Kejadian 32

32
Pergelutan Yakub
1Yakub meneruskan perjalanannya, lalu para malaikat Allah datang menemuinya. 2Tatkala Yakub melihat mereka, dia berkata, “Ini sebuah perkhemahan para malaikat Allah!” Maka dinamainya tempat itu Mahanaim.
3Lalu Yakub menghantar beberapa orang utusan lebih dahulu daripadanya untuk menemui Esau, abangnya, di Tanah Seir, wilayah Edom. 4Pesannya kepada mereka, “Beginilah harus kamu katakan kepada tuanku Esau, ‘Hambamu Yakub berkata: Selama ini aku tinggal dengan Laban sebagai pendatang dan menetap di sana sampai sekarang. 5Aku mempunyai lembu, keldai, domba, hamba lelaki, serta hamba perempuan, dan aku mengirim utusan untuk memberitahukan hal itu kepada tuanku, supaya tuan berkenan padaku.’ ”
6Maka kembalilah para utusan itu kepada Yakub dan berkata, “Kami telah menemui Esau, abangmu, dan dia pun dalam perjalanan bersama-sama empat ratus orang lelaki untuk menemuimu.” 7Maka sangat susah hati dan ketakutanlah Yakub. Lalu dia membahagikan semua orang yang menyertainya serta kawanan domba, lembu, serta unta menjadi dua rombongan. 8Fikirnya, “Jika Esau menyerang salah satu rombongan, rombongan yang satu lagi akan terlepas.”
9Berkatalah Yakub, “Ya Allah datukku Abraham dan Allah ayahku Ishak, ya TUHAN yang telah berfirman kepadaku, ‘Pulanglah ke negerimu, kepada sanak saudaramu, dan Aku akan berbuat baik kepadamu,’ 10aku tidak layak menerima sedikit pun daripada segala ihsan serta kasih setia yang telah Engkau tunjukkan kepada hamba-Mu ini, kerana hanya dengan tongkat ini aku menyeberangi Sungai Yordan ini dahulu, tetapi kini aku terbahagi menjadi dua buah rombongan. 11Namun demikian, lepaskanlah aku daripada tangan Esau, abangku, kerana aku takut kepadanya, jangan-jangan dia datang untuk menyerang aku serta para ibu dengan anak-anak mereka. 12#Kej 22:17.Bukankah Engkau pernah berfirman, ‘Aku pasti berbuat baik kepadamu dan menjadikan keturunanmu tidak terhitung bagaikan pasir di laut banyaknya.’ ”
13Maka pada malam itu, Yakub pun bermalam di situ. Kemudian dia menyediakan persembahan untuk abangnya, Esau dengan mengambil beberapa daripada harta benda miliknya 14iaitu dua ratus ekor kambing betina, dua puluh ekor kambing jantan, dua ratus ekor domba betina, dua puluh ekor domba jantan, 15tiga puluh ekor unta betina dengan anak-anaknya yang masih menyusu, empat puluh ekor lembu betina, sepuluh ekor lembu jantan, dua puluh ekor keldai betina, dan sepuluh ekor keldai jantan. 16Dia menyerahkan kesemua itu kepada para hambanya, masing-masing menjaga sekawanan ternak. Lalu kata Yakub kepada mereka, “Berjalanlah mendahului aku dan berilah jarak di antara satu kawanan ternakan dengan kawanan ternakan yang lain.” 17Kepada hambanya yang berjalan paling depan dia berpesan, “Apabila Esau, abangku, menjumpaimu dan bertanya kepadamu, ‘Hamba siapakah kamu? Ke mana kamu hendak pergi? Milik siapakah ternakan di hadapanmu ini?’ 18Maka jawablah, ‘Milik hambamu, Yakub. Ini ialah persembahan yang dikirimnya bagi tuanku Esau. Sesungguhnya, dia sendiri ada di belakang kami.’ ” 19Demikianlah juga pesannya kepada hambanya yang kedua dan yang ketiga, serta kepada semua orang yang berjalan mengikuti kawanan ternakan itu. Katanya, “Begitulah harus kamu katakan kepada Esau apabila kamu berjumpa dengannya. 20Katakanlah juga, ‘Sesungguhnya, hambamu Yakub ada di belakang kami.’ ” Kerana fikir Yakub, “Aku hendak menenangkan hatinya dengan persembahan yang dihantar lebih dahulu ini. Setelah itu, barulah aku akan melihat wajahnya. Barangkali dia mahu menerima aku.” 21Jadi, persembahan itu dihantar terlebih dahulu, sementara dia sendiri bermalam di perkhemahannya pada malam itu.
Yakub bergelut dengan Allah
22Pada malam itu juga dia bangun lalu dibawanya kedua-dua isterinya dan kedua-dua hamba perempuannya bersama-sama sebelas orang anaknya menyeberang melalui tempat penyeberangan Sungai Yabok. 23#Keb 10:12.Setelah membawa mereka ke seberang, dibawanya pula ke seberang segala harta bendanya. 24#Hos 12:3,4.Maka tinggallah Yakub seorang diri lalu muncul seorang lelaki yang bergelut dengannya sehingga fajar menyingsing.
25Apabila lelaki itu melihat betapa dia tidak dapat mengalahkan Yakub, dipukulnyalah pangkal paha Yakub. Maka terseliuhlah pangkal paha Yakub bahana bergelut dengan lelaki itu. 26Lalu kata lelaki itu, “Biarkan aku pergi kerana fajar sudah mula menyingsing.”
Tetapi jawab Yakub, “Aku tidak akan membiarkan kamu pergi sebelum kamu memberkati aku.”
27Lalu lelaki itu bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?”
Jawabnya, “Yakub.”
28 # Kej 35:10. Kata lelaki itu, “Kini namamu bukan lagi Yakub tetapi Israel, kerana kamu sudah berjaya bergelut dengan Allah dan dengan manusia.”
29 # Hak 13:17,18. Maka Yakub pun berkata, “Harap beritahulah namamu.” Jawabnya, “Mengapakah kamu menanyakan namaku?” Kemudian dia memberkati Yakub di situ.
30Yakub menamai tempat itu Peniel kerana katanya, “Aku telah bersemuka dengan Allah dan nyawaku terselamat.” 31Matahari sudah terbit ketika dia melalui Peniel, dan dia tempang kerana pangkal pahanya. 32Maka sampai hari ini orang Israel tidak makan urat pinggul yang ada pada pangkal paha binatang kerana Dia telah memukul pangkal paha Yakub pada urat pinggul itu.

Terpilih Sekarang Ini:

Kejadian 32: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk