah tempat kemenyan yang terletak di dalam Khemah TUHAN, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah tempat membakar korban, yang terletak di hadapan pintu Khemah. 19Selepas itu dia harus mengambil semua lemak lembu itu dan membakarnya di atas mazbah. 20Hal yang dilakukannya pada lembu itu sama seperti yang dilakukannya pada lembu jantan bagi korban untuk mengampunkan dosa. Dengan cara ini, Imam Agung mempersembahkan korban untuk dosa segenap umat, lalu mereka akan diampuni oleh TUHAN. 21Selepas itu Imam Agung harus membawa lembu itu ke luar perkhemahan dan membakarnya, sebagaimana dia membakar lembu bagi korban untuk mengampunkan dosanya sendiri. Inilah korban untuk mengampunkan dosa bagi segenap umat.
22Jika seorang pemimpin berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja, 23sebaik sahaja dia menyedari dosanya, dia harus mempersembahkan seekor kambing jantan yang tidak ada kecacatan. 24Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Inilah korban untuk mengampunkan dosa. 25Imam yang bertugas harus mencelupkan jarinya ke dalam darah kambing itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah. 26Kemudian dia harus membakar semua lemak kambing itu di atas mazbah, sebagaimana dia membakar lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa seorang pemimpin, lalu pemimpin itu akan diampuni oleh TUHAN.
27Jika seorang rakyat jelata berdosa dan bersalah kerana melanggar salah satu perintah TUHAN dengan tidak sengaja, 28sebaik sahaja dia menyedari dosanya, dia harus mempersembahkan seekor kambing betina yang tidak ada kecacatan. 29Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 30Imam harus mencelupkan jarinya ke dalam darah kambing itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah. 31#Bil 15.27-28 Kemudian dia harus memisahkan semua lemak kambing itu, sebagaimana dia memisahkan lemak binatang yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Selepas itu, dia harus membakar lemak itu di atas mazbah. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN.
32Jika seseorang mempersembahkan seekor domba untuk mengampunkan dosanya, domba itu harus betina dan tidak ada kecacatan. 33Orang itu harus meletakkan tangannya di atas kepala domba itu, lalu menyembelihnya di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 34Imam harus mencelupkan jarinya ke dalam darah domba itu, menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah, lalu menuangkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah. 35Kemudian dia harus memisahkan semua lemak domba itu, sebagaimana dia memisahkan lemak domba yang disembelih bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Dia harus membakar lemak itu di atas mazbah bersama dengan persembahan makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Demikianlah cara imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN.
Terpilih Sekarang Ini:
IMAMAT 4: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.