MAZMUR 119:1-56
MAZMUR 119:1-56 Alkitab Berita Baik (BM)
Berbahagialah orang yang hidup tanpa cela, dan hidup menurut Taurat TUHAN. Berbahagialah mereka yang menurut perintah-Nya, dan mentaati Dia dengan sepenuh hati. Mereka tidak melakukan kejahatan, tetapi hidup menurut kehendak TUHAN. Engkau memberi kami hukum-Mu, ya TUHAN, dan menyuruh kami mematuhinya dengan setia. Semoga aku setia mematuhi peraturan-Mu. Jika aku menumpukan perhatian kepada semua perintah-Mu, aku tidak akan dipermalukan. Ketika aku mempelajari ketetapan-Mu yang adil, aku akan memuji Engkau dengan hati yang murni. Aku akan taat kepada hukum-Mu; janganlah sekali-kali tinggalkan aku! Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci? Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu. Dengan sepenuh hati aku berusaha untuk mentaati Engkau; jangan biarkan aku menyimpang daripada perintah-Mu. Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku, supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu. Aku memuji Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku kehendak-Mu. Aku akan menceritakan segala hukum yang telah Engkau berikan. Aku gemar menurut perintah-Mu, lebih daripada memiliki segala kekayaan. Aku akan mengkaji peraturan-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu. Aku gemar akan hukum-Mu; aku tidak akan melupakan perintah-Mu. Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu, supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu. Bukalah mataku supaya aku dapat melihat ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu. Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika; janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku. Hatiku sangat rindu untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu. Engkau menegur orang yang sombong; terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu. Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, kerana aku telah melakukan hukum-Mu. Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu. Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; peraturan-Mu menasihati aku. Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu. Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; ajarlah aku kehendak-Mu. Tolonglah aku memahami hukum-Mu, dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan. Jiwaku hancur kerana kesedihan; kuatkanlah aku menurut janji-Mu. Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu. Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Aku suka mentaati perintah-Mu, kerana Engkau menambahkan pengertianku. Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu. Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya. Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku. Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan. Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu. Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu. Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; betapa baiknya ketetapan-Mu. Aku mahu mentaati perintah-Mu; berilah aku hidup baru kerana Engkau adil. Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, kerana aku mempercayai firman-Mu. Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, kerana aku yakin akan ketetapan-Mu. Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, untuk selama-lamanya. Maka aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu. Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, dan aku tidak akan dipermalukan. Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu. Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenungkan peraturan-Mu. Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu; janji yang telah memberikan harapan kepadaku. Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, kerana janji-Mu memberi aku hidup. Orang sombong selalu menghina aku, tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu. Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN. Aku sangat marah kepada orang jahat apabila mereka melanggar Taurat-Mu. Selama hidupku yang singkat di bumi ini, aku menggubah lagu tentang perintah-Mu. Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN, dan aku memikirkan Taurat-Mu. Aku mendapat kebahagiaan dengan mentaati perintah-Mu.
MAZMUR 119:1-56 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Diberkatilah orang yang tidak tercela jalannya, yang melangkah menurut hukum TUHAN. Diberkatilah mereka yang mematuhi peraturan-Nya, yang mencari-Nya dengan sepenuh hati. Mereka juga tidak melakukan dosa; mereka melangkah menurut jalan-Nya. Engkau telah memerintahkan kami supaya mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan bersungguh-sungguh. Oh, kalaulah cara-caraku ditujukan ke arah mematuhi ketetapan-Mu! Maka tidaklah aku malu apabila aku meneliti segala perintah-Mu. Aku akan memuji-Mu dengan tulus hati apabila kupelajari hukum-Mu yang benar. Aku akan mematuhi ketetapan-Mu; janganlah tinggalkan aku selama-lamanya. Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya? Dengan berhati-hati menurut firman-Mu. Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu; janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu. Terpujilah Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku ketetapan-Mu. Dengan bibirku telah kuisytiharkan segala hukum yang Kaufirmankan. Aku telah bergembira dengan cara peraturan-Mu seperti dengan segala kekayaan. Aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu dan memikirkan cara-cara-Mu. Aku akan menikmati ketetapan-Mu; aku tidak akan melupakan firman-Mu. Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu; supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu. Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu. Aku orang asing di bumi; janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku. Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu. Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati, yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan, kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu. Raja-raja juga duduk mengataku, tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu. Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan. Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu. Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku; ajarlah aku ketetapan-Mu. Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu; supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan. Jiwaku lebur ditekan kemuraman; teguhkanlah aku menurut firman-Mu. Bebaskan aku daripada jalan dusta; dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia. Aku telah memilih jalan kebenaran; hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku. Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu; Ya TUHAN, jangan malukan aku. Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu, kerana Engkau melapangkan hatiku. Ajarlah aku, ya TUHAN, jalan ketetapan-Mu; aku akan mematuhinya hingga ke akhir. Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu; sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku. Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu, kerana aku bahagia dengannya. Cenderungkanlah hatiku kepada peraturan-Mu, bukan kepada ketamakan. Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah; dan pulihkan aku di jalan-Mu. Tegakkan firman-Mu bagi hamba-Mu, yang sepenuh hari takut kepada-Mu. Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti, kerana hukum-hukum-Mu baik. Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu! Pulihkan aku dalam perbenaran-Mu. Biarlah kasih setia-Mu juga datang kepadaku, ya TUHAN, penyelamatan-Mu menurut janji-Mu; dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku, kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu. Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku, kerana aku berharap kepada hukum-Mu. Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu, selama-lamanya. Dan aku akan melangkah dengan bebas, kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu. Aku akan berbicara tentang peraturan-Mu juga di hadapan raja-raja dan tidak akan malu, dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu yang kukasihi. Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi, dan aku akan merenung ketetapan-Mu. Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu, dengannya Engkau telah memberiku harapan. Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku: Firman-Mu memberiku hidup. Orang yang sombong mentertawakan aku, namun aku tidak berpaling daripada hukum-Mu. Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu, Ya TUHAN, dan aku melipurkan diriku. Kemarahan telah memenuhiku kerana orang zalim, yang meninggalkan hukum-Mu. Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku dalam perjalanan ibadatku. Aku ingat akan nama-Mu pada waktu malam, Ya TUHAN, dan aku mematuhi hukum-Mu. Ini telah menjadi milikku: kerana aku telah mematuhi ajaran-ajaran-Mu.