IMAMAT 26:1-13

IMAMAT 26:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman, “Jangan buat berhala, dan jangan dirikan patung, tugu berhala atau batu berukir untuk disembah. Akulah TUHAN, Allah kamu. Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah tempat Aku disembah. Akulah TUHAN. Jika kamu hidup menurut hukum-Ku dan taat kepada perintah-Ku, Aku akan menurunkan hujan pada waktunya supaya tanah kamu dapat mengeluarkan hasil, dan pokok-pokok akan berbuah. Hasil tanaman kamu akan sedemikian banyak sehingga kamu masih menuai gandum apabila tiba masanya memetik buah anggur, dan kamu masih memetik buah anggur apabila tiba masanya menanam gandum. Kamu akan mendapat makanan yang cukup, dan hidup tenteram di negeri kamu. Aku akan mendatangkan keamanan di negeri kamu sehingga kamu dapat tidur tanpa berasa takut terhadap sesiapa pun. Aku akan melenyapkan binatang buas di negeri itu, dan peperangan pun tidak akan ada lagi. Kamu akan mengalahkan musuh kamu; dengan lima orang, kamu akan mengalahkan seratus orang musuh, dan dengan seratus orang kamu akan mengalahkan sepuluh ribu orang musuh. Aku akan memberkati kamu dan memberi kamu anak yang banyak. Aku akan menepati perjanjian yang Aku buat dengan kamu. Hasil tanaman kamu akan sedemikian banyak sehingga cukup untuk satu tahun. Bahkan kamu terpaksa mengeluarkan sisa tuaian yang lama supaya ada tempat untuk menyimpan tuaian yang baru. Aku akan tinggal di kalangan kamu dalam Khemah-Ku, dan Aku sekali-kali tidak akan menolak kamu. Aku akan menyertai kamu; Aku akan menjadi Allah kamu dan kamu menjadi umat-Ku. Aku TUHAN, Allah kamu, membawa kamu keluar dari Mesir supaya kamu tidak lagi menjadi abdi. Aku sudah mematahkan kekuasaan yang menindas kamu, dan menjadikan kamu orang yang merdeka.”

IMAMAT 26:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Jangan buat apa-apa berhala bagimu dan jangan juga kamu dirikan patung ukiran atau tiang berhala bagimu. Jangan tempatkan batu berukir di mana-mana pun di negerimu untuk kamu sujud menyembahnya kerana Akulah TUHAN, Allahmu. Peliharalah hari-hari Sabat-Ku dan hormatilah tempat suci-Ku. Akulah TUHAN. Jika kamu hidup menurut segala ketetapan-Ku, mentaati segala perintah-Ku, dan mengamalkan kesemuanya, maka Aku akan menurunkan hujan bagimu pada musimnya sehingga tanah memberikan hasil dan pohon-pohon di ladang mengeluarkan buah. Musim mengirik tuaian bijirin akan berlanjutan sampai musim memetik buah anggur, dan musim memetik buah anggur akan berlanjutan sampai musim menyemai. Kamu akan memakan rezekimu sampai kenyang dan tinggal di negerimu dengan aman. Aku akan mengurniakan kedamaian di negerimu sehingga kamu akan berbaring tanpa berasa takut akan sesiapa pun. Aku akan menyingkirkan binatang buas dari negerimu dan ancaman pedang tidak akan melanda negerimu. Kamu akan mengejar musuhmu dan mereka akan tewas di hadapanmu oleh pedangmu. Lima orang daripada kamu akan mengejar seratus orang, dan seratus orang daripada kamu akan mengejar sepuluh ribu orang. Musuhmu akan tewas di hadapanmu oleh pedangmu. Aku akan mempedulikan kamu dan membuat kamu beranak cucu serta bertambah ramai. Aku akan meneguhkan perjanjian-Ku dengan kamu. Kamu akan terus menikmati dan memakan sepuas-puasnya daripada hasil tuaian tahun sebelumnya, dan kamu akan mengeluarkan baki daripada hasil tuaian yang lama itu untuk menyimpan hasil tuaian yang baru. Aku akan menempatkan Khemah Suci-Ku di tengah-tengah kamu dan Aku tidak akan menolak kamu. Aku akan hadir menyertai kamu dan menjadi Allahmu, kamu pun akan menjadi umat-Ku. Akulah TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, supaya kamu tidak lagi menjadi hamba mereka. Aku telah mematahkan palang kuk di tengkuk kamu dan membuat kamu berjalan dengan tegak.