MAZMUR 39

39
Pengakuan Orang yang Menderita
1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Untuk Yedutun.
2Aku berkata, “Aku akan berhati-hati dengan perbuatanku,
dan tidak akan berdosa dengan lidahku.
Aku tidak akan berkata apa-apa
selama orang jahat berada di sisiku.”
3Aku diam membatu, tidak berkata sepatah pun,
walaupun tentang perkara yang baik.
Tetapi penderitaanku bertambah berat,
4dan hatiku penuh kecemasan.
Semakin aku berfikir, semakin susah hatiku;
lalu aku bertanya,
5“Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku
supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku.”
6Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan!
Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa.
Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas,
7hidup mereka berlalu seperti bayangan.
Segala perbuatan mereka sia-sia;
mereka mengumpulkan harta,
tetapi tidak tahu siapa akan mewarisinya.
8Apakah yang boleh aku harapkan, ya Tuhan?
Aku berharap kepada-Mu.
9Selamatkanlah aku daripada segala dosaku,
dan jangan biarkan aku menjadi ejekan orang dungu.
10Aku diam dan tidak membuka mulutku,
kerana inilah perbuatan-Mu.
11Janganlah hukum aku lagi,
aku hampir mati kerana pukulan-Mu.
12Engkau menghukum dosa manusia dengan teguran-Mu,
dan seperti gegat, Engkau memusnahkan kesukaan mereka.
Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas sahaja.
13Dengarlah doaku, ya TUHAN,
dan sambutlah rayuanku;
janganlah diam ketika aku menangis.
Aku menjadi tetamu-Mu hanya untuk sementara,
seperti nenek moyangku.
14Janganlah ganggu aku supaya aku dapat sedikit kebahagiaan,
sebelum aku meninggal dan tiada lagi.

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 39: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk