AMSAL 31:10-31

AMSAL 31:10-31 Alkitab Berita Baik (BM)

Isteri yang cekap susah ditemukan. Dia lebih berharga daripada permata. Suaminya mempunyai keyakinan terhadap dia dan tidak akan kekurangan apa-apa. Seumur hidupnya, dia berbuat baik kepada suaminya dan tidak berbuat jahat kepadanya. Dia rajin mengumpulkan bulu domba dan rami, lalu sibuk menenunnya. Dia mendatangkan makanan dari tempat jauh seperti yang dilakukan oleh kapal dagang. Dia bangun pagi-pagi buta untuk menyediakan makanan bagi keluarganya, dan untuk memberikan arahan kepada semua hamba perempuannya. Dia mencari sebidang tanah, lalu membelinya dan mengusahakan ladang anggur dengan pendapatannya. Dia menyiapkan diri untuk bekerja sekuat tenaga. Dia tahu bahawa segala sesuatu yang diusahakannya menguntungkan, dan dia bekerja sehingga jauh malam. Dia memintal benang dan menenun kainnya sendiri. Dia murah hati kepada orang yang miskin dan susah. Pada musim sejuk dia tidak khuatir, kerana keluarganya mempunyai baju panas. Dia membuat permaidani dan memakai pakaian daripada kain linen ungu yang halus. Suaminya pemimpin masyarakat, dan seorang yang kenamaan. Dia menjahit pakaian dan membuat ikat pinggang untuk dijual kepada pedagang. Dia berwibawa serta dihormati orang. Dia tidak khuatir akan masa hadapan. Kata-katanya bijak serta lemah lembut. Dia sentiasa rajin bekerja dan memperhatikan urusan rumah tangganya. Dia dihargai oleh anak-anaknya dan dipuji oleh suaminya. Suaminya berkata, “Ada banyak wanita yang baik, tetapi engkaulah yang terbaik antara mereka semua.” Kejelitaan menipu mata, kecantikan pun tidak kekal; tetapi seorang wanita yang menghormati TUHAN harus dipuji. Balaslah segala perbuatannya. Dia wanita yang layak dihormati semua orang.

AMSAL 31:10-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Isteri yang cemerlang, siapakah dapat menemukannya? Dia jauh lebih berharga daripada intan berlian. Hati suaminya mempercayainya dan suaminya tidak akan kekurangan keuntungan. Dia berbuat baik kepada suaminya, bukan berbuat jahat, seumur hidupnya. Dia mencari bulu domba dan rami, lalu dengan senang hati bekerja dengan tangannya. Dia seperti kapal saudagar, dibawanya makanannya dari jauh. Dia bangun ketika hari masih gelap, disiapkannya makanan untuk seisi rumahnya, dan bahagian tugas bagi setiap pelayan perempuannya. Setelah menimbangkan sewajar-wajarnya, dibelinya sebuah ladang, dan daripada hasil tangannya ditanaminya kebun anggur. Dia mengikat pinggangnya dengan kekuatan, dan menguatkan lengannya. Dia tahu bahawa usahanya menguntungkan; pada malam hari pelitanya tidak padam. Tangannya diletakkannya pada pemintal, dan jari-jarinya memegang gelendong benang. Dia membuka tangannya bagi orang miskin, dan menghulurkan tangannya bagi orang melarat. Dia tidak mengkhuatirkan keluarganya ketika musim sejuk tiba, kerana seisi rumahnya berpakaian tebal. Dia membuat bagi dirinya permaidani, dan pakaiannya pun daripada linen halus berwarna ungu. Suaminya dikenal orang di pintu gerbang, ketika dia duduk bersama para tua-tua negeri. Dia membuat pakaian daripada linen lalu menjualnya, dan dia menyediakan ikat pinggang bagi para pedagang. Kekuatan dan kehormatan adalah pakaiannya; dia tersenyum terhadap hari yang mendatang. Dia membuka mulutnya dengan hikmah, dan ajaran kebaikan hati ada di lidahnya. Dia mengawasi jalan rumah tangganya, dan buah hasil kemalasan tidak dijamahnya. Anak-anaknya bangkit dan menyanjungnya, suaminya pun memujinya, “Ramai perempuan yang perbuatan mereka sangat baik, tetapi engkau melebihi mereka semua.” Daya tarikan memperdaya dan kecantikan cuma kesia-siaan, tetapi perempuan yang takut kepada TUHAN akan dipuji-puji. Berikanlah kepadanya hasil tangannya, dan biarlah hasil kerjanya memuji-mujinya di pintu-pintu gerbang!