Mazmur 119:1-56

Mazmur 119:1-56 AVB

Diberkatilah orang yang tidak tercela jalannya, yang melangkah menurut hukum TUHAN. Diberkatilah mereka yang mematuhi peraturan-Nya, yang mencari-Nya dengan sepenuh hati. Mereka juga tidak melakukan dosa; mereka melangkah menurut jalan-Nya. Engkau telah memerintahkan kami supaya mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan bersungguh-sungguh. Oh, kalaulah cara-caraku ditujukan ke arah mematuhi ketetapan-Mu! Maka tidaklah aku malu apabila aku meneliti segala perintah-Mu. Aku akan memuji-Mu dengan tulus hati apabila kupelajari hukum-Mu yang benar. Aku akan mematuhi ketetapan-Mu; janganlah tinggalkan aku selama-lamanya. Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya? Dengan berhati-hati menurut firman-Mu. Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu; janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu. Terpujilah Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku ketetapan-Mu. Dengan bibirku telah kuisytiharkan segala hukum yang Kaufirmankan. Aku telah bergembira dengan cara peraturan-Mu seperti dengan segala kekayaan. Aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu dan memikirkan cara-cara-Mu. Aku akan menikmati ketetapan-Mu; aku tidak akan melupakan firman-Mu. Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu; supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu. Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu. Aku orang asing di bumi; janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku. Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu. Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati, yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan, kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu. Raja-raja juga duduk mengataku, tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu. Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan. Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu. Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku; ajarlah aku ketetapan-Mu. Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu; supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan. Jiwaku lebur ditekan kemuraman; teguhkanlah aku menurut firman-Mu. Bebaskan aku daripada jalan dusta; dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia. Aku telah memilih jalan kebenaran; hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku. Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu; Ya TUHAN, jangan malukan aku. Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu, kerana Engkau melapangkan hatiku. Ajarlah aku, ya TUHAN, jalan ketetapan-Mu; aku akan mematuhinya hingga ke akhir. Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu; sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku. Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu, kerana aku bahagia dengannya. Cenderungkanlah hatiku kepada peraturan-Mu, bukan kepada ketamakan. Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah; dan pulihkan aku di jalan-Mu. Tegakkan firman-Mu bagi hamba-Mu, yang sepenuh hari takut kepada-Mu. Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti, kerana hukum-hukum-Mu baik. Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu! Pulihkan aku dalam perbenaran-Mu. Biarlah kasih setia-Mu juga datang kepadaku, ya TUHAN, penyelamatan-Mu menurut janji-Mu; dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku, kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu. Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku, kerana aku berharap kepada hukum-Mu. Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu, selama-lamanya. Dan aku akan melangkah dengan bebas, kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu. Aku akan berbicara tentang peraturan-Mu juga di hadapan raja-raja dan tidak akan malu, dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu yang kukasihi. Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi, dan aku akan merenung ketetapan-Mu. Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu, dengannya Engkau telah memberiku harapan. Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku: Firman-Mu memberiku hidup. Orang yang sombong mentertawakan aku, namun aku tidak berpaling daripada hukum-Mu. Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu, Ya TUHAN, dan aku melipurkan diriku. Kemarahan telah memenuhiku kerana orang zalim, yang meninggalkan hukum-Mu. Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku dalam perjalanan ibadatku. Aku ingat akan nama-Mu pada waktu malam, Ya TUHAN, dan aku mematuhi hukum-Mu. Ini telah menjadi milikku: kerana aku telah mematuhi ajaran-ajaran-Mu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Mazmur 119:1-56