LUKAS 23:26-49

LUKAS 23:26-49 BM

Askar-askar itu membawa Yesus pergi, lalu di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon, yang berasal dari Kirene. Dia sedang memasuki kota. Askar-askar itu menangkap dia, lalu memaksa dia memikul salib Yesus dan berjalan di belakang Yesus. Banyak orang mengikut Yesus dan antara mereka ada beberapa orang wanita yang menangisi dan meratapi Yesus. Yesus berpaling kepada mereka dan berkata, “Wanita-wanita Yerusalem, janganlah tangisi Aku. Tangisilah diri kamu sendiri dan anak-anak kamu. Masanya akan tiba apabila orang berkata, ‘Alangkah bertuahnya wanita yang tidak pernah mengandung, yang tidak pernah melahirkan dan menyusukan bayi!’ Itulah masanya apabila orang akan berkata kepada gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit, ‘Sembunyikanlah kami!’ Jika demikian yang dilakukan mereka terhadap kayu yang masih hijau, apa pula yang akan dilakukan mereka terhadap kayu yang kering?” Ada pula dua orang penjahat yang akan disalibkan bersama-sama Yesus. Apabila tiba di tempat yang disebut “Tengkorak,” mereka menyalibkan Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu - seorang di sebelah kanan Yesus dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka.” Pakaian Yesus dibahagi-bahagikan antara mereka sendiri dengan membuang undi. Semua orang yang berdiri di situ memandang sahaja, tetapi para pemimpin orang Yahudi mengejek Dia dengan berkata, “Dia telah menyelamatkan orang lain. Jika dia benar-benar Penyelamat yang dipilih oleh Allah, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri!” Askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekati Yesus lalu memberikan wain masam kepada-Nya. Mereka berkata, “Jika kamu raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri!” Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: “Inilah Raja Orang Yahudi.” Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, “Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!” Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati. Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!” Lalu dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus.” Kira-kira pukul dua belas tengah hari, matahari tidak bersinar dan seluruh negeri itu diliputi kegelapan sehingga pukul tiga petang. Pada waktu itu tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak menjadi dua helai. Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, “Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal. Ketua askar nampak apa yang telah berlaku. Dia memuji Allah dan berkata, “Memang Dia tidak bersalah!” Apabila semua orang yang berkumpul di situ melihat apa yang telah berlaku, mereka semua pulang ke rumah sambil menebah dada kerana menyesal. Semua sahabat Yesus, termasuk wanita-wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea, berdiri dari jauh dan menyaksikan semua perkara itu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan LUKAS 23:26-49

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami