MATIUS 18

18
Siapa yang Terbesar?
(Mrk 9.33-37; Luk 9.46-48)
1 Pada waktu itu pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus dan bertanya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah?”
2Yesus memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. 3 Lalu Yesus berkata, “Ketahuilah! Kecuali kamu mengubah sikap dan menjadi seperti kanak-kanak, kamu tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah. 4Orang yang dianggap terbesar antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah adalah orang yang merendahkan diri dan menjadi seperti kanak-kanak. 5Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku.”
Hal-Hal yang Menyebabkan Orang Berdosa
(Mrk 9.42-48; Luk 17.1-2)
6“Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam. 7Alangkah malangnya dunia ini kerana ada perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa. Perkara-perkara seperti ini akan sentiasa berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya!
8 Jika tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah tangan atau sebelah kaki, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah tangan atau kaki. 9 Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah mata, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah mata.”
Perumpamaan tentang Domba yang Sesat
(Luk 15.3-7)
10“Awas! Jangan hina salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa di hadirat Bapa-Ku di syurga.
11 [Anak Manusia datang untuk menyelamatkan orang yang sesat!]
12Bagaimanakah pendapat kamu? Apakah yang akan dilakukan oleh seorang yang mempunyai seratus ekor domba, jika seekor daripada kawanan domba itu sesat? Tentunya orang itu akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang meragut rumput di bukit, lalu pergi mencari domba yang sesat itu. 13Ketahuilah! Apabila dia menjumpai domba itu, kegembiraannya atas domba yang seekor itu lebih besar daripada kegembiraannya atas sembilan puluh sembilan ekor domba lainnya yang tidak sesat. 14Demikian juga Bapa kamu yang di syurga tidak mahu salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini sesat.”
Jika Saudaramu Berdosa
15 “Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah kepadanya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan hal ini dengan diam-diam antara kamu berdua sahaja. Jika dia menurut kata-katamu, maka kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. 16 Tetapi jika tidak, bawalah seorang atau dua orang bersama-samamu. Berbuatlah demikian kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Tiap-tiap tuduhan harus dikuatkan oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.’ 17Jika dia tidak mahu menerima nasihat mereka, beritahukan perkara itu kepada jemaah. Akhirnya jika dia masih tidak mahu menerima nasihat jemaah, anggaplah dia sebagai orang yang tidak mengenal Allah atau sebagai pemungut cukai.”
Yang Dilarang dan yang Diizinkan
18 “Ketahuilah, apa yang kamu larang di dunia, akan dilarang juga di syurga. Apa yang kamu izinkan di dunia, akan diizinkan juga di syurga.
19Ketahuilah juga, setiap kali dua orang antara kamu di dunia ini bersetuju berdoa bagi perkara apa sahaja, doa itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga. 20Hal itu demikian kerana apabila dua atau tiga orang berkumpul kerana Aku, Aku pun di situ bersama-sama mereka.”
Perumpamaan tentang Pegawai yang Tidak Mahu Mengampuni Orang
21Petrus datang kepada Yesus dan bertanya, “Ya Tuhan, jika saudaraku berdosa terhadap aku, berapa kalikah harus aku ampuni dia? Sehingga tujuh kalikah?”
22 Yesus menjawab, “Bukan tujuh kali, tetapi tujuh puluh kali tujuh kali! 23Aku berkata demikian, kerana apabila Allah memerintah keadaannya seperti berikut. Seorang raja hendak memeriksa akaun pegawai-pegawainya. 24Apabila raja mula berbuat demikian, salah seorang pegawainya yang meminjam wang beratus-ratus juta dibawa menghadap. 25Pegawai itu tidak mempunyai cukup wang untuk melunaskan hutangnya. Oleh itu, raja memberikan perintah supaya pegawai itu dijual sebagai hamba bersama-sama anak isterinya dan segala harta miliknya, untuk melunaskan hutang. 26Pegawai itu sujud di hadapan raja dan memohon, ‘Bersabarlah terhadap hamba. Hamba akan melunaskan segala hutang hamba.’ 27Raja itu kasihan kepadanya lalu menghapuskan semua hutangnya dan membebaskan dia.
28Tetapi apabila pegawai itu keluar, dia berjumpa dengan seorang pegawai lain yang berhutang wang beberapa ratus sahaja kepadanya. Dia menangkap rakannya, lalu mencekiknya dan berkata, ‘Lunaskan semua hutangmu.’ 29Rakannya itu sujud di hadapannya dan memohon, ‘Bersabarlah, aku akan melunaskan hutangku!’ 30Tetapi pegawai itu tidak menghiraukan permohonan rakannya. Sebaliknya, dia memberikan perintah supaya rakannya dipenjarakan sehingga dia melunaskan hutangnya. 31Apabila pegawai-pegawai yang lain melihat hal itu, mereka sangat sedih dan melaporkan segala perkara itu kepada raja. 32Lalu raja memanggil pegawai yang jahat itu dan bertitah, ‘Hai hamba yang jahat! Semua hutangmu sudah dihapuskan kerana kamu memohon supaya beta mengampunimu. 33Sepatutnya kamu mengasihani rakanmu, sebagaimana beta sudah mengasihani kamu.’ 34Raja sangat murka, lalu pegawai yang jahat itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dilunaskan.”
35Yesus mengakhiri ceritanya dan berkata, “Demikianlah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripada kamu, jika kamu tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas.”

Terpilih Sekarang Ini:

MATIUS 18: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk