1 TAWARIKH 21:18-27

1 TAWARIKH 21:18-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian malaikat TUHAN menyuruh Gad memberitahu Raja Daud supaya pergi ke tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna dan mendirikan mazbah bagi TUHAN di situ. Oleh itu Raja Daud pergi menurut perintah TUHAN yang disampaikan oleh Gad kepadanya. Di tempat mengirik gandum, Arauna dan empat orang anak lelakinya sedang mengirik gandum. Apabila mereka nampak malaikat itu, keempat-empat orang anak Arauna lari menyembunyikan diri. Ketika Arauna nampak Raja Daud datang, dia menyambut baginda dan sujud di hadapan baginda. Raja Daud bertitah kepadanya, “Beta mahu mendirikan mazbah untuk TUHAN di tempat ini. Oleh itu juallah tanah ini kepada beta. Katakanlah berapa harganya, dan beta akan membayarnya.” “Tuanku, ambillah,” jawab Arauna, “lakukanlah segala kehendak tuanku. Ambillah lembu-lembu ini sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan gunakanlah papan pengirik sebagai kayu api. Ambillah gandum untuk dipersembahkan sebagai korban bijirin. Hamba memberikan semuanya kepada tuanku. Tuanku tidak usah membayar harganya.” Tetapi raja menjawab, “Tidak, beta mahu membelinya dengan sepenuh harga. Beta tidak mahu mempersembahkan milik kamu kepada TUHAN, atau sesuatu yang beta dapat dengan percuma.” Kemudian Raja Daud membayar 600 keping wang emas kepada Arauna untuk tempat itu. Raja Daud membina sebuah mazbah bagi TUHAN di situ, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Kemudian baginda berdoa dan TUHAN mengabulkan doanya dengan menurunkan api dari langit untuk membakar korban-korban di atas mazbah itu. TUHAN menyuruh malaikat menyarungkan pedangnya, maka malaikat itu taat.

1 TAWARIKH 21:18-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian malaikat TUHAN menyuruh Gad untuk mengatakan kepada Daud bahawa Daud harus pergi mendirikan sebuah mazbah bagi TUHAN di tempat pembantingan Ornan, orang Yebus itu. Maka Daud pun pergi, selaras dengan kata-kata Gad yang disampaikannya atas nama TUHAN. Pada waktu itu Ornan sedang mengirik gandum. Ketika dia berpaling, dilihatnya malaikat itu, lalu keempat-empat orang anaknya yang ada bersama-samanya pun menyembunyikan diri. Datanglah Daud mendekati Ornan. Ketika Ornan memandang dan melihat Daud, keluarlah dia dari tempat pembantingan dan sujud memberi hormat kepada Daud. Kata Daud kepada Ornan, “Berilah kepadaku tempat pembantingan ini, supaya aku dapat membangunkan sebuah mazbah bagi TUHAN. Berikanlah kepadaku dengan harga penuh, supaya wabak ini berhenti melanda rakyat.” Kata Ornan kepada Daud, “Ambillah sahaja, Tuanku Raja, dan lakukanlah apa yang tuanku pandang baik. Lihatlah, hamba juga memberikan lembu ini sebagai korban bakaran, tukul pengirik ini sebagai kayu bakar, dan gandum sebagai persembahan bahan makanan. Semua itu hamba berikan.” Tetapi Raja Daud berkata kepada Ornan, “Jangan begitu, kerana aku mahu membelinya daripadamu dengan harga penuh. Aku tidak mahu mengambil milikmu untuk dipersembahkan kepada TUHAN atau mempersembahkan korban bakaran yang kudapati secara percuma.” Lalu Daud memberi Ornan 600 syikal emas yang ditimbangnya sebagai bayaran tempat itu. Daud pun membina sebuah mazbah bagi TUHAN di sana, lalu mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian. Dia berseru kepada TUHAN dan TUHAN menjawabnya dengan menurunkan api dari langit ke atas mazbah korban bakaran itu. TUHAN berfirman kepada malaikat itu agar ia memasukkan pedangnya kembali ke dalam sarungnya.