MAZMUR 144:1-15

MAZMUR 144:1-15 BM

Mazmur Daud. Pujilah TUHAN, pelindungku! Dia melatih aku untuk bertempur, dan mempersiapkan aku untuk berperang. Dialah pelindungku dan pembelaku, tempat aku bernaung dan penyelamatku; aku bergantung kepada-Nya supaya aku selamat. Dia menaklukkan bangsa-bangsa ke bawah kuasaku. Ya TUHAN, apakah manusia sehingga Engkau memperhatikan dia? Dia manusia biasa, namun Engkau mengendahkan dia! Manusia bagaikan hembusan nafas, dan hidupnya berlalu seperti bayangan. Ya TUHAN, bukalah langit dan turunlah; sentuhlah gunung-gunung supaya berasap. Pancarkanlah kilat dan cerai-beraikanlah musuh-Mu; lepaskanlah anak panah-Mu supaya musuh lari. Hulurkanlah tangan-Mu dari syurga, dan selamatkanlah aku dari air yang dalam; selamatkanlah aku daripada kuasa orang asing, yang selalu berdusta dan menipu, dan mengangkat sumpah palsu. Aku akan menyanyikan lagu baru untuk-Mu, ya Allah; aku akan memainkan kecapi dan menyanyi untuk-Mu. Engkau memberikan kemenangan kepada raja-raja, dan menyelamatkan hamba-Mu, Daud. Selamatkanlah aku daripada pedang orang kejam, dan lepaskanlah aku daripada kuasa orang asing, yang selalu berdusta dan menipu, dan mengangkat sumpah palsu. Semoga anak-anak lelaki kita yang masih muda menjadi seperti tumbuh-tumbuhan yang membesar. Semoga anak-anak perempuan kita menjadi seperti tiang cantik yang menyangga sudut-sudut istana. Semoga gudang kita dipenuhi pelbagai hasil bumi. Semoga domba di ladang kita beranak sampai berpuluh-puluh ribu banyaknya. Semoga lembu kita pun membiak, tanpa ada yang hilang ataupun keguguran. Semoga tiada tangisan kesengsaraan yang kedengaran di jalan-jalan kota kita. Berbahagialah bangsa yang sedemikian, berbahagialah umat yang Allah mereka TUHAN!