MATIUS 22:1-14

MATIUS 22:1-14 BM

Yesus berkata-kata lagi kepada orang ramai dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti perumpamaan ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk puteranya. Raja menyuruh hamba-hambanya memberitahu para jemputan supaya datang ke majlis jamuan itu. Tetapi mereka tidak mahu datang. Kemudian raja itu menyuruh hamba-hambanya yang lain. Raja bertitah, ‘Beritahu para jemputan itu bahawa jamuan sudah disiapkan; lembu jantan dan anak-anak lembu yang terbaik sudah disembelih, dan semuanya sudah tersedia. Datanglah ke majlis perkahwinan!’ Tetapi para jemputan itu tidak peduli. Mereka pergi melakukan pekerjaan masing-masing: Yang seorang pergi ke ladang, yang seorang lagi pergi ke kedai, sedang yang lain menangkap hamba-hamba itu, lalu memukul dan membunuh mereka. Raja itu sangat murka dan menyuruh askar-askarnya membunuh semua pembunuh itu serta membakar kota mereka. Lalu raja memanggil hamba-hambanya dan bertitah, ‘Majlis perkahwinan sudah siap, tetapi semua orang yang dijemput itu tidak layak menerima jemputan itu. Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemputlah seberapa banyak mungkin orang yang kamu temui, ke majlis perkahwinan ini.’ Demikianlah hamba-hamba raja itu pergi ke jalan raya dan mengumpulkan semua orang yang dijumpai mereka, orang yang baik mahupun yang jahat. Lalu penuhlah balai majlis jamuan itu dengan tetamu. Raja itu masuk untuk melihat para tetamunya, dan raja nampak seorang yang tidak memakai pakaian pesta. Raja bertitah kepadanya, ‘Kawan, engkau tidak memakai pakaian pesta. Engkau tidak patut berada di sini.’ Orang itu tidak berkata sepatah pun. Lalu raja itu bertitah kepada hamba-hambanya, ‘Ikat kaki dan tangan orang ini, dan buang dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana orang akan menangis dan menderita.’ ” Lalu Yesus mengakhiri perumpamaan itu sambil berkata, “Banyak yang dijemput, tetapi hanya sedikit yang terpilih.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami