MAZMUR 88

88
Doa Minta Tolong
1Sebuah lagu. Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Mahalat Leanot. Sajak Heman, orang Ezrahi.
2Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkan aku,
pada waktu siang aku berseru kepada-Mu,
pada waktu malam aku datang ke hadapan-Mu.
3Dengarkanlah doaku;
dengarkanlah seruanku minta tolong.
4Begitu banyak kesusahan menimpa aku;
maut sudah di ambang pintu.
5Aku seperti orang yang menemui maut;
segala kekuatanku sudah hilang.
6Aku ditinggalkan di tengah-tengah orang mati;
aku umpama orang terbunuh yang terbaring di kubur,
orang yang telah Engkau lupakan sama sekali,
yang tidak dapat Engkau tolong lagi.
7Engkau telah membuang aku ke kubur yang dalam,
ke dalam lubang yang paling gelap dan dalam.
8Engkau sangat murka kepadaku,
kemurkaan-Mu bagaikan ombak yang memukul aku.
9Engkau menyebabkan rakan-rakanku meninggalkan aku;
Engkau menyebabkan mereka jijik akan aku.
Aku terkurung dan tidak dapat melarikan diri;
10mataku kabur kerana menderita.
Ya TUHAN, setiap hari aku berseru kepada-Mu,
aku berdoa dengan menadahkan tangan kepada-Mu.
11Adakah Engkau melakukan mukjizat bagi orang yang telah mati?
Adakah mereka bangkit dan memuji Engkau?
12Adakah kasih-Mu disebut orang di dalam kubur,
ataupun kesetiaan-Mu disebut di tempat kebinasaan?
13Adakah mukjizat-Mu kelihatan di tempat yang gelap itu,
ataupun kebaikan-Mu kelihatan di negeri yang sudah dilupakan orang?
14Ya TUHAN, aku minta pertolongan-Mu;
setiap pagi aku berdoa kepada-Mu.
15Ya TUHAN, mengapakah Engkau menolak aku?
Mengapakah Engkau menyembunyikan diri-Mu daripadaku?
16Sejak kecil lagi aku menderita dan hampir mati;
aku kehabisan tenaga menanggung hukuman-Mu.
17Kemurkaan-Mu yang hebat menimpa aku,
serangan-Mu yang dahsyat membinasakan aku.
18Semuanya itu seperti banjir yang melanda aku sepanjang hari,
dan mengepung aku dari segala arah.
19Engkau menyebabkan sahabat karibku meninggalkan aku;
hanya kegelapan yang menemani aku.

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 88: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk