YOHANES 19:1-30

YOHANES 19:1-30 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Pilatus menyuruh orang mencambuk Yesus. Askar-askar membuat sebuah mahkota daripada ranting-ranting berduri, lalu mengenakannya pada kepala Yesus. Mereka mengenakan jubah ungu pada-Nya, lalu berulang kali datang kepada-Nya sambil berkata, “Daulat, raja orang Yahudi!” Setelah itu mereka menampar Dia. Pilatus keluar sekali lagi dan berkata kepada orang ramai di situ, “Lihatlah, aku membawa dia ke luar, supaya kamu tahu bahawa aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia.” Demikianlah Yesus keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu. Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah orang ini!” Ketika ketua-ketua imam dan para pengawal Rumah Tuhan melihat Yesus, mereka berseru, “Salibkan dia! Salibkan dia!” Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah dia! Kamu sendiri salibkan dia, kerana aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia.” Semua orang Yahudi di situ menjawab, “Menurut hukum kami dia harus dihukum mati kerana dia mengaku dirinya Anak Allah.” Apabila Pilatus mendengar kata-kata mereka, dia lebih takut lagi. Lalu dia masuk kembali ke istana dan bertanya kepada Yesus, “Kamu berasal dari mana?” Tetapi Yesus tidak menjawab. Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mahu berkata apa-apa kepadaku? Ketahuilah bahawa aku berkuasa membebaskan kamu ataupun menyalibkan kamu!” Yesus menjawab, “Kamu sama sekali tidak berkuasa atas diri-Ku kecuali Allah memberikan kuasa itu kepadamu. Oleh itu orang yang menyerahkan Aku kepadamu, dosanya lebih besar daripada dosamu.” Apabila Pilatus mendengar kata-kata ini, dia berusaha untuk membebaskan Yesus. Tetapi semua orang Yahudi di situ berseru, “Jika tuan membebaskan dia, tuan bukan sahabat Kaisar. Sesiapa yang mengaku dirinya raja, melawan Kaisar!” Apabila Pilatus mendengar kata-kata itu, dia membawa Yesus ke luar lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang bernama “Lantai Batu.” (Dalam bahasa Ibrani namanya “Gabata”.) Masa itu hampir pukul dua belas tengah hari, dan esok Perayaan Paska. Pilatus berkata kepada semua orang di situ, “Inilah raja kamu!” Mereka berseru, “Bunuh dia! Bunuh dia! Salibkan dia!” “Kamu mahu aku menyalib raja kamu?” tanya Pilatus. Ketua-ketua imam menjawab, “Kaisar satu-satunya raja kami!” Kemudian Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalibkan. Mereka mengambil Yesus dan membawa Dia pergi. Sambil memikul salib-Nya, Yesus pergi ke luar bandar ke tempat yang bernama “Tempat Tengkorak.” (Dalam bahasa Ibrani tempat itu disebut “Golgota”.) Di situ Dia disalibkan. Dua orang lain juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kiri, seorang di sebelah kanan dan Yesus di tengah. Pilatus menyuruh orang memasang papan kenyataan pada kayu salib Yesus. Papan kenyataan itu bertulis: “Yesus dari Nasaret, Raja Orang Yahudi”. Banyak orang Yahudi membacanya kerana tempat Yesus disalibkan itu tidak jauh dari bandar. Tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Latin, dan Yunani. Ketua-ketua imam berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis, ‘Raja Orang Yahudi’, melainkan tulislah: ‘Orang ini berkata, Aku Raja Orang Yahudi.’ ” Tetapi Pilatus menjawab, “Apa yang sudah aku tulis tidak boleh diubah!” Setelah askar-askar itu menyalibkan Yesus, mereka mengambil pakaian-Nya lalu membahaginya menjadi empat bahagian; dan masing-masing mendapat sebahagian. Mereka juga mengambil jubah-Nya yang dibuat daripada sehelai kain yang ditenun dari atas sampai ke bawah tanpa jahitan. Askar-askar bercakap sesama sendiri, “Janganlah koyak jubah ini. Marilah kita buang undi untuk menentukan orang yang boleh mendapatnya.” Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi, “Mereka membahagi-bahagi pakaian-Ku, dan membuang undi bagi jubah-Ku.” Demikianlah yang dilakukan oleh askar-askar itu. Ibu Yesus, saudara perempuan ibunya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena berdiri dekat salib itu. Yesus nampak ibu-Nya dan pengikut yang dikasihi-Nya berdiri di situ. Oleh itu Yesus berkata kepada ibu-Nya, “Puan, dia anak puan.” Kemudian Yesus berkata kepada pengikut itu, “Dia ibumu.” Sejak itu, ibu Yesus tinggal di rumah pengikut itu. Yesus tahu bahawa sekarang semuanya sudah selesai, dan supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku, Dia berkata, “Aku dahaga.” Di situ ada sebuah mangkuk yang penuh dengan wain murah. Sebuah bunga karang dicelupkan ke dalam wain itu, lalu dicucukkan pada hujung batang hisop, dan kemudian dihulurkan ke mulut Yesus. Yesus mengecapnya lalu berkata, “Sudah selesai!” Setelah itu Dia menundukkan kepala dan meninggal.

YOHANES 19:1-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka sŭtlah itu ditangkap ulih Pilatus akan Isa, lalu dipalunya dŭngan chŭmŭti akan dia. Maka ulih lashkar dianyamkannya mahakota deripada duri, lalu dipakiekannya kapada kŭpala Isa, sŭrta dikŭnakannya suatu baju yang ungu wornanya: Lalu bŭrsorak, Hie Raja orang Yahudi, sambil ditampar ulih marika itu akan dia. Arkian maka kluarlah Pilatus pula, sŭrta bŭrkata pada marika itu, Lihatlah ulihmu aku mŭmbawa dia kluar kapadamu, supaya kamu bulih tahu, bahwa suatu pun kŭsalahan tiada kudapat akan dia ini. Maka kluarlah Isa dŭngan mŭmakie mahakota deripada duri, dan bŭrbaju ungu wornanya; maka kata Pilatus akan marika itu, Lihatlah ulihmu akan orang ini. Maka apabila dilihat ulih imam yang bŭsar bŭsar, dan sagala hulubalang akan dia, maka bŭrsrulah marika itu katanya, Salibkanlah dia, salibkanlah dia. Maka kata Pilatus pada marika itu, Bawalah pŭrgi kamu akan dia, salibkan; kŭrna aku tiada mŭndapat apa apa salahnya. Maka sahut orang orang Yahudi akan dia katanya, Bahwa pada kami ada satu hukum, maka spŭrti bunyi hukum kami itu, patutlah dia ini dibunoh, sŭbab iya mŭnjadikan dirinya Anak Allah. ¶ Adapun apabila didŭngar Pilatus akan pŭrkataan itu, maka bŭrtambahlah takotnya. Maka masoklah pula iya kŭdalam tŭmpat bichara, lalu bŭrkata kapada Isa, Angkau ini deri mana? Maka tiadalah disahut Isa akan dia. Maka tŭtkala itu bŭrkatalah Pilatus kapadanya, Ta’mahukah angkau bŭrkata kata padaku, maka tiadakah angkau kŭtahui, bahwa aku bŭrkwasa mŭnsalibkan angkau, dan bŭrkwasa pula mŭlŭpaskan angkau? Maka disahut Isa, Bahwa tiada angkau bulih mŭmŭgang kwasa atasku ini, jikalau tiada dibri padamu deri atas; maka sŭbab itulah orang yang mŭnyŭrahkan aku kapadamu, maka iya itulah tŭrlebih bŭsar dosanya. Maka deripada kutika itulah Pilatus mŭncharikan jalan akan mŭlŭpaskan Isa, maka bŭrsrulah orang Yahudi katanya, Jikalau angkau lŭpaskan orang ini, maka bahwasanya bukannya angkau sahabat Kesar; maka barang siapa yang mŭnda’wa dirinya raja, iyalah bŭrmusoh dŭngan Kesar. ¶ Bŭrmula apabila Pilatus mŭnŭngar pŭrkataan itu, maka dibawanyalah Isa kluar, lalu dudoklah iya diatas korsi hukuman pada suatu tŭmpat yang bŭrnama Hamparan batu tŭtapi dŭngan bahsa Ibrani Gabbatha namanya. Adapun pada masa itu waktu disŭdiakan orang kŭlangkapan hari raya langkah, iya itu pada kawol yang ka’anam. Maka kata Pilatus pada orang Yahudi, Lihatlah akan Rajamu. Maka bŭrsru srulah marika itu, Nyahkanlah dia, nyahkanlah dia, salibkanlah dia. Maka bŭrkatalah Pilatus pada marika itu, Aku salibkankah Raja kamu? Maka sahut kŭpala kŭpala imam, Bahwa tiadalah yang lain Raja kami, mŭlainkan Kesar juga. Sŭtlah itu maka Pilatus pun mŭnyŭrahkan Isa kapada marika itu, supaya disalibkannya akan dia. Bŭrmula maka kluarlah Isa dŭngan mŭmikol kayu salibnya itu, lalu sampie kapada suatu tŭmpat yang bŭrnama tŭmpat tŭngkorak, yang tŭrsŭbut dŭngan bahsa Ibrani, Golgotha. Maka ditŭmpat itulah disalibkan orang akan Isa bŭsŭrta dua orang lain pun disalibkan disŭblah mŭnyŭblahnya, maka Isa ditŭngah ditŭngahnya. ¶ Maka Pilatus mŭnyurat suatu surat gŭlaran, dilŭtakkannya pada kayu salib itu; adapun surat itu dŭmkian bunyinya, ISA ORANG NAZARETH, RAJA ORANG YAHUDI. Maka banyaklah deripada orang Yahudi ada mŭmbacha surat gŭlaran itu, kŭrna tŭmpat Isa disalibkan itu dŭkat nŭgri; maka surat itu dituliskan dŭngan bahsa Ibrani, dan Gŭrika, dan Rom. Maka bŭrkatalah imam imam bŭsar orang Yahudi kapada Pilatus, Janganlah dituliskan dia Raja orang Yahudi, mŭlainkan bahwa iya sŭndiri bŭrkata, Aku ini Raja orang Yahudi. Maka disahut Pilatus, Adapun barang yang sudah kutuliskan itulah dia. ¶ Bŭrmula sŭtlah sudah sagala lashkar itu mŭnsalibkan Isa, maka diambilnyalah sagala pakieannya, lalu dibahgikannya itu ampat bahgian, iya itu pada sa’orang satu bahgian, maka bajunya pun dŭmkian juga; adapun bajunya itu tiada bŭrkŭlim, mŭlainkan ditŭnun sahja deri atas sampie kŭbawah. Maka bŭrkatalah lashkar itu sa’orang kapada sa’orang, Janganlah kita charekkan, mŭlainkan baiklah kita buang undi, kita lihat siapa mŭndapat dia; maka tŭlah gŭnaplah pŭrkataan yang tŭrsŭbut dalam kitab katanya, Marika itu mŭmbahgi pakieanku pada sama sŭndirinya, dan atas bajuku marika itu mŭmbuang undi. Adapun sagala pŭrkara itu dipŭrbuat ulih lashkar itu. ¶ Maka adapun dŭkat salib itu adalah bŭrdiri ibu Isa, dan saudara pŭrampuan ibunya, iya itu Mŭriam istri Kleofas, dan Mŭriam Magdalani. Adapun sŭtlah Isa mŭlihat akan ibunya, dan sa’orang murid yang dikasihinya pun bŭrdiri dŭkat, maka bŭrkata Isa kapada ibunya, Hie pŭrampuan, lihatlah anakmu. Kumdian maka bŭrkata Isa kapada sa’orang murid itu, Lihatlah ibumu; maka deripada kutika itulah diambil ulih murid itu akan pŭrampuan itu dipliharakannya akan dia dirumahnya. Bŭrmula kumdian deri pada itu, maka tŭlah dikŭtahui ulih Isa, bahwa sagala sŭsuatu tŭlah habis, supaya gŭnaplah pŭrkataan kitab, maka katanya, Aku dahaga. Maka adalah tŭrlŭtak disitu sa’buah bajan yang bŭrisi chuka; maka diisi ulih orang suatu lumot karang dŭngan chuka dibubohkannya itu pada sŭbatang gala kayu zof, lalu disampiekannya itu kŭmulot Isa. Sŭtlah sudah diminum Isa chuka itu, maka katanya, Sudahlah habis; lalu tŭrtundoklah kŭpalanya, maka putuslah nyawanya.

YOHANES 19:1-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Pilatus pun membawa Yesus dan mengarahkan supaya Yesus disesah. Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Yesus. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya. Mereka datang kepada-Nya dan berkata, “Daulat Raja orang Yahudi!” lalu menampar-Nya. Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, “Lihat, aku bawa Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali.” Yesus pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah orang ini!” Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!” Pilatus berkata kepada mereka, “Kamu ambil dan salibkan Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.” Orang Yahudi itu menjawab, “Kami ada hukum, dan menurut hukum itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Anak Allah.” Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut. Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Yesus, “Dari manakah Kamu ini?” Tetapi Yesus tidak menjawab. Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah Kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.” Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, “Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah sahabat Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.” Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Yesus, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut “Laman Batu”, dalam bahasa Ibrani Gabbatha. Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk Perayaan Paskah, kira-kira jam keenam. Pilatus berkata kepada orang Yahudi, “Lihatlah Raja kamu!” Tetapi mereka berseru, “Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salibkan Dia!” Pilatus berkata kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?” Ketua-ketua imam menjawab, “Kami tidak ada raja selain Kaisar.” Oleh itu, Pilatus pun menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalib. Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi. Yesus pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota. Di situ mereka menyalib Yesus, bersama-sama dua orang lain di kiri dan kanan-Nya dan Yesus di tengah. Pilatus memerintahkan supaya satu catatan ditulis dan diletakkannya di atas salib itu. Tulisan itu berbunyi: “Yesus, orang Nazaret, Raja orang Yahudi.” Ramai orang Yahudi membaca tulisan itu, kerana tempat Yesus disalib itu dekat dengan kota, dan tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Yunani dan Latin. Ketua-ketua imam Yahudi pula berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis: ‘Raja orang Yahudi.’ Tetapi, tulislah: ‘Dia berkata Dia Raja orang Yahudi.’ ” Pilatus menjawab, “Apa yang sudah kutulis itu sudah kutulis.” Setelah menyalib Yesus, askar-askar mengambil pakaian-Nya, dibahagi empat, sebahagian untuk setiap askar. Mereka mengambil jubah-Nya juga. Jubah itu tidak berkelim, seluruhnya dianyam dari atas. Oleh itu, mereka berkata-kata sesama sendiri, “Janganlah kita koyakkan. Kita buang undi untuk menentukan siapa yang dapat.” Dengan demikian terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci: “Mereka membahagikan pakaian-Ku antara mereka, dan untuk mendapat jubah-Ku mereka membuang undi.” Begitulah yang dilakukan oleh askar-askar itu. Di tepi salib Yesus berdiri ibu-Nya, dan saudara perempuan ibu-Nya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena. Apabila Yesus melihat ibu-Nya dan murid-Nya yang dikasihi berdiri di situ, Dia pun berkata kepada ibu-Nya, “Lihat, itulah anakmu.” Kepada murid-Nya Dia berkata, “Lihatlah ibumu.” Sejak itu murid tersebut mengambil ibu Yesus sebagai ibunya dan membawanya tinggal di rumahnya. Selepas itu, Yesus mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, lalu berkata, “Aku dahaga.” Di situ ada sebuah bekas berisi air anggur masam. Lalu mereka memenuhkan sebuah span dengan air anggur masam itu, meletakkannya di atas batang hisop dan mencecahkannya ke mulut Yesus. Setelah Yesus menerima air anggur masam itu, Dia berkata, “Sudah selesai.” Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan roh-Nya.