MARKUS 14:12-26

MARKUS 14:12-26 BM

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu hari apabila orang menyembelih domba Paska, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah Guru ingin kami menyediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menyuruh dua orang daripada mereka, “Pergilah ke bandar, lalu kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di mana bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska.’ Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang sudah teratur dan lengkap dengan perabot, kepada kamu. Siapkanlah segala-galanya untuk kita di situ.” Kedua-dua orang pengikut itu pergi ke bandar dan mendapati semuanya seperti yang telah dikatakan oleh Yesus, lalu mereka pun menyediakan jamuan Paska itu. Pada malam harinya, Yesus datang dengan dua belas orang pengikut-Nya. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu, yang sekarang ini makan bersama-sama Aku akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut-Nya menjadi sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan saya yang Guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Dia salah seorang daripada kamu yang dua belas ini, yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik bagi orang itu jika dia tidak pernah dilahirkan!” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah dan makanlah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya. Kemudian mereka semua minum dari cawan itu. Yesus berkata, “Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun.