YESAYA 16

16
Moab Tidak Ada Harapan
1Dari kota Sela di padang gurun, penduduk Moab mengirim seekor domba kepada pemerintah di Yerusalem. 2Mereka menunggu di tebing Sungai Arnon, berulang-alik tanpa tujuan seperti burung yang telah diusir dari sarang.
3Mereka berkata kepada penduduk Yehuda, “Apakah yang harus kami buat? Lindungilah kami seperti pokok yang memberikan teduh pada tengah hari yang panas, dan benarkanlah kami berteduh di bawah naungan kamu. Kami orang pelarian; sembunyikanlah kami dan jangan khianati kami. 4Benarkanlah kami tinggal di negeri kamu. Lindungilah kami daripada mereka yang hendak membinasakan kami.”
(Penindasan dan pemusnahan itu akan berakhir, dan orang yang memusnahkan negeri Israel akan lenyap. 5Kemudian seorang daripada keturunan Raja Daud akan menjadi raja yang memerintah rakyatnya dengan kasih dan kesetiaan. Baginda akan cepat bertindak untuk melakukan yang benar, dan baginda akan menegakkan keadilan.)
6Orang Yehuda berkata, “Kami telah mendengar tentang kesombongan orang Moab; betapa angkuhnya dan congkaknya mereka. Tetapi cakap besar mereka itu kosong semata-mata.”
7Orang Moab akan menangis kerana penderitaan mereka. Mereka akan menangis apabila teringat akan makanan enak yang biasa dimakan mereka di Kir-Hareset. Mereka akan putus asa. 8Ladang dekat Hesybon dan ladang anggur di Sibma telah musnah - ladang yang menghasilkan wain untuk pemerintah bangsa-bangsa dan memabukkan mereka. Pada suatu masa dahulu ladang anggur itu meluas sampai ke kota Yaezer, dan ke timur sampai ke padang gurun, dan ke barat sampai ke seberang Laut Mati. 9Tetapi sekarang aku menangisi pokok anggur Sibma sebagaimana aku menangisi Yaezer. Aku mencucurkan air mata untuk Hesybon dan Eleale, kerana tiada lagi hasil tanaman untuk menyukakan hati orang.#kerana…hati orang; atau kerana hasil tanamannya dimakan habis oleh musuh. 10Sekarang tiada sesiapa pun yang bersukacita di tanah yang subur itu. Tiada sesiapa pun yang bersorak atau bernyanyi di ladang-ladang anggur. Tiada lagi orang yang memeras buah anggur. Sorakan gembira mereka sudah berhenti.#Sebuah terjemahan kuno: Sorakan gembira mereka sudah berhenti; Naskhah Ibrani: Aku sudah menghentikan sorakan gembira mereka. 11Aku mengeluh dengan sedih melihat keadaan Moab dan Kir-Heres. 12Orang Moab bersusah payah mendaki bukit ke tempat ibadat mereka untuk berdoa, tetapi usaha mereka sia-sia sahaja.
13Itulah perkhabaran yang dahulu diberikan oleh TUHAN tentang Moab; 14#Yes 25.10-12; Yer 48.1-47; Yeh 25.8-11; Am 2.1-3; Zef 2.8-11 tetapi sekarang TUHAN berfirman, “Dalam masa tiga tahun, segala kekayaan yang dibanggakan oleh Moab akan lenyap. Penduduknya yang banyak akan menjadi sangat sedikit dan lemah.”

Terpilih Sekarang Ini:

YESAYA 16: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk