ROMA 4

4
Abraham Sebagai Contoh
1Jika demikian apakah yang dapat kita katakan tentang Abraham, nenek moyang bangsa kita? Bagaimanakah pengalamannya? 2Jika Abraham diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya kerana hal-hal yang dilakukan oleh Abraham, maka Abraham boleh berbangga. Tetapi dia tidak dapat berbangga di sisi Allah. 3 Di dalam Alkitab tertulis, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” 4Seorang yang bekerja, biasanya menerima gaji, dan gajinya itu tidak dianggap sebagai suatu pemberian, kerana gaji itu haknya. 5Tetapi seseorang yang percaya kepada Allah tidak bergantung kepada usahanya sendiri. Orang itu percaya kepada Allah yang menyatakan orang berdosa bebas daripada dosa. Kepercayaan orang itu menyebabkan dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. 6Itulah yang dimaksudkan oleh Daud apabila dia berkata tentang kebahagiaan orang yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, walaupun mereka tidak melakukan apa-apa supaya diterima oleh Allah. Daud berkata,
7“Berbahagialah orang yang kesalahan mereka diampuni oleh Allah,
dan dosa mereka dihapuskan oleh Allah!
8 Berbahagialah dia yang dosanya tidak diperhitungkan oleh Allah!”
9Adakah kebahagiaan yang dimaksudkan Daud itu hanya dikhaskan untuk orang yang bersunat? Tentu tidak. Kebahagiaan itu juga untuk orang yang tidak bersunat. Hal ini demikian, kerana sudah kami katakan sebelumnya bahawa, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” 10Bilakah perkara itu berlaku? Sebelum atau sesudah Abraham bersunat? Sebelum Abraham bersunat. 11 Abraham bersunat kemudian, dan sunatnya itu satu tanda untuk membuktikan bahawa Allah sudah menerima dia sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, kerana Abraham percaya kepada-Nya. Demikianlah Abraham menjadi seperti bapa kepada semua orang yang percaya kepada Allah dan yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya, walaupun mereka tidak bersunat. 12Abraham juga menjadi seperti bapa kepada orang yang bersunat dan yang hidup dengan kepercayaan kepada Allah, seperti bapa kita Abraham sebelum dia bersunat.
Janji Allah Diterima oleh Orang yang Percaya kepada-Nya
13 Allah berjanji kepada Abraham dan keturunannya bahawa dunia ini akan menjadi milik mereka. Allah berjanji demikian bukan kerana Abraham taat kepada Taurat, tetapi kerana dia percaya kepada Allah sehingga dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. 14 Jika apa yang dijanjikan oleh Allah hanya diberikan kepada orang yang taat kepada Taurat, maka tidak ada gunanya orang percaya kepada Allah, dan janji Allah pun sia-sia. 15Taurat mendatangkan kemurkaan Allah. Tetapi jika tidak ada hukum, maka pelanggaran pun tidak ada.
16 Janji Allah itu berdasarkan kepercayaan orang kepada Allah. Dengan demikian, janji itu dijamin sebagai kurnia Allah yang diberikan dengan percuma kepada semua keturunan Abraham, baik orang yang taat kepada Taurat, mahupun orang yang percaya kepada Allah seperti Abraham percaya kepada-Nya. Hal ini demikian kerana Abraham menjadi seperti bapa kepada kita semua. 17 Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman kepada Abraham, “Aku sudah menjadikan engkau bapa kepada banyak bangsa.” Demikianlah Allah memberikan janji itu kepada Abraham dan Abraham percaya kepada-Nya. Dialah Allah yang menghidupkan orang mati, dan juga Allah yang dengan firman-Nya mewujudkan apa yang tidak wujud. 18 Abraham tetap percaya dan berharap bahkan pada masa tidak ada harapan lagi baginya. Itulah sebabnya Allah menjadikan dia bapa kepada banyak bangsa. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Keturunanmu akan menjadi banyak sekali.” 19-20 Pada waktu itu umur Abraham sudah hampir seratus tahun. Dia tahu bahawa dia tidak mungkin mendapat keturunan, kerana badannya sudah sangat tua dan Sara, isterinya mandul. Tetapi walaupun demikian, dia tidak ragu akan janji Allah, dan imannya pun tidak menjadi lemah. Sebaliknya imannya menjadikan dia bertambah kuat, dan dia memuji-muji Allah. 21Abraham betul-betul yakin bahawa Allah sanggup melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya. 22Itulah sebabnya Abraham “diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah”, kerana dia percaya kepada Allah. 23Kata-kata - “diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah” - tertulis bukan hanya untuk Abraham, 24tetapi untuk kita juga. Kita pun akan diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, apabila kita percaya kepada Allah yang membangkitkan Yesus, Tuhan kita daripada kematian. 25 Yesus diserahkan untuk dibunuh kerana dosa kita; Dia dibangkitkan supaya kita boleh berbaik semula dengan Allah.

Terpilih Sekarang Ini:

ROMA 4: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk