AMSAL 9
9
Hikmat dan Kebodohan
1Hikmat telah membina rumahnya, dan mendirikan tujuh batang tiang bagi rumah itu. 2Ia telah menyembelih ternakan untuk jamuan, mencampur wain dengan rempah, serta menyediakan hidangan. 3Ia menyuruh pelayan perempuannya berseru dari tempat yang tertinggi di kota, 4“Marilah, hai orang yang kurang pengalaman. Silalah ke mari!” Kepada orang yang bodoh ia berkata, 5“Marilah makan makananku dan minum wain yang telah kusediakan. 6Tinggalkanlah kebodohan supaya kamu hidup bahagia. Ikutilah teladan orang berpengertian.”
7Jika kamu menegur ajar orang yang sombong, kamu akan dihina. Jika kamu menegur ajar orang jahat, kamu akan cedera. 8Jangan sekali-kali tegur ajar orang yang sombong; mereka akan membenci kamu. Tetapi jika kamu menegur ajar orang bijak, mereka akan menghormati kamu. 9Apa sahaja yang kamu katakan kepada orang bijak akan membuat orang itu lebih bijaksana. Apa sahaja yang kamu ajarkan kepada orang yang taat kepada Allah akan menambah pengetahuan orang itu.
10 Jika kamu hendak menjadi bijaksana, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Jika kamu kenal akan Yang Maha Suci, kamu akan memperoleh pengertian. 11Hikmat akan menambah usia kamu. 12Kamu sendiri yang akan beruntung jika kamu mempunyai hikmat. Tetapi jika kamu menolak hikmat, kamu sendiri juga yang akan rugi.
13Kebodohan bagaikan perempuan yang lancang, bebal, dan tidak tahu malu. 14Ia duduk di depan pintu rumahnya atau di tempat duduk di kawasan tertinggi di kota, 15lalu berseru kepada orang yang sedang lalu di situ, 16“Masuklah ke rumahku, hai kamu yang kurang pengalaman!” Kepada orang bodoh ia berkata, 17“Minuman yang dicuri lebih manis, dan makan dengan sembunyi-sembunyi lebih enak.” 18Mangsanya tidak tahu bahawa orang yang masuk ke dalam rumahnya akan mati dan mereka yang telah masuk ke dalam rumahnya, sekarang di dunia orang mati.
Terpilih Sekarang Ini:
AMSAL 9: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.