MATIUS 8:18-34
MATIUS 8:18-34 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus nampak orang ramai di sekeliling-Nya, lalu Dia menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi ke seberang tasik. Seorang guru Taurat datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, saya bersedia mengikut guru ke mana sahaja guru pergi!” Yesus menjawab, “Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.” Lalu seorang pengikut yang lain berkata, “Tuan, izinkanlah saya balik terlebih dahulu untuk menguburkan jenazah bapa saya.” Tetapi Yesus menjawab, “Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri.” Yesus menaiki sebuah perahu dan pengikut-pengikut-Nya pergi bersama-sama Dia. Tiba-tiba ribut membadai dan melanda tasik itu sehingga ombak memenuhi perahu. Tetapi Yesus sedang tidur. Oleh itu pengikut-pengikut-Nya pergi kepada-Nya lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Ya Tuhan, selamatkanlah kami! Kita hampir mati!” Yesus menjawab, “Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu kurang percaya kepada-Ku?” Lalu Yesus bangun dan menengking angin dan ombak itu. Dengan segera tasik itu menjadi tenang sekali. Para pengikut Yesus hairan. Mereka berkata, “Angin dan ombak pun taat kepada perintah-Nya. Orang apakah Dia ini?” Apabila Yesus tiba di seberang tasik di daerah Gadara, Dia didatangi oleh dua orang yang dirasuk roh jahat. Mereka keluar dari gua kubur dan mereka sangat ganas, sehingga tiada sesiapa pun berani lalu di situ. Apabila mereka melihat Yesus, mereka berseru, “Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap kami, hai Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum waktunya?” Tidak jauh dari situ, ada kawanan babi yang sedang makan. Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, “Jika Engkau hendak memerintah kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam kawanan babi itu.” “Pergilah,” kata Yesus. Dengan segera roh-roh jahat itu meninggalkan kedua-dua orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi itu. Semua babi itu lari ke pinggir jurang, terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan segala perkara itu dan apa yang telah berlaku kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh jahat. Semua orang di bandar itu pergi menjumpai Yesus. Apabila mereka melihat Yesus, mereka memohon supaya Dia meninggalkan kawasan mereka.
MATIUS 8:18-34 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka apabila dilihat Isa pŭrhimpunan orang tŭrlalu banyak mŭnglilingi akan dia, maka disurohnya pŭrgi kasŭbrang sana. Maka datanglah sa’orang khatib, sŭrta bŭrkata padanya, Guru, bahwa aku handak mŭngikot akan dikau barang kamana angkau pŭrgi. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Pada anjing hutan ada lobang, dan burong diudara pun ada bŭrsarang, tŭtapi pada anak manusia itu tiada bŭrtŭmpat akan mŭmbaringkan kapalanya. Maka ada pula sa’orang muridnya yang lain bŭrkata akan dia, Tuhan, biarlah hamba pŭrgi mŭnanamkan ayahku dahulu. Maka kata Isa padanya, Ikotlah aku, maka biarlah orang mati itu mŭnanamkan orangnya yang mati itu. ¶ Maka apabila naiklah Isa kapŭrahu, maka murid muridnya itu pun adalah mŭngiringkan dia. Maka hieran, turonlah suatu ribot yang bŭsar ditasik itu, sampielah pŭrahu itu pun ditimbus ulih ombak, akan tŭtapi Isa lagi tŭngah tidor. Maka datanglah murid muridnya mŭmbangunkan dia, katanya, Tuhan, lŭpaskanlah kami, bahwa binasalah kami. Maka kata Isa pada marika itu, Mŭngapa kamu takot? hie orang yang korang iman? maka dŭmi bangunlah iya, sŭrta ditŭngkingnya akan angin dan ombak itu, maka tŭdohlah skali. Maka hieranlah sagala orang, katanya, Orang manakah ini, bahwa angin dan ombak pun mŭnurot prentahnya! ¶ Apabila sampielah iya kasŭbrang dinŭgri orang Gadara, maka bŭrtŭmulah dŭngan dia dua orang yang tŭrkŭna jin, iya itu datang deri antara kubor dŭngan sangat garangnya, sampie sa’orang pun tiada bulih lalu lalang dijalan itu lagi. Maka hieran, bŭrtriaklah orang itu, katanya, Apakah bichara kami kapada kamu, hie Isa anak Allah, maka sudahkah angkau sampie kamari akan mŭnyeksakan kami dahulu deri pada waktunya? Shahadan adalah jauh sŭdikit deripada marika itu, sa’kawan babi mŭnchari makan: Maka jin jin itu pun mŭminta kapada Isa, katanya, Jikalau angkau handak mŭmbuangkan kami, maka biarlah kami masok kadalam kawan babi itu. Maka bŭrkata Isa padanya, Pŭrgilah. Apabila kluarlah jin jin itu, lalu masoklah iya kadalam kawan babi itu, maka hieran, sagala kawan babi itu pun tŭrjunlah deri atas tŭbing itu kadalam tasik, maka matilah iya dalam ayer itu. Maka bŭrlari larilah sagala gombalanya masok kadalam nŭgri, lalu dikhabarkannyalah sagala pŭrkara ini, dan barang yang tŭlah bŭrlaku atas orang yang tŭrkŭna jin itu. Maka sasungguhnya kluarlah sagala orang isi nŭgri itu datang bŭrtŭmu dŭngan Isa, sŭrta dilihatnya akan dia, lalu marika itu mŭminta supaya iya undor deripada batasan nŭgrinya.
MATIUS 8:18-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila Yesus melihat orang ramai di sekeliling-Nya, Dia pun mengeluarkan arahan supaya bertolak ke seberang tasik. Seorang ahli Taurat mendapatkan Yesus lalu berkata, “Guru, aku sanggup mengikut-Mu ke mana-mana sahaja.” Yesus berkata kepadanya, “Musang ada lubangnya dan burung di udara ada sarangnya, tetapi Anak Manusia tidak ada tempat untuk meletakkan kepala-Nya.” Seorang murid lain berkata, “Tuhan, izinkanlah aku pulang dahulu untuk menguburkan jenazah bapaku.” Tetapi Yesus menjawab, “Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka.” Yesus menaiki sebuah perahu, dan diikut oleh murid-murid-Nya. Tiba-tiba badai melanda dan ombak mengganas sehingga perahu dipenuhi air. Ketika itu Yesus sedang tidur. Para murid Yesus datang membangunkan-Nya. Mereka berkata, “Tuhan, selamatkan nyawa kami semua daripada maut!” Yesus menjawab, “Mengapakah kamu takut? Begitu tipis kepercayaanmu kepada-Ku!” Dia pun bangun menegur angin dan ombak itu. Serta-merta semuanya tenang sekali. Para murid Yesus tercengang lalu berkata, “Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya. Siapakah orangnya ini?” Setelah tiba di seberang, di daerah Gadara, Yesus didekati oleh dua orang yang dirasuk roh iblis. Mereka keluar dari gua kubur. Kedua-duanya begitu ganas sehingga orang tidak berani lalu di situ. Apabila mereka melihat Yesus, mereka berseru, “Apa urusan-Mu dengan kami, ya Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum sampai masanya?” Ada sekawan babi sedang makan agak jauh dari situ. Roh-roh iblis itu merayu kepada Yesus, “Jika Engkau hendak menyuruh kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam tubuh babi sekawan itu.” Dan Yesus memerintah roh-roh itu, “Pergilah.” Maka roh-roh itu pun keluar lalu memasuki babi-babi itu. Seluruh kawanan babi itu pun lari ke pinggir jurang laut lalu terjun dan mati lemas. Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan hal itu serta apa yang telah terjadi kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh iblis itu. Seluruh penduduk bandar itu pun datang berjumpa dengan Yesus dan memohon-Nya pergi dari daerah itu.