AMSAL 5

5
Amaran tentang Zina
1Hai anakku, dengarkanlah aku. Perhatikanlah kebijaksanaanku dan pengertian yang aku ajarkan kepadamu, 2supaya kamu tahu membawa diri dan bercakap seperti orang yang berpengetahuan. 3Mulut perempuan jalang semanis madu dan kata-katanya memikat hati, 4tetapi kemudian yang tertinggal hanya kepahitan dan penderitaan. 5Dia akan menyeret kamu ke dunia orang mati. Jalan yang ditempuhnya itu menuju maut. 6Dia tidak tetap pada jalan yang menuju hidup, tetapi menyimpang dari jalan itu tanpa disedarinya.
7Oleh itu, hai anak-anak dengarkanlah kata-kataku, dan jangan sekali-kali lupakannya. 8Jauhilah perempuan seperti itu! Bahkan jangan dekati pintunya. 9Jika kamu tidak menjauhi perempuan itu, kamu akan kehilangan kehormatan, dan ketika kamu masih muda, nyawa kamu akan direnggut oleh orang yang tidak berbelas kasihan. 10Semua harta kamu akan dirampas oleh orang yang tidak kamu kenal, dan hasil usaha kamu akan dimiliki orang lain. 11Pada akhir hidup kamu, kamu akan mengerang kerana badan kamu habis dimakan penyakit. 12Lalu kamu akan berkata, “Mengapakah selama ini aku membenci nasihat? Mengapakah aku tidak mahu ditegur orang? 13Aku tidak mendengar ajaran guru-guruku. Aku tidak memperhatikan nasihat mereka. 14Sekarang aku dihina di hadapan orang ramai.”
15Setialah kepada isterimu dan kasihilah dia sahaja. 16Tidak ada gunanya mencari kenikmatan pada orang yang bukan isterimu. 17Kenikmatan itu khas untuk kamu dengan isterimu, bukan dengan orang lain. 18Oleh itu hendaklah kamu berbahagia dengan isterimu dan bersukacitalah dengan gadis yang kamu kahwini, 19gadis yang manis dan jelita seperti rusa. Biarlah kecantikannya memikat kamu, dan cintanya menambat hati kamu. 20Mengapakah kamu tergila-gila kepada perempuan lain, hai anakku? Mengapakah kamu lebih suka meniduri isteri orang? 21TUHAN nampak segala perbuatanmu. Ke mana sahaja kamu pergi, kamu diawasi-Nya. 22Dosa orang jahat bagaikan perangkap. Orang itu akan terjerat oleh dosanya sendiri. 23Dia akan mati kerana tidak dapat menahan nafsu. Kebodohannya akan membawa dia ke kubur.

Terpilih Sekarang Ini:

AMSAL 5: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk