Kejadian 33
33
Yakub berbaik semula dengan Esau
1Ketika Yakub mendongak dia terlihat Esau datang dengan disertai oleh empat ratus orang lelaki. Lalu dia membahagikan anak-anaknya antara Lea dengan Rahel, serta kedua-dua hamba perempuan mereka. 2Dia menempatkan hamba-hamba perempuan itu dengan anak-anak mereka di depan, kemudian Lea dengan anak-anaknya, dan diikuti Rahel dengan Yusuf di belakang sekali. 3Yakub sendiri berjalan di depan mereka. Tujuh kali dia sujud memberi hormat sehingga tibalah dia dekat dengan abangnya. 4Tetapi Esau berlari mendapatkannya lalu memeluk Yakub dan merangkul lehernya serta menciumnya. Lalu bertangis-tangisanlah kedua-dua mereka. 5Ketika Esau mengangkat mukanya, dia terlihat kaum wanita serta kanak-kanak di hadapannya. Maka bertanyalah dia, “Siapakah semua orang yang menyertaimu ini?”
Jawab Yakub, “Itulah kesemua anak yang telah Allah anugerahi kepada hambamu ini.” 6Lalu para hamba perempuan itu berserta anak-pinak masing-masing datang dekat dan sujud memberi hormat. 7Lea dan anak-anaknya pun turut mendekat lalu sujud memberi hormat. Setelah itu, Yusuf dan Rahel pula mendekati serta sujud memberi hormat.
8Bertanyalah Esau, “Apakah maksudmu dengan semua rombongan yang kutemui tadi?”
Jawab Yakub, “Supaya tuanku berkenan kepada hamba.”
9Tetapi kata Esau, “Aku berkecukupan, adikku. Biarlah apa yang ada padamu tetap menjadi milikmu.”
10Kata Yakub, “Kuminta janganlah demikian. Jika tuan memang berkenan kepada hamba, terimalah persembahan daripada tangan hamba ini, kerana bagi hamba melihat wajah tuan sahaja rasanya seperti melihat wajah Allah. Tuan telah menyambut aku dengan baik. 11Kumohon terimalah pemberian yang dihantarkan kepada tuan itu, kerana Allah telah bermurah hati kepada hamba sehingga hamba mempunyai semua ini.” Dia bersungguh-sungguh meminta sedemikian hingga Esau pun sudi menerimanya.
12Kata Esau, “Ayuh kita meneruskan perjalanan ini. Biar aku berjalan mendahuluimu.”
13Tetapi kata Yakub kepadanya, “Tuanku maklum bahawa anak-anak ini masih lemah, apatah lagi kawanan ternakan yang ada pada hamba ada yang masih menyusu. Jika dipaksakan berjalan satu hari sahaja, maka kesemua haiwan itu akan mati. 14Jadi, biarlah tuan berjalan mendahului hambamu dan hamba akan maju perlahan-lahan menurut langkah ternakan yang ada di depan hamba serta langkah anak-anak, hingga hamba sampai kepada tuan di Seir.”
15Kata Esau, “Kalau begitu, biarlah kutinggalkan denganmu beberapa daripada orang yang menyertaiku.”
Jawab Yakub, “Mengapakah harus demikian? Cukuplah bagi hamba jika tuanku berkenan pada hamba.” 16Maka pulanglah Esau pada hari itu juga menuju Seir. 17Sebaliknya, Yakub berangkat menuju Sukot di mana dia mendirikan sebuah rumah baginya serta petak-petak bagi ternakannya. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Sukot.
18Setelah berjalan sekian lama dari Padan-Aram, sampailah Yakub dengan selamat di Kota Sikhem, di Tanah Kanaan, lalu didirikannya khemahnya berdekatan dengan kota itu. 19#Yos 24:32; Yoh 4:5.Kemudian dibelinya sebidang tanah berharga seratus keping wang perak daripada bani Hamor iaitu ayah Sikhem, yakni tempat dia mendirikan khemahnya. 20Lalu dia mendirikan sebuah mazbah di sana dan menamainya “El-Elohe Israel” iaitu “Allah Israel ialah Allah.”
Terpilih Sekarang Ini:
Kejadian 33: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited