AMSAL 31
31
Nasihat kepada Raja
1Inilah nasihat bonda Raja Lemuel dari Masa kepada baginda:
2“Engkau buah hatiku, jawapan doaku yang telah dikabulkan oleh TUHAN. Apakah yang hendak aku katakan kepadamu? 3Jangan habiskan tenagamu pada nafsu berahi, dan jangan bazirkan wangmu pada perempuan; mereka sudah membinasakan banyak raja. 4Dengarlah, hai Lemuel. Raja tidak sepatutnya minum wain, atau ketagihan arak. 5Apabila raja meminumnya, mereka melupakan hukum dan mengabaikan hak orang tidak berdaya. 6Arak minuman untuk orang yang hampir mati dan yang sengsara. 7Biarlah mereka meminumnya untuk melupakan kemiskinan dan kesengsaraan.
8Belalah orang yang tidak dapat membela diri. Lindungilah hak semua orang yang tidak berdaya. 9Belalah mereka dan jadilah hakim yang adil. Lindungilah hak orang yang miskin dan susah.”
Isteri yang Cekap
10Isteri yang cekap susah ditemukan. Dia lebih berharga daripada permata.
11Suaminya mempunyai keyakinan terhadap dia dan tidak akan kekurangan apa-apa.
12Seumur hidupnya, dia berbuat baik kepada suaminya dan tidak berbuat jahat kepadanya.
13Dia rajin mengumpulkan bulu domba dan rami, lalu sibuk menenunnya.
14Dia mendatangkan makanan dari tempat jauh seperti yang dilakukan oleh kapal dagang.
15Dia bangun pagi-pagi buta untuk menyediakan makanan bagi keluarganya, dan untuk memberikan arahan kepada semua hamba perempuannya.
16Dia mencari sebidang tanah, lalu membelinya dan mengusahakan ladang anggur dengan pendapatannya.
17Dia menyiapkan diri untuk bekerja sekuat tenaga.
18Dia tahu bahawa segala sesuatu yang diusahakannya menguntungkan, dan dia bekerja sehingga jauh malam.
19Dia memintal benang dan menenun kainnya sendiri.
20Dia murah hati kepada orang yang miskin dan susah.
21Pada musim sejuk dia tidak khuatir, kerana keluarganya mempunyai baju panas.
22Dia membuat permaidani dan memakai pakaian daripada kain linen ungu yang halus.
23Suaminya pemimpin masyarakat, dan seorang yang kenamaan.
24Dia menjahit pakaian dan membuat ikat pinggang untuk dijual kepada pedagang.
25Dia berwibawa serta dihormati orang. Dia tidak khuatir akan masa hadapan.
26Kata-katanya bijak serta lemah lembut.
27Dia sentiasa rajin bekerja dan memperhatikan urusan rumah tangganya.
28Dia dihargai oleh anak-anaknya dan dipuji oleh suaminya.
29Suaminya berkata, “Ada banyak wanita yang baik, tetapi engkaulah yang terbaik antara mereka semua.”
30Kejelitaan menipu mata, kecantikan pun tidak kekal; tetapi seorang wanita yang menghormati TUHAN harus dipuji.
31Balaslah segala perbuatannya. Dia wanita yang layak dihormati semua orang.
Terpilih Sekarang Ini:
AMSAL 31: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.