BILANGAN 13
13
Dua Belas Orang Pengintip
(Ul 1.19-33)
1TUHAN berfirman kepada Musa, 2“Pilihlah seorang antara para pemimpin daripada tiap-tiap suku Israel, dan suruhlah mereka mengintip tanah Kanaan yang hendak Aku berikan kepada umat Israel.”
3-15Musa menurut perintah itu, lalu dari padang gurun Paran dia mengutus para pemimpin berikut:
Suku | Pemimpin |
---|---|
Ruben | Syamua anak Zakur |
Simeon | Safat anak Hori |
Yehuda | Kaleb anak Yefune |
Isakhar | Yigal anak Yusuf |
Efraim | Hosea anak Nun |
Benyamin | Palti anak Rafu |
Zebulon | Gadiel anak Sodi |
Manasye | Gadi anak Susi |
Dan | Amiel anak Gemali |
Asyer | Setur anak Mikhael |
Naftali | Nahbi anak Wofsi |
Gad | Guel anak Makhi |
16Itulah pengintip-pengintip yang diutus oleh Musa untuk menjelajahi tanah itu. Musa menukar nama Hosea anak Nun menjadi Yosua.
17Ketika Musa menyuruh mereka berangkat, dia berpesan kepada mereka, “Pergilah ke arah utara, ke bahagian selatan tanah Kanaan, kemudian pergilah ke daerah berbukit. 18Selidikilah keadaan tanah itu, sama ada penduduknya banyak atau sedikit, dan sama ada mereka kuat atau lemah. 19Selidikilah sama ada tanah itu baik atau tidak, dan sama ada penduduknya tinggal di pekan-pekan yang terbuka atau di kota-kota yang bertembok. 20Selidikilah sama ada tanahnya subur atau tidak, dan sama ada pokok kayu di situ banyak atau tidak. Kamu harus berani, dan bawalah pulang buah-buahan dari tanah itu.” Pada waktu itu, musim anggur sudah mula.
21Oleh itu mereka pergi ke arah utara dan menjelajahi tanah itu, bermula dari padang gurun Zin di sebelah selatan sampai ke kota Rehob, berhampiran dengan Genting Hamat di sebelah utara. 22Mula-mula mereka pergi ke bahagian selatan tanah itu dan tiba di kota Hebron, tempat tinggal puak Ahiman, Sesai, dan Talmai, semuanya keturunan raksasa yang disebut Enak. Kota Hebron dibina tujuh tahun sebelum kota Soan di Mesir. 23Kemudian para pengintip itu sampai di Lembah Eskol. Di situ mereka memotong seranting buah anggur yang begitu berat, sehingga harus digotong dengan sebatang kayu oleh dua orang. Mereka juga membawa beberapa biji buah delima dan buah ara. 24Tempat itu dinamakan Lembah Eskol, kerana seranting buah anggur yang dipotong oleh orang Israel di situ.
25Setelah para pengintip menjelajahi tanah itu selama empat puluh hari, mereka kembali 26kepada Musa, Harun, dan semua orang Israel di Kades, di padang gurun Paran. Mereka melaporkan apa yang dilihat oleh mereka dan menunjukkan buah-buahan yang dibawa. 27Mereka berkata kepada Musa, “Kami sudah menjelajahi tanah itu dan melihat bahawa tanahnya kaya dan subur; inilah sedikit buah-buahan dari sana. 28Tetapi penduduk tanah itu sangat kuat; kota-kota mereka sangat besar dan bertembok. Lagi pula, kami nampak keturunan raksasa di sana. 29Orang Amalek tinggal di bahagian selatan tanah itu; orang Het, orang Yebusi, dan orang Amori tinggal di kawasan perbukitan; orang Kanaan tinggal di kawasan pantai Laut Tengah dan di sepanjang Sungai Yordan.”
30Kaleb menenangkan hati orang yang bersungut terhadap Musa, dan berkata, “Kita harus melancarkan serangan dan merebut tanah itu sekarang juga. Kita cukup kuat untuk menaklukkannya.”
31Tetapi orang lain yang menjelajahi tanah itu bersama-sama Kaleb berkata, “Tidak, kita tidak cukup kuat untuk menyerang mereka. Penduduknya lebih kuat daripada kita.” 32Oleh itu mereka menyebarkan khabar angin di kalangan orang Israel tentang tanah yang dijelajahi mereka. Mereka berkata, “Tanah itu tidak dapat mengeluarkan hasil yang cukup bahkan untuk penduduknya pun. Tiap-tiap orang yang kami nampak sangat tinggi, 33 dan kami juga nampak raksasa, keturunan Enak di sana. Kami merasa kecil seperti belalang dan pasti begitulah anggapan mereka terhadap kami.”
Terpilih Sekarang Ini:
BILANGAN 13: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.