MATIUS 25:31-40
MATIUS 25:31-40 Alkitab Berita Baik (BM)
“Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Allah, Dia akan duduk di atas takhta-Nya yang mulia. Umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala memisahkan domba daripada kambing. Anak Manusia akan mengumpulkan orang yang melakukan kehendak Allah di sebelah kanan-Nya dan yang lain di sebelah kiri-Nya. Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, ‘Hai kamu yang diberkati Bapa-Ku! Marilah dan nikmatilah Pemerintahan Allah yang telah disediakan oleh Allah untuk kamu sejak dunia ini diciptakan-Nya. Ketika Aku lapar, kamu memberi Aku makan, dan ketika Aku dahaga, kamu memberi Aku minum. Aku seorang asing, tetapi kamu menyambut Aku ke dalam rumah kamu. Aku tidak berpakaian, dan kamu memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit, dan kamu merawat Aku. Aku dipenjarakan, dan kamu melawat Aku.’ Tetapi mereka yang melakukan kehendak Allah berkata, ‘Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar lalu memberi Tuhan makan, atau dahaga lalu memberi Tuhan minum? Bilakah kami nampak Tuhan sebagai orang asing lalu menyambut Tuhan ke dalam rumah kami, atau melihat Tuhan tidak berpakaian lalu memberi Tuhan pakaian? Bilakah kami nampak Tuhan sakit lalu merawat Tuhan? Bilakah kami melawat Tuhan di penjara?’ Raja itu akan menjawab, ‘Ketahuilah, manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku!’
MATIUS 25:31-40 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Bŭrmula apabila anak manusia kŭlak akan datang dŭngan kamuliaannya itu, sŭrta dŭngan sagala mŭliekat yang suchi bŭrsama sama dŭngan dia, tŭtkala itulah iya akan dudok diatas arash kamuliaannya. Maka sagala bangsa manusia akan dihimpunkan kahadapannya, maka iya kŭlak akan mŭngasing asingkan sa’orang deripada sa’orang, spŭrti gombala mŭngasingkan dombanya deripada kambing. Maka iya kŭlak akan mŭnarohkan domba itu pada kanannya, tŭtapi kambing itu pada kirinya. Tŭtkala itu maka raja akan bŭrkata pada orang yang dikanannya itu, Marilah kamu, hie orang yang dibŭrkati ulih Ayahku, trimalah ulihmu pusaka krajaan yang tŭlah disŭdiakan bagiemu deripada pŭrmulaan jadi dunia. Kŭrna tŭtkala aku lapar, kamu tŭlah mŭmbri makan, dan tŭtkala aku dahaga, kamu tŭlah mŭmbri minom, dan tŭtkala aku dagang, kamu tŭlah mŭmbri tumpangan. Tŭtkala aku bŭrtlanjang, kamu tŭlah mŭmbri pakiean, dan tŭtkala aku sakit, kamu tŭlah mŭlawat aku, dan tŭtkala aku dalam pŭnjara, kamu tŭlah mŭngunjongi aku. Maka pada masa itu disahut kŭlak ulih sagala orang yang bŭnar itu, katanya, Ya Tuhan, bilakah kami mŭlihat angkau lapar, dan mŭmbri angkau makan? atau bŭrdahaga, dan mŭmbri angkau minom? Maka bilakah kami mŭlihat angkau dagang, dan mŭmbri angkau tumpangan? atau bŭrtlanjang, dan mŭmbri angkau pakiean? Atau bilakah kami mŭlihat angkau sakit, atau dalam pŭnjara, dan kami mŭngunjongi angkau? Maka Raja itu akan mŭnjawab pada marika itu, Sasungguhnya aku bŭrkata padamu, maka sŭbab tampak barang yang kamu tŭlah bŭrbuat pada sa’orang yang tŭrkŭchil skali pun deripada sagala saudaraku ini, spŭrti kamu tŭlah bŭrbuat itu kapadaku.
MATIUS 25:31-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Apabila Anak Manusia datang dengan segala kemuliaan-Nya, diiringi sekalian malaikat suci, Dia akan duduk di atas takhta kemuliaan-Nya. Semua bangsa akan berhimpun di hadapan-Nya, dan Dia akan mengasing-asingkan mereka, sebagaimana gembala mengasing-asingkan domba daripada kambing. Dia akan meletakkan domba di sebelah kanan-Nya dan kambing di sebelah kiri-Nya. Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, ‘Marilah, kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku! Warisilah kerajaan yang telah disediakan untukmu sejak dunia dicipta. Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu; Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.’ Orang yang benar itu pun bertanya, ‘Tuhan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman? Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian? Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?’ Raja akan menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.’