LUKAS 10
10
Yesus Mengutus Tujuh Puluh Dua Orang Pengikut
1Kemudian Yesus memilih tujuh puluh dua orang pengikut pula. Dia mengutus mereka berdua-dua, dan pergi mendahului Dia ke tiap-tiap kota dan tempat yang akan dikunjungi-Nya. 2 Yesus berkata kepada mereka, “Tuaian sungguh banyak, tetapi yang menuai hanya sedikit. Berdoalah kepada Pemilik tuaian supaya Dia menghantar orang untuk menuai tuaian-Nya. 3 Pergilah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. 4Jangan bawa dompet, atau beg sedekah, ataupun kasut. Jangan berhenti di tengah jalan untuk memberikan salam kepada sesiapa pun. 5Apabila kamu masuk ke dalam sebuah rumah, lebih dahulu katakanlah, ‘Semoga sejahteralah rumah ini.’ 6Jika orang yang tinggal di situ suka akan kedamaian, salam sejahtera kamu itu tetap padanya. Jika tidak, batallah salam sejahtera itu. 7 Tinggallah di rumah itu dan makan minum apa sahaja yang dihidangkan, kerana seorang pekerja layak menerima upah. Jangan pindah dari satu rumah ke rumah yang lain. 8Apabila kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu kamu disambut, makanlah apa yang dihidangkan. 9Sembuhkanlah orang sakit di kota itu, dan kepada penduduk di situ katakanlah, ‘Tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu.’ 10Tetapi jika kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu di situ kamu tidak disambut, pergilah ke jalan raya dan berkata, 11 ‘Bahkan debu kota kamu yang melekat pada kaki, kami kebaskan sebagai amaran kepada kamu. Tetapi ketahuilah bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu!’ 12 Ingatlah bahawa pada Hari Pengadilan kelak, Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Sodom daripada penduduk kota itu!”
Penduduk Kota-Kota yang Tidak Percaya
(Mat 11.20-24)
13 “Malanglah kamu, hai penduduk kota Korazin! Malanglah kamu, hai penduduk kota Betsaida! Jika semua mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu telah dilakukan di Tirus dan Sidon, pasti penduduk di sana sudah lama mengenakan kain guni dan menaruh abu di atas kepala untuk membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat daripada dosa! 14Pada Hari Pengadilan kelak Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Tirus dan Sidon daripada kamu! 15 Dan kamu, hai penduduk kota Kapernaum! Kamu fikir kamu akan ditinggikan sampai ke syurga? Tidak! Kamu akan dibuang ke neraka!”
16 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Orang yang mendengar kata-kata kamu, mendengar kata-kata-Ku juga. Tetapi orang yang menolak kamu, menolak Aku juga. Orang yang menolak Aku, juga menolak Dia yang mengutus Aku.”
Tujuh Puluh Dua Orang Pengikut Kembali
17Tujuh puluh dua orang pengikut itu kembali dengan kegembiraan yang besar. “Tuhan,” kata mereka, “roh-roh jahat pun taat kepada kami apabila kami memberikan perintah dengan nama Tuhan!”
18Yesus berkata kepada mereka, “Aku nampak Iblis jatuh dari langit seperti kilat. 19 Dengarlah! Aku sudah memberikan kuasa kepada kamu supaya dapat memijak ular dan kala jengking serta mengalahkan segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa pun dapat mencederakan kamu. 20Tetapi janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga.”
Yesus Bersukacita
(Mat 11.25-27, 13.16-17)
21Pada waktu itu Yesus bersukacita kerana dipenuhi oleh Roh Allah, lalu berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana kepada orang yang tidak terpelajar Engkau telah menunjukkan apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak dan pandai. Ya Bapa, perkara itulah yang menyenangkan hati Bapa.
22 Bapa-Ku sudah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak serta mereka yang diberitahukan oleh Anak tentang Bapa.”
23Lalu Yesus berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, “Alangkah berbahagianya kamu kerana dapat melihat apa yang kamu lihat sekarang ini! 24Ketahuilah bahawa banyak nabi dan raja mahu melihat apa yang kamu lihat sekarang ini tetapi tidak dapat, dan mahu mendengar apa yang kamu dengar sekarang ini tetapi juga tidak dapat.”
Perumpamaan tentang Orang Samaria yang Baik Hati
25 Kemudian seorang guru Taurat datang untuk memerangkap Yesus. Dia bertanya, “Guru, apakah yang harus saya lakukan supaya mendapat hidup sejati dan kekal?”
26Yesus menjawab, “Apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Bagaimana tafsiranmu?”
27 Orang itu menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan segala kekuatanmu, dan dengan seluruh akalmu’; dan ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ ”
28 Yesus berkata kepadanya, “Jawapanmu itu benar. Berbuatlah demikian, dan kamu akan mendapat hidup sejati dan kekal.”
29Tetapi guru Taurat itu hendak membela diri, lalu bertanya, “Siapakah sesama saya?”
30Yesus menjawab, “Seorang lelaki turun dari Yerusalem dan pergi ke Yerikho. Di tengah perjalanan, dia diserang penyamun. Mereka merompak dan memukul dia setengah mati, lalu meninggalkannya di tepi jalan. 31Kebetulan pada masa itu seorang imam lalu di situ. Apabila dia melihat orang itu, dia menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan. 32Demikian juga seorang Lewi lalu di situ. Dia mendekati orang itu untuk melihatnya, lalu menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan. 33Tetapi seorang Samaria yang sedang lalu di situ, tiba di tempat orang itu terbaring. Ketika dia melihat orang itu, hatinya penuh belas kasihan. 34 Maka dia mendekatinya lalu membersihkan luka-lukanya dengan wain dan mengubatinya dengan minyak. Selepas itu dia membalut luka-lukanya dan menaikkan orang itu ke atas haiwan tunggangannya sendiri. Dia membawa orang itu ke rumah tumpangan dan merawat dia di situ. 35Keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan itu dan berkata kepadanya, ‘Rawatlah dia, dan sekiranya wang ini tidak cukup, saya akan membayarnya apabila saya kembali ke sini.’ ”
36Lalu Yesus mengakhiri ceritanya dengan bertanya, “Menurut pendapatmu, di antara ketiga-tiga orang itu, siapakah yang menjadi sesama orang yang dirompak itu?”
37Guru Taurat itu menjawab, “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.”
Yesus berkata pula, “Pergilah dan berbuatlah demikian!”
Yesus Melawat Marta dan Maria
38Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meneruskan perjalanan, lalu tiba di sebuah pekan. Di situ seorang wanita bernama Marta menjemput Yesus ke rumahnya. 39 Marta mempunyai seorang saudara perempuan bernama Maria. Maria duduk dekat kaki Tuhan untuk mendengarkan ajaran-Nya. 40Tetapi Marta gelisah kerana banyak kerja yang harus dilakukannya. Marta menghampiri Yesus dan berkata, “Ya Tuhan, tidakkah Tuhan peduli bahawa Maria membiarkan aku sibuk seorang diri? Suruhlah dia tolong aku!”
41Tuhan menjawab, “Marta, Marta! Kamu sibuk serta khuatir akan banyak perkara, 42tetapi hanya satu yang mustahak! Maria sudah memilih perkara baik, yang tidak akan diambil daripadanya.”
Terpilih Sekarang Ini:
LUKAS 10: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.