1 TAWARIKH 21:18-27

1 TAWARIKH 21:18-27 BM

Kemudian malaikat TUHAN menyuruh Gad memberitahu Raja Daud supaya pergi ke tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna dan mendirikan mazbah bagi TUHAN di situ. Oleh itu Raja Daud pergi menurut perintah TUHAN yang disampaikan oleh Gad kepadanya. Di tempat mengirik gandum, Arauna dan empat orang anak lelakinya sedang mengirik gandum. Apabila mereka nampak malaikat itu, keempat-empat orang anak Arauna lari menyembunyikan diri. Ketika Arauna nampak Raja Daud datang, dia menyambut baginda dan sujud di hadapan baginda. Raja Daud bertitah kepadanya, “Beta mahu mendirikan mazbah untuk TUHAN di tempat ini. Oleh itu juallah tanah ini kepada beta. Katakanlah berapa harganya, dan beta akan membayarnya.” “Tuanku, ambillah,” jawab Arauna, “lakukanlah segala kehendak tuanku. Ambillah lembu-lembu ini sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan gunakanlah papan pengirik sebagai kayu api. Ambillah gandum untuk dipersembahkan sebagai korban bijirin. Hamba memberikan semuanya kepada tuanku. Tuanku tidak usah membayar harganya.” Tetapi raja menjawab, “Tidak, beta mahu membelinya dengan sepenuh harga. Beta tidak mahu mempersembahkan milik kamu kepada TUHAN, atau sesuatu yang beta dapat dengan percuma.” Kemudian Raja Daud membayar 600 keping wang emas kepada Arauna untuk tempat itu. Raja Daud membina sebuah mazbah bagi TUHAN di situ, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Kemudian baginda berdoa dan TUHAN mengabulkan doanya dengan menurunkan api dari langit untuk membakar korban-korban di atas mazbah itu. TUHAN menyuruh malaikat menyarungkan pedangnya, maka malaikat itu taat.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 1 TAWARIKH 21:18-27