Pengorbanan TeragungSampel
Kemenangan atas Kematian!
Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, lalu keluar dari kubur. —Yohanes 5:28-29
Satu lukisan purba yang saya lihat baru-baru ini telah meninggalkan kesan yang mendalam bagi saya. Tajuknya, Anastasis bermaksud “kebangkitan,” dan lukisan itu menggambarkan kemenangan Kristus atas kematian dengan cara yang amat menakjubkan. Tuhan Yesus, yang baru keluar dari kubur, membawa Adam dan Hawa keluar dari keranda mereka ke arah hidup sejati. Apa yang menarik dalam lukisan ini adalah cara ia menunjukkan kematian secara rohani dan fizikal, akibat kejatuhan manusia dalam dosa, telah diterbalikkan secara dramatik oleh Kristus yang bangkit.
Sebelum kematian-Nya pada kayu salib, Tuhan Yesus menggambarkan masa yang akan datang bahawa Dia akan memanggil semua orang percaya ke dalam keberadaan yang baru dan mulia: “ … akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, lalu keluar dari kubur” (Yohanes 5:28-29).
Oleh sebab kemenangan Kristus atas kematian, kubur bukanlah destinasi terakhir. Sudah semestinya kita akan berasa sedih dan duka apabila orang tersayang kita meninggal dunia dan kita dipisahkan daripada mereka dalam kehidupan ini. Akan tetapi, orang percaya tidak berkabung seperti orang yang tidak mempunyai harapan (1 Tesalonika 4:13). Kesaksian daripada kebangkitan Yesus adalah suatu hari kelak semua orang Kristian akan diangkat dari kubur lalu dihidupkan semula dengan tubuh yang baru (1 Korintus 15:42-44). Oleh itu, “kita akan bersama-sama Tuhan selama-lamanya” (1 Tesalonika 4:17). —Dennis Fisher
Ya Tuhan, terima kasih untuk pengorbanan-Mu bagi dosa kami agar kami dapat hidup. Kami bersyukur kerana Engkau mati dan hidup semula, kami mendapat harapan bahawa pada suatu hari nanti, kami akan bersama Engkau di tempat yang tidak ada kematian lagi.
Oleh sebab Kristus hidup, kita juga akan hidup.
Kitab
Perihal Pelan
Betul-Betul Mengagumkan: KEBENARAN YANG PALING AJAIB—HANYA DENGAN BERFIKIR BAHAWA YESUS MENGASIHIKU. Ikuti rancangan pembacaan 5 hari, sempena Hari Paska dan Hari Easter 2019. Mari kita merenungkan Pengorbanan Teragung itu dan naikkanlah ucapan syukur kita kepada-Nya.
More
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Roti Harian kami untuk menyediakan rancangan ini. Untuk maklumat lanjut, sila lawati: https://pedomanharian.org