MARKUS 14:32-72
MARKUS 14:32-72 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka tiba di satu tempat bernama Getsemani. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa.” Kemudian Dia mengajak Petrus, Yakobus, dan Yohanes pergi bersama-sama Dia. Yesus sangat sedih dan gelisah. Dia berkata kepada mereka, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah!” Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa supaya jika boleh Dia tidak usah mengalami saat penderitaan itu. Dia berdoa, “Bapa, ya Bapa-Ku! Tidak ada satu perkara yang mustahil bagi Bapa. Jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.” Selepas itu Yesus kembali dan mendapati tiga orang pengikut-Nya sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Simon, tidurkah engkau? Tidak dapatkah engkau berjaga selama satu jam?” Lalu Dia berkata kepada mereka semua, “Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang roh kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana kamu lemah.” Sekali lagi Yesus pergi berdoa dan mengucapkan kata-kata yang sama. Ketika Dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia mendapati mereka masih tidur kerana terlalu mengantuk. Mereka tidak tahu akan apa yang harus dikatakan kepada Yesus. Ketika Yesus kembali untuk kali ketiga, Dia berkata kepada mereka, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Cukuplah! Saatnya sudah tiba. Lihatlah, Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!” Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia dengan kawalan yang ketat!” Sebaik sahaja Yudas tiba, dia menghampiri Yesus lalu berkata, “Guru!” seraya mencium Dia. Lalu mereka menangkap Yesus dan memegang Dia dengan kuat. Tetapi salah seorang di situ menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinganya. Yesus berkata kepada mereka, “Mestikah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Berhari-hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Memang apa yang tertulis di dalam Alkitab mesti berlaku.” Ketika itu semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. Seorang lelaki muda yang memakai sehelai kain linen untuk menutupi badan, mengikuti Yesus. Apabila orang cuba menangkap lelaki itu, dia melepaskan kainnya lalu lari bertelanjang. Kemudian mereka membawa Yesus ke rumah Imam Agung. Di situ semua ketua imam, pemimpin masyarakat orang Yahudi, dan guru Taurat sedang berkumpul. Petrus mengikut dari jauh lalu masuk ke halaman rumah Imam Agung itu. Dia duduk berdiang dengan pengawal-pengawal. Para ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari bukti-bukti untuk menyalahkan Yesus, supaya mereka dapat menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun. Banyak saksi memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus, tetapi kesaksian mereka saling bertentangan. Kemudian beberapa orang berdiri dan memberikan kesaksian palsu tentang Yesus. Mereka berkata, “Kami mendengar orang ini berkata, ‘Aku akan merobohkan Rumah Tuhan yang dibina oleh manusia, lalu selepas tiga hari Aku akan membina yang lain yang bukan buatan manusia.’ ” Tetapi kesaksian mereka pun saling bertentangan. Setelah itu Imam Agung berdiri di hadapan mereka semua dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?” Yesus diam sahaja dan tidak mahu berkata sepatah pun. Sekali lagi Imam Agung bertanya kepada-Nya, “Kamukah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Maha Suci?” Yesus menjawab, “Ya! Kamu semua akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang dikelilingi awan dari langit!” Imam Agung mengoyakkan pakaiannya dan berkata, “Kita tidak memerlukan saksi lagi! Kamu sudah mendengar dia mengkufuri Allah! Apakah keputusan kamu?” Mereka semua mengambil keputusan bahawa Yesus memang bersalah dan mesti dihukum mati. Beberapa orang mula meludahi Yesus. Mereka menutupi mata-Nya dan memukul Dia. “Tekalah,” kata mereka, “siapa yang memukul kamu?” Pengawal-pengawal di situ pun menampar Dia. Petrus masih di halaman apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang. Apabila dia nampak Petrus berdiang, dia mengamati Petrus dan berkata, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Nasaret itu.” Tetapi Petrus menafikannya. Dia berkata, “Aku tidak tahu dan tidak faham akan apa yang kamu katakan.” Lalu dia pergi ke pintu masuk halaman itu. Pada ketika itu, ayam berkokok. Hamba perempuan tadi nampak Petrus di situ. Dia berkata pula kepada semua orang di situ, “Orang ini seorang daripada mereka!” Tetapi Petrus menafikannya lagi. Tidak lama kemudian, semua orang di situ menuduh Petrus lagi, “Kamu tidak dapat menafikannya bahawa kamu salah seorang daripada mereka, kerana kamu pun dari Galilea!” Petrus bersumpah, “Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak mengenal orang yang kamu sebutkan itu!” Ketika itu juga ayam berkokok untuk kali kedua. Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam berkokok dua kali, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.” Lalu dia menangis tersedu-sedu.
MARKUS 14:32-72 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka datanglah marika itu kapada suatu tŭmpat yang bŭrnama Gethsamani, maka kata Isa kapada murid muridnya, Dudoklah kamu disini sŭmŭntara aku mŭminta doa. Maka dibawanya sŭrtanya Petros, dan Yakob, dan Yahya, maka mulielah iya duka chita sangat, sŭrta mŭnjadi tŭrlalu bŭrat. Maka katanya kapada marika itu, Bahwa nyawaku tŭrlalu sangat duka chita, kŭmati matian, nantilah disini dan bŭrjaga. Maka pŭrgilah iya kahadapan sŭdikit, lalu sujud kabumi, sŭrta mŭminta doa, jikalau dŭngan sŭbulih bulihnya waktu itu biarlah lalu deripadanya. Maka katanya, Ya Ayah, sagala pŭrkara tiada mustahil bagiemu, jauhkanlah chawan ini deripadaku, maka dalam itupun bukannya spŭrti kahandakku, mŭlainkan kahandakmu. Maka datanglah iya, lalu didapatinya marika itu skalian tidor; maka katanya kapada Petros, Simon, tidorkah kamu, tiadakah bulih kamu bŭrjaga satu jam? Jagalah kamu dan bŭrdoa, supaya jangan kamu masok kŭdalam pŭrchobaan, maka roh itu sŭsungguhnya sŭdialah, tŭtapi tuboh itu lŭmahlah adanya. Maka pŭrgilah iya pula lalu mŭminta doa, sŭrta bŭrkata sama juga pŭrkataan. Maka apabila kŭmbalilah iya, maka didapatinya marika itu tidor pula, kŭrna mata marika itu bŭrat, atau apa handak dijawabkan ulih marika itu akan dia. Maka datanglah iya katiga kalinya, lalu bŭrkata kapada marika itu, Tidorlah kamu skarang, bŭrsŭnanglah kamu; tŭlah chukoplah; waktu sudah sampie; sŭsungguhnya Anak manusia itu disŭrahkan dŭngan tipu kŭtangan orang orang bŭrdosa. Bangunlah, biar kita pŭrgi; tengoklah, orang yang mŭnyŭrahkan dŭngan tipu akan daku itu tŭlah dŭkat. ¶ Maka dŭngan sŭrta mŭrta sŭlagi iya bŭrchakap, maka datanglah Yudas yang didalam dua blas murid itu, maka adalah bŭsŭrta dŭngan dia bŭlatŭntara tŭrlalu banyak dŭngan pŭdang, dan tombak, iya itu deripada kŭpala kŭpala imam, dan khatib khatib, dan orang tua tua. Maka orang yang mŭnyŭrahkan dŭngan tipu itu tŭlah mŭmbri suatu tandah kapada marika itu, katanya, Kapada barang siapa aku akan mŭnchium, iya itulah dia; tangkaplah, bawalah akan dia baik baik. Maka sŭrta iya tŭlah datang, lalu ditujunya akan Isa, sŭrta katanya, Guru Guru; lalu dichiumnya akan dia. Maka marika itu skalian pun mŭmbubohlah tangan akan dia, lalu ditangkapnya. Maka adalah sa’orang yang bŭrdiri dŭkat itu, mŭnghunaslah pŭdangnya, lalu diparangkannya kapada sa’orang hamba imam yang bŭsar, lalu putuslah tŭlinganya. Maka kata Isa kapadanya, Kŭdatangan kamu ini kluar spŭrti mŭlawan sa’orang pŭnchurikah, dŭngan pŭdang pŭdang, dan tombak tombak, handak mŭnangkap aku? Maka adalah pada tiap tiap hari aku ada bŭsŭrta dŭngan kamu dalam ka’abah mŭngajar, tiada kamu mŭnangkap aku, tŭtapi dapat tiada kitab itu tŭlah gŭnaplah. Maka skalian marika itu pun mŭninggalkanlah akan dia, lalu lari. Maka adalah sa’orang orang muda yang mŭngikot akan Isa, mŭnyangkotkan sa’lie kain khasa ditubohnya yang bŭrtlanjang itu, maka ditangkaplah ulih orang orang muda itu akan dia. Maka ditanggalkannyalah akan kain puteh, lalu larilah iya dŭngan bŭrtlanjang. ¶ Maka marika itu pun mŭmbawalah akan Isa kapada imam yang bŭsar, maka adalah disana bŭrsama sama dŭngan dia, bŭrhimponlah sagala kŭpala kŭpala imam, dan orang tua tua, dan khatib khatib. Maka adalah Petros itu mŭngikot akan dia jauh deri blakang itu pun sampie kapada mahaligie imam, maka dudoklah iya bŭrsama sama dŭngan hamba hamba itu mŭngganggang tubohnya dŭkat api itu. Maka kŭpala kŭpala imam, dan sagala orang orang bichara itu pun mŭncharilah saksi akan mŭlawan Isa, supaya dibunohnya akan dia; maka tiadalah didapatinya. Kŭrna adalah banyak yang mŭnjadi saksi dusta mŭlawan akan dia, tŭtapi saksinya itu tiadalah stuju sa’orang dŭngan sa’orang. Maka bŭrbangkitlah sa’orang anu yang mŭnjadi saksi dusta mŭlawan akan dia katanya; Adalah kami mŭnŭngar iya kata, Aku nanti mŭmbinasakan ka’abah ini yang tŭlah dipŭrbuat dŭngan tangan, maka dalam tiga hari aku bulih mŭmbangunkan yang lain, yang dipŭrbuat bukan dŭngan tangan. Tŭtapi dŭmkian juga tiada saksi saksi marika itu stuju bŭrsama sama. Maka imam bŭsar itu pun bŭrdirilah ditŭngah tŭngah, lalu bŭrtanya kapada Isa, katanya, Tiadakah angkau mŭnjawab suatu pun, apakah yang saksi saksi ini mŭnudoh akan dikau? Tŭtapi diamlah iya, maka suatu pun tiada dijawabnya. Ditanya ulih imam bŭsar itu pula akan dia, sŭrta bŭrkata kapadanya, Angkaukah Almasih anak bŭrkat itu? Maka kata Isa, Akulah, maka kamu kŭlak akan mŭlihat Anak manusia itu dudok disŭblah kanan yang bŭrkwasa, datang dalam awan awan dilangit. Sŭtlah itu maka imam bŭsar itu pun mŭngoyakkan kain bajunya, sŭrta bŭrkata, Apa guna lagi kapada kita mŭnchari saksi saksi. Kamu tŭlah mŭnŭngar hujat ini, apakah kamu fikir? Maka marika itu skalian pun mŭnŭntukan iya salah patut mati. Maka ada orang yang mŭmulai mŭludahi akan dia, dan mŭnutopi mukanya, dan ditumboknya akan dia, sŭrta bŭrkata kapadanya, Nabuatkanlah; maka hamba hamba itu pun mŭnamparlah akan dia. ¶ Adapun tŭtkala Petros itu adalah dibawah dalam mahaligie itu, maka datanglah sa’orang hamba pŭrampuan imam bŭsar itu: Maka apabila dilihat ulih hamba pŭrampuan itu Petros bŭrganggang tubohnya, maka dipandangnya akan dia, lalu katanya, Angkau pun bŭrsama samakah dŭngan Isa orang Nazareth itu? Tŭtapi bŭrsangkallah iya katanya, Aku tiada tahu atau mŭngarti apa kamu kata. Lalu kluarlah iya kabalirong, maka ayam pun bŭrkokoklah. Maka dilihatlah ulih sa’orang hamba pŭrampuan pula akan dia, katanya kapada orang orang yang bŭrdiri dŭkat itu, Ini sa’orang deripada marika itu. Maka bŭrsangkallah iya pula; sŭbŭntar lagi orang orang yang bŭrdiri dŭkat itu bŭrkata pula kapada Petros, Sungguh sungguh angkau sa’orang deri pada marika itu, kŭrna angkau sa’orang Galilia, tutormu pun bŭgitu juga. Tŭtapi iya mŭmulai mŭngutok dirinya, dan bŭrsumpah, katanya, Aku tiada mŭngŭnal akan orang yang kamu kata itu. Maka ayam pun bŭrkokoklah kadua kali, maka Petros pun tŭringatlah dalam hatinya akan pŭrkataan yang dikatakan Isa kapadanya, dahulu deripada ayam bŭrkokok dua kali, angkau kŭlak mŭnyagkali aku tiga kali. Maka apabila iya tŭrkŭnanglah itu, mŭnangislah iya.
MARKUS 14:32-72 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mereka sampai di suatu tempat yang dinamakan Getsemani. Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa.” Dia membawa Petrus, Yakobus dan Yohanes bersama-Nya, dan Dia mula berasa gundah dan resah. Dia berkata kepada mereka, “Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini, dan berjagalah.” Dia pergi jauh sedikit lagi, lalu merebahkan diri ke tanah, dan berdoa kalau dapat, saat itu diedarkan daripada-Nya. Kata-Nya, “Abba, Bapa, segala-galanya dapat Kaulakukan. Edarkanlah cawan ini daripada-Ku. Namun demikian, bukanlah kehendak-Ku tetapi kehendak-Mu yang terlaksana.” Kemudian Dia kembali kepada murid-murid-Nya dan mendapati mereka tertidur, lalu Dia berkata kepada Petrus, “Simon, kamu tidurkah? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga? Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.” Dia pergi berdoa lagi, dengan kata-kata yang sama. Apabila Dia kembali, didapati-Nya mereka telah tertidur lagi, kerana mata mereka amat mengantuk. Mereka tidak tahu apa yang hendak dijawab kepada-Nya. Setelah Dia datang kepada mereka bagi kali ketiga, Dia berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat? Cukuplah! Waktunya sudah tiba. Lihat, Anak Manusia sedang dikhianati dan diserahkan ke tangan orang berdosa. Bangunlah! Mari kita pergi! Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba!” Sesaat kemudian, ketika Dia masih berkata-kata, seorang daripada murid-Nya yang dua belas itu, iaitu Yudas datang dengan orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan tua-tua. Pengkhianat Yesus telah menetapkan satu isyarat dengan mereka: “Yang kucium nanti, itulah Dia. Tangkap Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.” Sebaik-baik Yudas tiba, dia pergi kepada Yesus sambil berkata, “Rabbi!” lalu mencium-Nya. Mereka pun menangkap Yesus dan membawa-Nya pergi. Seorang daripada yang berdiri di situ menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya. Yesus berkata kepada mereka, “Patutkah kamu datang bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Setiap hari Aku dalam kalanganmu, mengajar di Bait Suci, dan kamu tidak menangkap-Ku. Tetapi yang tersurat dalam Kitab Suci mestilah terlaksana.” Setelah itu, semua murid Yesus meninggalkan-Nya dan masing-masing melarikan diri. Seorang pemuda mengikut-Nya, dengan hanya sehelai kain linen membalut tubuhnya. Pemuda-pemuda lain menangkapnya, lalu dia melucutkan kain linen itu dan melarikan diri daripada mereka dalam keadaan telanjang. Yesus dibawa kepada imam besar. Bersamanya berhimpun semua ketua imam, tua-tua, dan ahli-ahli Taurat. Petrus mengikut Yesus dari jauh, turut masuk ke laman dalam rumah imam besar, dan duduk dalam kalangan hamba, berdiang di situ. Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian terhadap Yesus supaya dapat membunuh-Nya, tetapi mereka tidak berjaya. Ramai yang memberi kesaksian palsu terhadap-Nya, tetapi kesaksian mereka semua bercanggah. Kemudian beberapa orang bangkit memberi kesaksian palsu terhadap-Nya dengan berkata, “Kami telah mendengar Dia berkata, ‘Aku akan membinasakan Bait Suci yang diperbuat dengan tangan ini, dan dalam tiga hari Aku akan membina Bait Suci yang diperbuat tanpa tangan.’ ” Tetapi kesaksian mereka masih bercanggah. Imam besar bangkit berdiri di tengah-tengah kesaksian itu lalu bertanya kepada Yesus, “Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?” Tetapi Yesus berdiam diri, tidak menjawab sepatah pun. Imam besar itu bertanya lagi kepada-Nya, “Adakah Kamu Kristus, Anak Allah Yang Termulia?” Yesus menjawab, “Ya, Akulah Dia. Kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit.” Imam besar itu lalu mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, “Adakah kita perlukan saksi lagi? Kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya sendiri! Apakah pendapatmu?” Lalu mereka semua menjatuhkan hukum ke atas-Nya, bahawa Dia patut dibunuh. Kemudian sesetengah mereka mulai meludahi-Nya, membalut mata-Nya lalu memukul-Nya dan berkata kepada-Nya, “Bernubuatlah!” Pengawal-pengawal pula menampar-Nya. Petrus ada di bawah, di laman dalam. Seorang hamba perempuan imam besar datang ke situ. Apabila dia melihat Petrus sedang berdiang memanaskan tubuhnya, dia memandang Petrus dan berkata, “Kamu juga bersama Yesus orang Nazaret.” Petrus menyangkal, katanya, “Aku tidak tahu dan tidak faham apa yang kaukatakan.” Dia keluar ke serambi depan, lalu ayam berkokok. Hamba perempuan itu melihatnya lagi, lalu mula berkata kepada orang yang berdiri di situ, “Ini seorang daripada mereka.” Petrus menyangkalnya lagi. Sejurus kemudian, mereka yang berdiri di situ berkata pula kepada Petrus, “Sudah tentu kamu seorang daripada mereka, kerana kamu orang Galilea.” Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, “Aku tidak kenal orang yang kaukatakan itu!” Ayam pun berkokok bagi kali kedua. Lalu Petrus teringat kata-kata Yesus kepadanya: “Sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.” Memikirkan perkara itu, Petrus menangis dengan kesalnya.