MATIUS 5:27-48

MATIUS 5:27-48 BM

“Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati. Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam neraka. Jika tangan kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan itu! Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan daripada seluruh tubuh kamu masuk ke dalam neraka.” “Ada juga ajaran yang mengatakan, ‘Sesiapa menceraikan isterinya, hendaklah orang itu memberikan surat cerai kepadanya.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana perzinaan, orang itu membuat isterinya berzina jika wanita ini berkahwin lagi. Orang yang mengahwini wanita yang diceraikan itu, berzina juga.” “Kamu sudah mendengar bagaimana nenek moyang kita diajar seperti berikut: ‘Jangan mungkir janji. Lakukanlah apa yang sudah kamu janjikan dengan sumpah di hadapan Tuhan.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan bersumpah sama sekali. Jangan bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah, atau demi bumi, kerana bumi itu alas kaki-Nya; atau demi Yerusalem, kerana kota itu kota Allah, Raja yang besar. Jangan bersumpah bahkan demi kepala kamu, kerana kamu tidak berkuasa membuat sehelai rambut menjadi putih ataupun hitam. Cukuplah kamu berkata ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Kata-kata yang lebih daripada itu datangnya daripada Iblis.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Mata ganti mata; gigi ganti gigi.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan balas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepada kamu. Sebaliknya jika seseorang menampar pipi kananmu untuk menghina kamu, biarkanlah dia menampar pipi kirimu juga. Jika seseorang mendakwa kamu di mahkamah untuk menuntut bajumu, berikanlah jubahmu juga. Jika seorang askar penjajah memaksa kamu mengangkat barangnya sejauh satu kilometer, angkatlah barangnya sejauh dua kilometer. Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikanlah apa yang dimintanya. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripada kamu, pinjamkan apa yang dikehendakinya.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga, kerana Allah menerbitkan matahari yang dijadikan-Nya untuk orang yang baik dan yang jahat. Dia menurunkan hujan untuk orang yang mentaati Allah dan juga untuk orang yang tidak mentaati-Nya. Patutkah kamu menerima pahala daripada Allah, jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu? Bukankah para pemungut cukai pun berbuat demikian? Jika kamu hanya beramah-ramahan dengan kawan-kawan kamu, apakah kelebihannya? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian! Kamu harus mengasihi semua orang, seperti Bapa kamu yang di syurga mengasihi semua orang.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami