YESAYA 17
17
Allah Akan Menghukum Siria dan Israel
1TUHAN berfirman, “Damsyik tidak lagi merupakan sebuah kota, tetapi hanya setimbunan runtuhan. 2Kota-kota di negeri Siria akan ditinggalkan selama-lamanya.#Sebuah terjemahan kuno: Kota-kota…selama-lamanya; Naskhah Ibrani: Kota-kota Aroer sudah ditinggalkan. Lembu dan domba akan berkeliaran di sana dan tidak dihalau oleh sesiapa pun. 3#Yer 49.23-27; Am 1.3-5; Za 9.1 Israel akan kehilangan perlindungan, dan Damsyik akan kehilangan kemerdekaan. Orang Siria yang terselamat akan hidup dalam kehinaan seperti orang Israel. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.”
4TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila kebesaran Israel akan berakhir, dan kekayaannya akan lenyap. 5Israel akan menjadi seperti ladang yang hasilnya sudah dituai, dan terbiar seperti ladang di Lembah Refaim selepas hasilnya habis dipungut. 6Hanya sedikit orang yang akan terselamat. Ketika itu Israel akan menjadi seperti pokok zaitun yang buahnya habis dipetik, dan tinggal beberapa biji sahaja pada bahagian atas sekali atau pada dahan yang rendah. Aku, TUHAN, Allah Israel, telah berfirman.”
7Apabila hari itu tiba kelak, orang akan kembali minta tolong kepada Pencipta mereka, Allah Israel, Allah yang suci. 8Mereka tidak lagi bergantung kepada mazbah-mazbah buatan mereka sendiri, ataupun berharap kepada karya tangan mereka sendiri, iaitu patung-patung Dewi Asyera dan mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan.
9Apabila hari itu tiba kelak, kota-kota yang kuat pertahanannya akan menjadi runtuhan dan lengang seperti kota-kota yang ditinggalkan orang Hewi dan orang Amori#Sebuah terjemahan kuno: orang Hewi dan orang Amori; Naskhah Ibrani: tanah berhutan dan negeri berbukit. ketika mereka lari daripada orang Israel.
10Hai Israel, engkau telah melupakan Allah yang menyelamatkan engkau, dan yang melindungi engkau seperti gunung batu. Sebaliknya engkau telah menanami kebun-kebun indah untuk dewa-dewa.#kebun-kebun indah untuk dewa-dewa: Lihat 1.29. 11Walaupun tanaman itu bertunas dan berbunga pada pagi engkau menanamnya, namun tidak akan ada hasil apa-apa; yang ada hanya kesusahan dan kesakitan yang tidak dapat disembuhkan.
Negara-Negara Musuh Dikalahkan
12Bangsa-bangsa yang kuat menjadi riuh, dan gemuruhnya seperti gelora ombak laut yang kuat. 13Bangsa-bangsa mara seperti ombak besar, tetapi Allah mengherdik mereka, lalu mereka undur. Mereka diusir seperti sekam di lereng bukit yang diterbangkan angin, dan seperti debu yang ditiup puting beliung. 14Pada petang hari mereka mengganas, tetapi pagi esoknya mereka lenyap. Itulah yang ditentukan bagi setiap orang yang menjarah negeri kita.
Terpilih Sekarang Ini:
YESAYA 17: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.