LUKAS 23:26-49

LUKAS 23:26-49 Alkitab Berita Baik (BM)

Askar-askar itu membawa Yesus pergi, lalu di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon, yang berasal dari Kirene. Dia sedang memasuki kota. Askar-askar itu menangkap dia, lalu memaksa dia memikul salib Yesus dan berjalan di belakang Yesus. Banyak orang mengikut Yesus dan antara mereka ada beberapa orang wanita yang menangisi dan meratapi Yesus. Yesus berpaling kepada mereka dan berkata, “Wanita-wanita Yerusalem, janganlah tangisi Aku. Tangisilah diri kamu sendiri dan anak-anak kamu. Masanya akan tiba apabila orang berkata, ‘Alangkah bertuahnya wanita yang tidak pernah mengandung, yang tidak pernah melahirkan dan menyusukan bayi!’ Itulah masanya apabila orang akan berkata kepada gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit, ‘Sembunyikanlah kami!’ Jika demikian yang dilakukan mereka terhadap kayu yang masih hijau, apa pula yang akan dilakukan mereka terhadap kayu yang kering?” Ada pula dua orang penjahat yang akan disalibkan bersama-sama Yesus. Apabila tiba di tempat yang disebut “Tengkorak,” mereka menyalibkan Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu - seorang di sebelah kanan Yesus dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka.” Pakaian Yesus dibahagi-bahagikan antara mereka sendiri dengan membuang undi. Semua orang yang berdiri di situ memandang sahaja, tetapi para pemimpin orang Yahudi mengejek Dia dengan berkata, “Dia telah menyelamatkan orang lain. Jika dia benar-benar Penyelamat yang dipilih oleh Allah, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri!” Askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekati Yesus lalu memberikan wain masam kepada-Nya. Mereka berkata, “Jika kamu raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri!” Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: “Inilah Raja Orang Yahudi.” Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, “Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!” Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati. Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!” Lalu dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus.” Kira-kira pukul dua belas tengah hari, matahari tidak bersinar dan seluruh negeri itu diliputi kegelapan sehingga pukul tiga petang. Pada waktu itu tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak menjadi dua helai. Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, “Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal. Ketua askar nampak apa yang telah berlaku. Dia memuji Allah dan berkata, “Memang Dia tidak bersalah!” Apabila semua orang yang berkumpul di situ melihat apa yang telah berlaku, mereka semua pulang ke rumah sambil menebah dada kerana menyesal. Semua sahabat Yesus, termasuk wanita-wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea, berdiri dari jauh dan menyaksikan semua perkara itu.

LUKAS 23:26-49 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka tŭngah dibawah ulih marika itu akan dia, lalu ditangkapnya sa’orang Serini, Simon namanya yang kluar deri nŭgri, maka dilŭtakkannya kayu salib itu atasnya supaya dipikulnya itu deri blakang Isa. ¶ Maka adalah mŭngikut akan dia itu tŭrlalu banyak orang dan pŭrampuan, yang ada bŭrdukachita dan mŭratapkan dia. Tŭtapi Isa bŭrpaling kapada marika itu katanya, Hie anak anak Jerusalem janganlah kamu mŭnangis sŭbab aku, mŭlainkan mŭnangiskanlah kŭrna dirimu sundiri dan kŭrna anak anakmu. Kŭrna sasungguhnya zaman kŭlak akan datang pada masa itu marika itu akan bŭrkata, Slamatlah kiranya mandol dan rahim rahim yang tiada pŭrnah mŭngandong, dan tetek yang tiada pŭrnah mŭmbri susu. Maka pada masa itu kŭlak, marika itu akan mŭmulai bŭrkata kapada gunong gunong, timpahlah ka’atas kami, dan kapada bukit bukit tudongkanlah akan kami. Kŭrna jikalau marika itu bŭrbuat pŭrkara pŭrkara ini dalam sa’puhon kayu muda, bŭtapa kŭlak akan jadi dalam yang tua? Maka adalah dua orang lain pun yang dŭrhaka dibawa orang bŭrsama sama dŭngan Isa yang handak dibunoh. Maka apabila sampielah marika itu kapada tŭmpat yang bŭrnama Kalbari maka disanalah disalibkannya akan Isa dan orang orang yang dŭrhaka itu, sa’orang disŭblah kanan dan sa’orang disŭblah kiri. ¶ Sŭtlah itu kata Isa, Ayah ampunilah akan marika itu kŭrna tiada dikŭtahui marika itu apa yang dipŭrbuatnya. Maka dibahgi ulih marika itu pakiean Isa dŭngan mŭmbuang undi. Maka kaum kaum itu pun bŭrdirilah mŭmandang; maka pŭnghulu pŭnghulu pun bŭrsama sama dŭngan marika itu mŭnista akan dia katanya, Iya mŭlŭpaskan orang orang lain, biarlah dilŭpaskannya dirinya sŭndiri jikalau iya Almasih yang tŭlah tŭrpileh ulih Allah. Maka rayat rayat itu pun mŭngolok olok akan dia, datang kapadanya lalu dibrinya akan dia chuka; Sambil bŭrkata, Jikalau angkau raja orang orang Yahudi lŭpaskanlah dirimu sŭndiri. Maka suatu pŭnudohan pun tŭlah dituliskan diatasnya dŭngan huruf Grika dan Rom dan Ibrani: INILAH DIA RAJA ORANG YAHUDI. ¶ Maka adalah sa’orang deripada orang orang dŭrhaka yang tŭlah digantong itu, mŭnista akan dia katanya, Jikalau angkau sungguh Almasih lŭpaskanlah akan dirimu sŭrta kami. Tŭtapi yang lain mŭnjawab sŭrta ditŭngkingnya akan dia katanya, Tiadakah angkau takot akan Allah, sŭdang angkau kŭna akan sama hukuman? Maka kami ini sungguh dŭngan sŭpatut patutnya, kŭrna kami mŭnŭrima akan balasan yang patut atas pŭrbuatan kami, tŭtapi orang itu suatu pun tiada pŭrbuatannya yang salah. Maka katanya kapada Isa, Tuhan, ingatlah akan daku apa bila angkau masok dalam krajaanmu kŭlak. Maka kata Isa padanya, Sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, pada hari ini angkau bŭrsama sama dŭngan aku dalam fŭrdus. Maka adalah kira kira pada pukol duablas, maka tŭlah jadi gŭlap diatas bumi sampielah pada pukol tiga pŭtang. Maka matahari pun gŭlaplah, dan tirie ka’abah pun chareklah tŭngah tŭngahnya. ¶ Maka apabila bŭrtriaklah Isa dŭngan nyaring suara, katanya, Ayah, dalam tanganmulah aku sŭrahkan rohku; maka sŭtlah sudah iya bŭrkata dŭmkian, maka putuslah nyawanya. Maka apabila dilihat ulih pŭnghulu sa’ratus orang apa yang tŭlah jadi itu, iya pun mŭmuliakan Allah, katanya, Sŭsungguhnya inilah sa’orang yang bŭnar. Maka sagala kaum itu yang datang bŭrsama sama handak mŭlihat itu, sŭtlah dilihatnyalah akan pŭrkara pŭrkara yang tŭlah jadi itu, ditŭpoknya dadanya, lalu pulang. Maka sagala kŭnal kŭnalannya, dan pŭrampuan pŭrampuan yang mŭngikot akan dia deri Galilia, bŭrdirilah jauh jauh mŭlihatkan sagala pŭrkara ini.

LUKAS 23:26-49 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika askar-askar membawa Yesus ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Yesus dan berjalan di belakang-Nya. Ramai orang mengikut Yesus; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya. Yesus berpaling kepada mereka lalu berkata, “Kaum perempuan Yerusalem, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri. Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, ‘Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!’ Pada masa itulah mereka akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit, ‘Timbuslah kami!’ Jika perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?” Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Yesus. Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, “Tengkorak,” mereka pun menyalib Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-Nya, “Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya Kristus yang dipilih oleh Allah.” Askar-askar juga memperolok-olokkan Yesus. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu.” Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: “Inilah Raja orang Yahudi.” Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!” Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati. Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.” Dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.” Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.” Ketika itu kira-kira jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan, kerana matahari berhenti bersinar. Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terbelah dua. Yesus berseru dengan kuat, “Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir. Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, “Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.” Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka. Semua sahabat Yesus, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.