MATIUS 8:18-34

MATIUS 8:18-34 BM

Yesus nampak orang ramai di sekeliling-Nya, lalu Dia menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi ke seberang tasik. Seorang guru Taurat datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, saya bersedia mengikut guru ke mana sahaja guru pergi!” Yesus menjawab, “Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.” Lalu seorang pengikut yang lain berkata, “Tuan, izinkanlah saya balik terlebih dahulu untuk menguburkan jenazah bapa saya.” Tetapi Yesus menjawab, “Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri.” Yesus menaiki sebuah perahu dan pengikut-pengikut-Nya pergi bersama-sama Dia. Tiba-tiba ribut membadai dan melanda tasik itu sehingga ombak memenuhi perahu. Tetapi Yesus sedang tidur. Oleh itu pengikut-pengikut-Nya pergi kepada-Nya lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Ya Tuhan, selamatkanlah kami! Kita hampir mati!” Yesus menjawab, “Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu kurang percaya kepada-Ku?” Lalu Yesus bangun dan menengking angin dan ombak itu. Dengan segera tasik itu menjadi tenang sekali. Para pengikut Yesus hairan. Mereka berkata, “Angin dan ombak pun taat kepada perintah-Nya. Orang apakah Dia ini?” Apabila Yesus tiba di seberang tasik di daerah Gadara, Dia didatangi oleh dua orang yang dirasuk roh jahat. Mereka keluar dari gua kubur dan mereka sangat ganas, sehingga tiada sesiapa pun berani lalu di situ. Apabila mereka melihat Yesus, mereka berseru, “Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap kami, hai Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum waktunya?” Tidak jauh dari situ, ada kawanan babi yang sedang makan. Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, “Jika Engkau hendak memerintah kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam kawanan babi itu.” “Pergilah,” kata Yesus. Dengan segera roh-roh jahat itu meninggalkan kedua-dua orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi itu. Semua babi itu lari ke pinggir jurang, terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan segala perkara itu dan apa yang telah berlaku kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh jahat. Semua orang di bandar itu pergi menjumpai Yesus. Apabila mereka melihat Yesus, mereka memohon supaya Dia meninggalkan kawasan mereka.