MATIUS 22:1-14

MATIUS 22:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus berkata-kata lagi kepada orang ramai dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti perumpamaan ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk puteranya. Raja menyuruh hamba-hambanya memberitahu para jemputan supaya datang ke majlis jamuan itu. Tetapi mereka tidak mahu datang. Kemudian raja itu menyuruh hamba-hambanya yang lain. Raja bertitah, ‘Beritahu para jemputan itu bahawa jamuan sudah disiapkan; lembu jantan dan anak-anak lembu yang terbaik sudah disembelih, dan semuanya sudah tersedia. Datanglah ke majlis perkahwinan!’ Tetapi para jemputan itu tidak peduli. Mereka pergi melakukan pekerjaan masing-masing: Yang seorang pergi ke ladang, yang seorang lagi pergi ke kedai, sedang yang lain menangkap hamba-hamba itu, lalu memukul dan membunuh mereka. Raja itu sangat murka dan menyuruh askar-askarnya membunuh semua pembunuh itu serta membakar kota mereka. Lalu raja memanggil hamba-hambanya dan bertitah, ‘Majlis perkahwinan sudah siap, tetapi semua orang yang dijemput itu tidak layak menerima jemputan itu. Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemputlah seberapa banyak mungkin orang yang kamu temui, ke majlis perkahwinan ini.’ Demikianlah hamba-hamba raja itu pergi ke jalan raya dan mengumpulkan semua orang yang dijumpai mereka, orang yang baik mahupun yang jahat. Lalu penuhlah balai majlis jamuan itu dengan tetamu. Raja itu masuk untuk melihat para tetamunya, dan raja nampak seorang yang tidak memakai pakaian pesta. Raja bertitah kepadanya, ‘Kawan, engkau tidak memakai pakaian pesta. Engkau tidak patut berada di sini.’ Orang itu tidak berkata sepatah pun. Lalu raja itu bertitah kepada hamba-hambanya, ‘Ikat kaki dan tangan orang ini, dan buang dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana orang akan menangis dan menderita.’ ” Lalu Yesus mengakhiri perumpamaan itu sambil berkata, “Banyak yang dijemput, tetapi hanya sedikit yang terpilih.”

MATIUS 22:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka bŭrkata Isa pada marika itu pula dŭngan bŭbrapa pŭrumpamaan; Katanya, Krajaan shorga itu adalah saumpama dŭngan sa’orang raja yang tŭlah mŭmbuat pŭrjamuan kahwen anak laki lakinya. Maka disurohnyalah hamba hambanya pŭrgi panggil orang orang yang dijŭmpot itu datang kapada pŭrjamuan kahwen itu, maka tiadalah marika itu mahu datang. Maka disurohnya pula hamba hambanya yang lain, katanya, Katakanlah kapada orang orang yang dijŭmpot itu, bahwa sasungguhnya aku tŭlah sŭdiakan sajianku, dan lŭmbuku, dan binatangku yang gŭmok gŭmok itu tŭlah kusŭmbleh, maka skaliannya itu tŭlah sŭdialah; marilah kamu kapada pŭrjamuan kahwen. Tŭtapi tiada juga diindahkan ulih marika itu, maka masing masing pŭrgilah kŭsana sini, sa’orang kŭladangnya, dan sa’orang kapada pŭrniagaannya. Maka sŭtŭngah orang lain pula mŭnangkap hambanya itu, dibuatnya buta tuli akan dia, sŭrta dibunohnya. Apabila didŭngar ulih raja itu akan hal yang dŭmkian, maka morkalah iya, sŭrta disurohkannya rayat prangnya pŭrgi mŭmbinasakan orang yang mŭmbunoh itu, dan bakar nŭgrinya. Tŭtkala itu, maka bŭrkatalah raja itu kapada hambanya, Sungguh pun pŭrjamuan kahwen ini sudah sŭdia, akan tŭtapi orang orang yang tŭlah dijŭmpot itu tiada layak akan dia. Sŭbab itu pŭrgilah kamu kapada sempang sempang jalan, maka sŭbanyak orang yang kamu bŭrtŭmu, jŭmpotlah marika itu datang kapada pŭrjamuan kahwen ini. Kŭlakian maka kluarlah hamba hambanya pŭrgi sŭgŭnap sempang sempang jalan, lalu dihimponkannyalah sagala orang yang didapatinya deripada orang yang jahat dan yang baik, sahingga sŭsaklah pŭrjamuan kahwen itu pŭnoh dŭngan jamunya. Maka apabila masoklah raja, sŭbab handak mŭlihat sagala jamunya itu, maka didapatinya diantara marika itu, sa’orang yang tiada mŭmakie pakiean yang layak pada pŭrjamuan kahwen itu. Maka bŭrkatalah raja padanya, Hie sahabatku, bagimana angkau masok kŭmari dŭngan tiada mŭmakie pakiean yang layak kapada pŭrjamuan kahwen ini? Maka diamlah iya. Tŭtkala itu, maka bŭrkatalah raja kapada hamba hambanya, Ikatlah kaki tangannya ini, bawa pŭrgi, tolakkan iya itu kadalam gŭlap yang jauh skali deripada trang, maka disanalah ada tangis tangisan, dan gŭrtak gigi. Kŭrna banyaklah orang yang dipanggil, tŭtapi sŭdikitlah orang yang dipileh.

MATIUS 22:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus bercakap lagi kepada orang ramai melalui ibarat. Dia berkata, “Kerajaan syurga seperti ibarat ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk anaknya. Raja menitahkan hamba-hambanya menjemput orang ke majlis jamuan itu tetapi mereka enggan hadir. Kemudian raja itu menghantar lagi hamba-hambanya yang lain. Titah raja itu, ‘Katakan kepada mereka, lembu yang terbaik telah disembelih, semuanya sudah siap, datanglah ke majlis perkahwinan.’ Tetapi orang yang diundang tidak ambil peduli, masing-masing sibuk dengan kerjanya. Ada yang ke ladang, ada yang ke kedai. Manakala yang lain menangkap hamba-hamba itu lalu mendera dan membunuh mereka. Raja pun teramat murka lalu menitahkan tenteranya menghapuskan semua pembunuh itu dan membakar kota mereka. Setelah itu, raja memanggil hamba-hambanya dan berkata, ‘Majlis perkahwinan sudah siap tetapi orang yang diundang tidak layak menghadirinya. Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemput seramai mungkin orang yang kamu temui ke majlis perkahwinan ini.’ Hamba-hamba raja itu pun pergi ke jalan raya lalu mengumpulkan semua orang yang ditemui, tidak kira baik ataupun jahat, maka penuh sesaklah balai majlis jamuan itu dengan tetamu. Raja itu masuk melihat para tetamunya. Dilihatnya seorang yang tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan. Raja berkata kepadanya, ‘Bagaimana engkau dapat masuk ke sini dengan tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan?’ Orang itu terdiam. Raja itu pun berkata kepada hamba-hambanya, ‘Ikat kaki dan tangan orang ini, buangkan dia ke dalam kegelapan di luar. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’ ” “Ramai yang dipanggil, tetapi cuma sedikit yang dipilih.”