BILANGAN 10

10
Trompet-Trompet Perak
1TUHAN berfirman kepada Musa, 2“Buatlah dua buah trompet daripada perak tempaan supaya digunakan untuk memanggil umat Israel berkumpul dan untuk menyuruh mereka berangkat. 3Jika kedua-dua buah trompet itu ditiup panjang, semua orang Israel harus berkumpul di sekeliling engkau, di hadapan pintu Khemah-Ku. 4Tetapi jika hanya satu trompet yang ditiup, hanya pemimpin-pemimpin puak yang berkumpul di sekeliling engkau. 5Apabila trompet ditiup pendek-pendek, suku-suku yang berkhemah di bahagian timur harus berangkat. 6Apabila trompet ditiup pendek-pendek pada kali kedua, suku-suku di bahagian selatan harus berangkat. Trompet harus ditiup pendek-pendek sebagai tanda untuk berangkat. 7Trompet harus ditiup panjang sebagai tanda untuk mengumpulkan umat Israel. 8Trompet-trompet itu harus ditiup oleh anak-anak lelaki Harun, imam-imam itu.
Peraturan berikut harus dipatuhi sepanjang masa. 9Apabila kamu berperang di tanah kamu untuk mempertahankan diri terhadap musuh yang menyerang kamu, tiuplah trompet-trompet itu untuk memberikan isyarat perang. Aku TUHAN, Allah kamu, akan menolong dan menyelamatkan kamu daripada musuh. 10Demikian juga pada masa-masa kamu bersukaria; pada perayaan Bulan Baru dan perayaan-perayaan lain, tiuplah trompet-trompet itu ketika kamu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban untuk memohon berkat-Ku, maka Aku akan menolong kamu. Akulah TUHAN, Allah kamu.”
Umat Israel Menggulung Khemah
11Pada hari kedua puluh bulan kedua, pada tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir, awan yang berada di atas Khemah TUHAN itu naik. 12Lalu umat Israel berurutan berangkat meninggalkan Gurun Sinai. Kemudian awan itu berhenti di padang gurun Paran.
13Itulah kali pertama mereka berangkat menurut perintah TUHAN melalui Musa. 14Tiap-tiap kali mereka berangkat, mereka mengikut susunan yang sama. Orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Yehuda berangkat dahulu, kelompok demi kelompok. Nahason anak Aminadab memimpin mereka. 15Netaneel anak Zuar memimpin suku Isakhar 16dan Eliab anak Helon memimpin suku Zebulon.
17Kemudian barulah Khemah TUHAN itu digulung; lalu puak Gerson dan Merari yang membawa Khemah itu berangkat.
18Selepas itu orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Ruben berangkat, kelompok demi kelompok. Elizur anak Syedeur memimpin mereka. 19Selumiel anak Zurisyadai memimpin suku Simeon 20dan Elyasaf anak Rehuel memimpin suku Gad.
21Lalu puak Kehat yang memikul benda-benda suci berangkat. Apabila mereka sampai di tempat perkhemahan yang baru, Khemah TUHAN sudah dipasang.
22Kemudian orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Efraim berangkat, kelompok demi kelompok. Elisama anak Amihud memimpin mereka. 23Gamaliel anak Pedazur memimpin suku Manasye 24dan Abidan anak Gideoni memimpin suku Benyamin.
25Akhirnya, orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Dan berangkat, kelompok demi kelompok. Ahiezer anak Amisyadai memimpin mereka. Mereka menjadi pengawal barisan belakang bagi semua kumpulan itu. 26Pagiel anak Okhran memimpin suku Asyer 27dan Ahira anak Enan memimpin suku Naftali. 28Itulah susunan perbarisan orang Israel apabila mereka berangkat, kelompok demi kelompok.
29Musa berkata kepada iparnya, Hobab anak Yitro, orang Midian itu, “Kami akan berangkat ke tempat yang dimaksudkan TUHAN ketika Dia berfirman untuk memberikannya kepada kami. Dia sudah menjanjikan hal yang baik kepada Israel. Oleh itu ikutlah kami dan kami akan berbuat baik kepadamu.”
30Hobab menjawab, “Tidak, aku mahu balik ke tanah airku.”
31Musa berkata, “Janganlah tinggalkan kami. Engkau boleh menjadi penunjuk jalan bagi kami kerana engkau tahu tempat kita dapat berkhemah di padang gurun. 32Jika engkau ikut, maka segala yang baik yang dilakukan TUHAN bagi kami akan kami lakukan juga bagimu.”
Umat Israel Berangkat
33Apabila umat Israel meninggalkan Sinai, gunung suci itu, mereka berjalan selama tiga hari. Tabut Perjanjian TUHAN sentiasa dibawa mendahului mereka untuk mencari tempat berkhemah bagi mereka. 34Tiap-tiap kali mereka berangkat dari tempat perkhemahan, awan TUHAN sentiasa ada di atas mereka pada siang hari.
35 Setiap kali Tabut Perjanjian TUHAN itu dipikul ketika berangkat, Musa berkata, “Bangkitlah, ya TUHAN, cerai-beraikanlah musuh-Mu dan biarlah orang yang membenci Engkau melarikan diri!” 36Setiap kali umat Israel berhenti dan menurunkan Tabut Perjanjian, Musa berkata, “Kembalilah, ya TUHAN, kepada ribuan keluarga Israel.”

Terpilih Sekarang Ini:

BILANGAN 10: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk